Sunday, January 4, 2009

Banteras pesta songsang tahun baru


Persoalan pertama yang bermain di kepala siapa saja yang waras fikirannya ialah, "Kenapa perlu kita mengikut amalan buruk orang luar menyambut tahun baru?" Persoalan ini bertolak daripada laporan sambutan tahun baru yang tercemar dengan gelagat melampau hingga menganggu ketenteraman orang ramai.
Hampir setiap tahun ada laporan tentang pengguna jalan raya seperti penunggang motosikal atau kereta yang terperangkap dalam kesesakan yang dicipta oleh anak-anak muda yang kurang siuman, menyembur buih atau melontarkan tin-tin minuman kepada orang ramai.
Ini adalah gelagat gila anak-anak muda Malaysia, tidak kira Melayu, Cina atau India yang menganggap seolah-olah tahun baru adalah lesen untuk mereka melakukan apa saja termasuk menganggu orang lain. Biar pun pada perkiraan mereka gelagat melampau ini satu indikator modenisasi kerana ia dilakukan di kota-kota besar lain di dunia, sebenarnya mereka menjadi peniru yang buta dan tuli.
Apakah dengan wujudnya sekian banyak perlakuan yang menyimpang daripada norma-norma masyarakat pada sambutan tahun baru menunjukkan tahap kemajuan yang dikecapi? Apakah dengan membuat gelagat tidak waras dam sumbang di depan khalayak menunjukkan tahap kecemerlangan sebagai seorang warga di negara ini?
Inilah yang menuntut semua pihak memikirkan dengan serius tentang penerapan budaya yang tidak sesuai dari luar kepada masyarakat tempatan. Sambutan tahun baru boleh dijadikan salah satu premis untuk membedah sekian banyak konflik dan kesongsangan sosial yang berlaku khususnya kalangan warga di kota-kota besar.
Sambutan tahun baru 2009 yang lalu tentunya akan diingati dengan penangkapan 26 orang anak muda yang terlibat dalam pesta seks dan dadah di sebuah hotel di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur. Turut ditahan adalah mereka yang bertaraf "selebriti" sekaligus menjadi ikon kepada kalangan peminat-peminat hiburan. Kisah penangkapan anak-anak muda ini memang menjijikan. Tetapi kita kena realistik bahawa beginilah gaya sambutan tahun baru di bandar-bandar besar kita khususnya Kuala Lumpur.
Sebenarnya kontroversi pembaca berita dan artis yang turut ditahan dalam pesta seks dan dadah itu bukanlah cerita luar biasa. Maka kita tidak perlulah berpura-pura terkejut atau terkedu dengan penyelewengan moral yang begitu serius pada sambutan malam tahun baru di negara ini.
Pesta yang dianjurkan di sebuah bilik hotel di Jalan P. Ramlee itu hanya satu daripada sekian banyak lagi pesta yang serupa sama ada diadakan secara terbuka atau tertutup, sama ada secara sah (mendapat permit) atau secara haram. Sekitar kawasan Bukit Bintang, Jalan Telawi di Bangsar, Sri Hartamas, KLCC dan Dataran Merdeka memperlihatkan fenomena hampir serupa.
Hiburan dan seks
Bagi warga Kuala Lumpur, Jalan P. Ramlee atau Bukit Bintang dalam bahasa manisnya adalah "kawasan hiburan kelas tinggi" atau dalam pengertian popular adalah "red light area" yang banyak dikunjungi oleh pelancong asing yang mencari hiburan dan seks.
Kerana itu bukanlah suatu pemandangan yang luar biasa anak-anak muda mabuk di depan khalayak di sekitar Jalan P. Ramlee, Jalan Bukit Bintang atau Jalan Telawi di Bangsar. Malah bukan juga fenomena luar biasa arak dijual secara terbuka kerana seusai malam tahun baru, sekitar kawasan-kawasan berkenaan dipenuhi dengan tin-tin dan botol arak yang dibuang di merata-rata tempat. Pemandangan ini bukan saja sejak sepuluh tahun lalu malah lebih lama daripada itu dan pihak tertentu seperti terlepas pandang apabila ada kawasan yang sengaja ditutup daripada lali lintas untuk memberi peluang kepada warga kota menyambut tahun baru.
Sambutan tahun baru adalah ritual yang dilakukan di kota-kota besar d dunia pada setiap kali menjelang detik pukul 12 malam pada 31 Disember. Di sebalik percikan bunga api yang menyimbah cahaya ke dada langit, sambutan tahun baru sebenarnya tidak memberikan manfaat kecuali mereka yang memburu hiburan dan bersukaria secara melampau. Masyarakat di negara ini ternyata terikut-ikut dengan cara dan gaya sambutan tahun baru di negara luar yang melampau.
Sambutan tahun baru di Kuala Lumpur khususnya bukanlah konsert-konsert hiburan yang diadakan di Dataran Merdeka atau di taman KLCC. Penganjuran konsert begini tidak membimbangkan kerana khalayak penonton lebih terkawal dan isi kandungan persembahan selalunya tidak keterlaluan. Sebaliknya gelagat sesetengah warga kota yang membuatkan hampir setiap tahun sambutan tahun baru tercemar.
Perlukah diadakan sambutan tahun baru dan apa itu tahun baru? Tahun baru adalah perjalanan masa yang biasa, sama dengan perubahan hari dari Ahad kepada Isnin, daripada 31 Disember kepada 1 Januari. Secara fizikal dan spiritual ternyata tidak berubah apa-apa kecuali sesetengah daripada kita yang mencipta seolah-olah tahun baru suatu yang sangat penting dan diberi lesen untuk menjadi kurang ajar.
Sebenarnya sambutan tahun baru tidak diperlukan sama sekali dalam konteks pembinaan warga untuk mendepani cabaran-cabaran masa depan. Tetapi kita masih boleh bertolak ansur asalkan penganjuran tidak mencemarkan budaya hidup masyarakat negara ini walaupun saban tahun persembahannya hampir serupa. Tetapi apabila tahun baru menjadi sinomin dengan pesta seks, dadah dan gelagat gila di jalan-jalan di tengah bandar raya, ternyata sama sekali kita tidak memerlukan acara sambutan tahun baru.
Sambutan
Pada tahun 2004, malam tahun baru tidak diadakan acara sambutan seperti lazimnya yang dipenuhi dengan konsert hiburan dan pertunjukkan bunga api kerana mengenang tragedi tsunami pada 26 Disember 2004. Pada tahun berkenaan tidak kelihatan apa-apa kekurangan dengan ketiadaan acara "count down" di Dataran Merdeka walaupun ada acara sambutan yang dianjurkan berskala kecil. Sebenarnya tahun 2004 satu indikator yang membuktikan tanpa sambutan tahun baru tidak akan menjejaskan apa-apa kepada negara dan juga rakyat.
Tambahan pula warga Kuala Lumpur bukanlah terlalu terdesak kerana ketandusan acara hiburan kerana acara hiburan percuma bercambah di Kuala Lumpur. Jadi, kenapa perlu ditunggu tarikh 31 Disember untuk berhibur?
Cuma agak mendukacitakan apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah memejamkan mata dengan perhimpunan di Jalan Bukit Bintang atau Jalan Telawi pada saban tahun? Adakah PBT sudah hilang kuasa untuk memastikan Jalan Bukit Bintang misalnya tidak menjadi lokasi perhimpunan yang akhirnya menjadi lokasi gelagat liar?
Percayalah sekiranya kita menganjurkan pesta tahun baru sehebat mana sekali pun, kita memberikan kebebasan seluas mana sekali pun waima menganjurkan pesta seks dan dadah, semua itu bukanlah satu ukuran kecemerlangan negara yang bernama Malaysia ini. Sambutan tahun baru tidak boleh dijadikan pesta budak-budak nakal berkeliaran menganggu orang ramai. Malah tahun baru juga bukan satu malam yang menambah koleksi kisah-kisah jijik warga kota yang seolah-olah mendapat "lesen" untuk mempromosi gaya hidup yang menyimpang.

Kesinambungan Raja-raja Melayu


NEGARA memasuki tahun baru 2009 dengan Negeri Sembilan Darul Khusus mempunyai Yang di-Pertuan Besar yang baru, kesebelas dalam urutan kedaulatan Raja-raja Melayu di negeri itu.
Dengan peralihan yang licin ekoran kemangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 pada Sabtu minggu lalu, sekali lagi institusi Raja-raja Melayu diperteguhkan. Ini kerana kesinambungan amat penting dalam pemantapan institusi raja-raja lebih-lebih lagi bagi Malaysia, khususnya orang Melayu. Teguhnya kedudukan orang Melayu bererti juga stabilnya Malaysia dan semua warganegaranya dari kalangan pelbagai kaum dan keturunan. Walaupun perubahan itu dilihat sebagai hanya melibatkan salah sebuah negeri daripada 13 di Malaysia, tetapi ia tetap memberikan makna kepada seluruh negara lebih-lebih lagi Negeri Sembilan mempunyai kedudukan istimewa yang tersendiri. Malah Darul Khusus yang merupakan nama Negeri Sembilan bermakna 'negeri yang istimewa'.
Antara keistimewaannya ialah sistem beraja Negeri Sembilan adalah unik berbanding dengan negeri-negeri Melayu lain. Kini di dunia, terdapat 10 raja Melayu yang berdaulat. Sembilan di Malaysia dan satu di Brunei tetapi hanya Negeri Sembilan yang mempunyai keunikannya apabila rajanya tidak dipanggil Sultan atau Raja. Sistemnya pula bukannya monarki turunan tetapi dipilih oleh empat Undang.
Sistem di mana sebuah majlis terdiri daripada empat Undang ini diguna pakai oleh Persekutuan Tanah Melayu apabila hendak menentukan ketua negara iaitu Yang Dipertuan Agong. Majlis Raja-raja yang terdiri daripada sembilan raja Melayu ditubuhkan untuk tujuan ini.
Kedaulatan
Justeru, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah anggota Majlis Raja-raja ini dan selanjutnya ia menjadi sebahagian daripada sistem beraja Malaysia. Maka apa yang berlaku di Negeri Sembilan atau mana-mana sembilan negeri Melayu di Malaysia amat penting bagi memastikan kedaulatan Raja-raja Melayu bagi negara ini.
Dalam sejarahnya, Negeri Sembilan juga istimewa. Ia mengamalkan Adat Perpatih ketika mana negeri-negeri melayu lainnya berpegang pada Adat Temenggong. Tetapi Datuk Perpatih dan Datuk Temenggong adalah dua bersaudara di Sumatera dan dalam zaman moden ini, dengan adanya Negeri Sembilan, kedua-dua adat itu terus berkembang di bumi Malaysia.
Kesultanan Melaka pada kurun ke-15 yang menyebabkan Adat Temenonggong menjadi dominan di Alam Melayu. Tetapi pada masa itu juga rajanya memberi perlindungan kepada penghijrah dari Minangkabau untuk menetap Negeri Sembilan. Selepas Portugis menguasai Melaka, perlindungan itu dilanjutkan oleh Kesultanan Johor sebagai pewaris Kesultanan Melaka.
Apabila Raja Melewar menubuhkan pemerintahannya di Seri Menanti, Kesultanan Johor mengurniakan gelaran Yang di-Pertuan Besar pada abad ke-18 dan bermulalah Negeri Sembilan. Pada satu masa, wilayah Negeri Sembilan adalah lebih besar daripada apa yang ada pada hari ini. Umpamanya daerah Kelang kini sudah berada di Selangor, sebahagian besar Naning dalam Melaka, Segamat sudah terletak dalam Johor dan sebahagian Ulu Pahan berada di Pahang. Tetapi Selangor, Johor dan Pahang juga adalah negeri-negeri Melayu sementara Melaka sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia yang ketua negaranya adalah Yang Dipertuan Agong.
Kejayaan negeri-negeri Melayu mempertahankan kemerdekaan adalah atas asas perpaduan bangsa dan menerima kaum lain sebagai sebahagian daripada warganegaranya. Ini membolehkan Malaysia menjadi teguh dan maju dengan berasaskan kedaulatan Raja-raja Melayu. Atas kekuatan inilah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah mahu terus bersama Malaysia dan selanjutnya mengembalikan wilayah-wilayah itu ke dalam kedaulatan Melayu dalam erti kata inklusif dengan menjamin hak semua warganegara tanpa mengira kaum.
Tetapi kedaulatan dan kekuatan politik tidak sempurna maknanya jika tidak disertakan dengan kecemerlangan ekonomi yang masih tertinggal bagi orang Melayu. Negeri Sembilan bertuah kerana berjiran dengan Selangor. Kemakmuran Lembah Klang juga melempah ke Nilai. Apa yang berlaku di Bagan Lalang akan akhirnya bersambung ke Port Dickson. Begitu juga aktiviti di Sepang akhirnya menuntut pembangunan di Labu, termasuklah cadangan pembinaan Terminal Pengangkut Kos Rendah (LCCT) di situ.
Negeri Sembilan sememangnya istimewa.

DCCK-Dilema dapat menantu 'selamba'

KISAH minggu lalu yang berjudul Saya dah letih bayar hutang suami yang diceritakan oleh Kharina benar-benar menarik perhatian ramai pembaca khususnya kaum wanita. Masing-masing ada pandangan tersendiri. Ada nasihatkan Kharina berfikir panjang demi masa depannya.
Rata-rata berpendapat selagi Kharina dan wanita yang 'sewaktu' dengannya masih mengamalkan sikap mengalah, maka selagi itulah dia akan tanggung beban yang digali oleh suaminya.
''Lelaki seperti ini mesti diajar, mesti disedarkan dengan kesalahannya dengan tidak membantunya. Jika tidak, selagi itulah anda akan melepaskan masalahnya kepada orang lain, iaitu isterinya. Kerana dia tahu isterinya akan bantu menyelesaikan hutangnya.
''Zaman in memang macam langit dan bumi dah terbalik, kalau zaman emak-emak kita dulu, bapak kita yang mendakwa tersalah pilih dapat perempuan 'pisau cukur', tetapi sekarang ramai lelaki jadi pisau cukur. Kaum wanita pula yang merana pikul hutang suami, bukan seorang berdua wanita yang terpedaya seumpama ini, tetapi ramai wanita yang terperangkap. Tak percaya cuba lihat keliling kita mesti ada sanak saudara kita yang terlibat,'' demikian menurut pandangan Norazmi.
''Sepupu saya pun dapat suami macam suami Kharina, malah lebih teruk lagi, duit dia, tak boleh disentuh, tetapi kalau duit isteri dia nak pakai, alasannya gajinya kecil gaji isterinya besar, maka sepupu sayalah yang kena tanggung hidup dia.
''Pelik sungguh. Namun saya tak salahkan lelaki itu, salah sepupu saya sendiri, sebab dari awal zaman bercinta lagi dia yang tanggung suaminya, dari mula nak kahwin, jadi bila dah kahwin dia tak boleh lepaskan diri, dah jadi macam tugasnya pula tanggung suami.
''Kedua, saya salahkan ibu bapanya yang tak pernah mahu ajar anak lelakinya menjadi suami dan ketua keluarga yang baik, kalau dari awal lagi dia bagi contoh yang betul, nasihat dan bimbingan yang baik, tentu tak begini jadinya. Sebaliknya ibu bapanya suka pulak anaknya ditanggung oleh isterinya. Pelik kan? Tetapi itulah kenyataan,'' kata Norazmi lagi.
Kenyataan Norazmi dan Kharina disokong oleh Puan Hasramy, malah katanya dia terpanggil memberi pandangan, setelah sekian lama menanggung penderitaan dan kesedihan atas kehidupan yang terpaksa ditanggung oleh anak perempuan dan dirinya sendiri.
Dalam perbualan panjang lebar kami di telefon dan setelah membaca e-mel yang dihantarnya, Hasramy memberitahu sebagai ibu dia teringin malah sentiasa mendoakan kebahagian dan kesenangan hidup anak perempuannya yang tunggal itu, tetapi dia cuma boleh berdoa, malangnya sehingga ini doanya masih belum dimakbulkan oleh Allah lagi.
''Agaknya inilah dugaan saya mempunyai seorang anak perempuan tunggal dalam keluarga, macam juga ibu-ibu lain yang mempunyai anak lelaki tunggal, harapan kita dia menjadi tempat kita bersandar, membimbingan dan membantu kita bila tua dan sakit pening nanti, tapi malangnya, kita pula jadi tempat dia bergantung hidup, bukan itu sahaja, malah kita juga yang terpaksa tanggung suami dan anaknya. Apalah malangnya nasib saya. Agaknya inilah ujian yang diberikan oleh Allah kepada saya.
''Untuk lebih lanjut lagi biarlah saya bercerita dari awal lagi. Seperti yang saya katakan tadi saya mempunyai anak tunggu perempuan, di samping dua orang lagi anak lelaki, iaitu seorang abang dan seorang lagi adik kepada NorHasni.
''Sebaik tamat tingkatan lima disebabkan keputusan SPMnya tidaklah begitu baik, saya hantar dia melanjutkan pelajaran ke kolej swasta, kerana ketika itu kami suami isteri masih bekerja, bolehlah kami tanggung dia, walaupun kami bukanlah senang sangat, tetapi memikirkan masa depan anak lebih penting daripada wang maka kami hantar dia sambung belajar.
''Nak jadikan cerita sedang pelajaran belum habis dia bercinta pulak dengan seorang mat dispatch. Di usungnya anak kami ke hulu ke hilir. Kecut perut kami memikirkan hal anak gadis kami ini, pertama kerana belum habis belajar, kedua duit kami banyak dah habis, lepas tu mereka sibuk bercakap pasal nak kahwin cepat.
''Hulu halah hati kami suami isteri bila mendengar berita itu, namun kami nasihatkan NorHasni supaya bersabar tunggulah hingga habis belajar baru fikir pasal nak kahwin. Kami bersyukur mereka bersabar juga, akhirnya berkahwin selepas NorHasni tamat belajar dan bekerja. Sebagai memenuhi janji, kami kahwinkan mereka. Apa nak buat itu jodohnya.
''Tapi lepas dapat anak seorang NorHasni bercerai sebab suaminya berhenti kerja kerana malas nak kerja. Sekali lagi kami bersabar apa nak buat dah itu nasibnya di sebabkan kami masih bekerja, kami terima dia bila dia pulang duduk dengan kami semula.
''Bagaimana pun jodohnya tak susah, tak sampai dua tahun menjanda, NorHasni bertemu dengan seorang pemuda bernama Aizan lulusan IPTA dan bekerja sebagai pegawai IT dengan badan kerajaan. Orangnya tampan dan memang ada daya memikat. Peliknya pemuda yang berumur lebih 30 tahun ini masih belum berkahwin lagi, sedangkan anak saya belum pun 30 tahun dah ada seorang anak berusia 4 tahun.
''Mulanya lepas kahwin mereka duduk rumah berasing, saya tak kisah asalkan mereka bahagia, dan doa saya sebagai ibu biarlah jodohnya kekal hingga ke akhir hayat dan tidak menyusahkan hidup dan hati kami lagi.
''Tapi tak sampai setahun duduk bersendirian, gunduh-gandah mereka pindah duduk dengan kami semula. Pelik juga tapi saya gembira tidaklah sunyi lagi hidup kami yang sudah tua ini.
''Malangnya bila dah duduk hampir setengah tahun barulah saya tahu keadaannya yang sebenar. Rupanya Aizan ini hidupnya dikelilingi hutang. Semua gajinya habis kena bayar hutang sebab tu anak kami terpaksa ambil keputusan pindah duduk dengan kami, sebab tak mampu nak tanggung semua perbelanjaan rumah dan suami, terutama nak bayar sewa rumah, pelbagai jenis bil, maklum bila dah berumah tangga sendiri.
''Masa saya masih bekerja lagi bolehlah saya tanggung semuanya, sebab kita berduit, tetapi bila dah bersara, sedangkan perbelanjaan bertambah, tapi pendapatan dah berkurangan, tentulah kita susah. Bila dah setahun mereka duduk dengan kita, saya pun mintalah mereka bayar bil elektrik, air dan telefon yang mereka gunakan. Anak kita mengeluh katanya dia tak ada duit, sementara suaminya Aizan buat diam buat tak tau saja.
''Lama-lama saya bersuara lagi, kalau bil tu semua tak mahu bayar tak apalah, macam mana pulak dengan duit lampin pakai buang dan susu anaknya, takkan nak suruh saya belikan jugak. Ini dah melampau. Saya cakap lagi dengan mereka. Aizan buat tak tau saja.
''Tak sabar punya pasal saya tanya anak saya, barulah saya tahu, rupanya si Aizan ini kaki buat hutang, entah beli apa pun tak tahulah, dia berhutang sejak zaman bujang lagi. Dia ada enam kad kredit semuanya dah habis had dan bertambah bunga pulak. Bab surat amaran dari bank tak boleh nak cakap banyaknya, panggilan mahkamah lagi.
''Sebab tu dah berumur lebih 30 tahun belum berkahwin lagi, lulusan universiti jadi pegawai tapi sebuah motor cabuk pun tak ada, tak usah cakap pasal beli kereta memang dia tak ada. Selama ini dia pergi kerja naik kereta anak saya, bila anak saya dah tak berduit sebab tanggung suaminya, kereta anak saya pulak kena tarik, kerana nak kerja dia pinjam pakai kereta saya pulak, sebab saya dah bersara. Amboi sedapnya dia pakai kereta kita!
''Itu pun saya masih tak hangin lagi, tapi bila kereta saya rosak dia hantar bengkel suruh saya pulak bayar, road tax dia tak bayar, itu yang membuat darah saya mendidihkan. Pendek kata semua benda dia lepas tangan, sebab tu dia rasa bertuah dapat kahwin dengan anak saya yang semuanya saya bantu bila mereka kesempitan tak berduit.
''Kata anak saya dia pening kepala dengan perangai suaminya yang suka berhutang, dan bersikap lepas tangan, dia tak takut dan tak peduli apa akan terjadi kalau hutangnya dah bertimbun dan bertambah banyak, dia buat tak tau saja.
''Sikap membisu tak mahu berbincang dan tak mahu bercakap bila ditanya pasal hutangnya, itu yang membuatkan saya sakit hati. Sebagai isteri dia berhak nak tahu macam mana dia nak selesaikan hutangnya itu. Sikap membisu itu seolah-olah dia sendiri pun tak tahu macam nak selesaikan hutangnya yang bertambah banyak setiap bulan tu.
''Tapi apa yang anak saya tahu, dia cuma bertindak korek lubang tutup lubang aja. Sebagai contoh dia cuba berhutang untuk bayar hutang-hutang lamanya yang nak kena tindakan mahkamah tu. Dengar cerita hutangnya melebihi RM80,000 semuanya berpunca dari hutang kad kredit yang faedahnya bertambah banyak setiap bulan tu.
''Baru-baru ini saya dapat tahu dari surat yang datang ke rumah, anak saya pulak terpaksa buat pinjaman bank untuk membantu menyelesaikan hutang suaminya. Terkejut saya bila NorHasni mengaku, katanya dia terpaksa berhutang sebab Aizan suruh supaya dia tidak boleh diambil tindakan mahkamah. Katanya kalau masuk mahkamah nanti dia bimbang hilang kerja. Jadi demi suami, dia terpaksa berhutang, sedangkan Aizan buat hutang sejak zaman bujang lagi. Bukan setelah berkahwin dengan anak saya.
''Pernah besan saya datang ke rumah nak jumpa anaknya, nak meminjam duitlah tu, sebab dia bukan orang senang, mungkin untuk belanja sekolah adik-adik Aizan.
''Saya ceritakan apa yang terjadi pada Aizan, supaya ibunya tidak salah sangka, anaknya tak berduit sejak bujang lagi. sebenarnya saya memang nak balik kampung lepas pencen, dah buat rumah pun, tetapi kalau saya duduk kampung ke mana mereka nak duduk, sebab mereka tak berduit nak sewa rumah dan nak makan sebab duit habis bayar hutang.
''Tapi Aizan memang kulit muka tebal. Dia buat muka slamberland buat tak tau bila saya kata susu anak dan lampin pakai buang anaknya dah habis, dia buat pekak. Macam saya cakap dengan dinding. Dia serahkan kebajikan anaknya kepada saya uruskan, sudahlah kita sewakan rumah dan bagi mereka makan, habiskan anaknya pun kita yang jaga. Kalau kita bising barulah dia bagi duit itupun duit anak kita. Bukan dari dia.
''Apa yang saya rasa lagi marah sudahlah tak berduit tapi malas nak cari duit sedangkan dia pakar IT tentu ramai orang yang perlukan kemahairannya seperti membuat laman web, buat layout atau grafik, membaiki komputer dan sebagainya, ini tidak dia sanggup bersengkang mata mengadap komputer berchatting. Tak ada perasaan langsung.
''Jadi melalui kesempatan ini saya suka mencadangkan pada ibu bapa yang masih mencari menantu selidik dulu latar belakang kedudukan kewangannya, dari CTOS atau dari bank. Bukan HIV saja yang merbahaya, banyak hutang atau kaki hutang pun boleh buat kita sakit jiwa anak perempuan kita hidup menderita. Kalau anak kita pandai tak apalah, tapi yang sayang suami melebihi diri sendiri itu yang lebih teruk lagi,'' demikian nasihat Hasramy panjang lebar tetang masalah yang dia dua beranak hadapi.
Kini anaknya berhutang lebih RM60,000 untuk bantu suami. Akhirnya dua-dua berhutang, bila nak selesai? Bercakap pasal hutang ni memang payah nak cakap kalau seseorang itu tak ada sifat bertanggungjawab dan berfikir panjang pasal risiko berhutang. Bila isteri tak bantu dia salahkan isteri, tuduh isteri menderhaka kerana tak dengar cakap suami. Adil ke tu! Mempermainkan agama untuk kepentingan diri sendiri.

Saturday, January 3, 2009

Memori luka kerana ibu pilih kasih

Minggu ini kita ikuti pula cerita Azharuddin yang tidak kurang menariknya untuk perhatian kaum wanita yang bakal jadi mertua.
''Setiap minggu saya membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan tersebut bermula dari mengikut hobi isteri, lama kelamaan saya menjadi peminat setia pula. Dan setelah lama menjadi pengikut, maka timbul pula keinginan di hati ini untuk turut berkongsi cerita dan pengalaman hidup saya dengan para pembaca.
''Terlebih dahulu, elok rasanya kalau saya ceritakan serba sedikit latar belakang diri saya. Saya lulusan universiti tempatan berusia menjangkau 30 tahun, begitu juga dengan isteri saya, kami berdua kakitangan kerajaan, hingga kini sudah hampir lima tahun berumahtangga tetapi masih belum diberikan rezeki oleh-Nya lagi untuk mempunyai cahayamata.
''Cerita saya bukan fasal poligami, bercinta sepejabat atau masalah rumah tangga, tetapi tentang masalah kami suami isteri menghadapi ibu dan kakak saya yang sering membuat kami makan hati berulam jantung dan berkecil hati.
''Saya anak ketiga daripada lima beradik. Saya ada dua orang kakak yang sudah berkahwin dan dua orang adik lelaki seorang sudah bekerja sementara seorang lagi masih belajar. Ibu saya ibu tunggal yang kematian suami 16 tahun lalu. Ketika itu kami masih lagi di bangku sekolah.
''Adik yang bongsu ketika itu belum pun berumur setahun. Kakak yang sulung baru saja menduduki SPM. Saya sendiri ketika itu dalam tingkatan dua. Memang hidup kami amat susah ketika itu. Makan hanya seadanya. Kadang ada juga bantuan dihulurkan oleh jiran. Maklumlah kami tinggal di kampung. Jadi sudah tentu semangat kejiranan masih menebal dan utuh. Tambahan pula, jiran itu saudara mara kami sendiri.
''Setelah kematian suami, ibu tidak pernah berkahwin lagi sehingga kini. Tumpuannya hanya membesarkan anak-anak dan menyekolahkan kami. Pun begitu, ibu saya tidak pernah bekerja. Mujur ada seorang bapa saudara kami yang kehidupannya agak senang sikit dan berjawatan, jadi beliaulah yang banyak membantu kami adik-beradik.
''Kami agak bertuah selepas kematian ayah ibu dapat duit Perkeso setiap bulan sehingga adik berumur 18 tahun. Bantuan itu pasti meringankan beban ibu, walaupun jumlahnya tidaklah seberapa, tetapi kerana kami tinggal di kampung, jumlah itu memang banyak membantu.
''Bila kami semakin membesar, nenek pula meninggal dunia. Oleh kerana nenek ada sebidang tanah yang luasnya tak seberapa, adik beradik ibu mencadangkan menjualnya dan hasilnya diberikan kepada anak-anak. Jadi dengan duit yang diwarisi, ibu buatkan rumah sewa dekat rumah kami. Jadi bertambahlah pendapatan ibu, walaupun jumlahnya taklah sebanyak mana seperti orang bandar yang ada rumah sewa. Tapi cukup untuk menampung hidup ibu.
''Itu sedikit sebanyak latar belakang ibu. Tentang adik-beradik saya pula, tidak dinafikan kakak sulung banyak memberi perhatian kepada kami berbanding kakak kedua . Sebab itu hubungan ibu dengan kak long amat rapat, mereka boleh tergelak bersama, berkongsi cerita bersama dan membuat aktiviti yang sama. Ibu juga banyak mendengar nasihat Kak Long. Mungkin kerana Kak Long pandai mengambil hatinya, tidak melawan, membantah dan mengikut setiap kehendak ibu. Berbanding anak-anak yang lain.
''Tapi ibu seorang yang cerewet, suka mengeluh, serba tak kena, suka mengumpat, suka mengungkit dan paling teruk melaga-lagakan kami adik-beradik. Teruk! Ibu juga suka bermuka-muka. Bermanis muka cuma di depan, tapi bila di belakang ibu tak pernah setuju dengan apa yang dipersetujukannya. Sebab itu, beberapa bulan sebelum berkahwin saya sudah mencari rumah sewa kerana saya bimbang isteri saya akan makan hati dengan sikap ibu.
''Lagi teruk ibu mengamalkan sikap pilih kasih terhadap anak-anaknya. Kak Long dan adik lelaki saya adalah anak kesayangannya. Segala kehendaknya tak pernah ibu bantah.
''Semasa kecil dulu saya boleh faham kerana sebagai abang sudah tentu saya perlu banyak mengalah kepada adik-adik. Tapi hingga saya dewasa pun ibu saya bersikap begitu juga. Mana boleh tahan! Boleh dikatakan setiap kali saya datang menziarahinya, ibu akan mengeluh tentang wang. Katanya duit tak cukup untuk sekolah adik. Sedangkan setiap bulan saya hantar duit pada ibu dan bagi duit poket untuk adik, tapi ibu masih kata tak cukup.
''Sedangkan apa yang saya lihat handphone adik-adik saya jauh lebih canggih daripada hand phone saya. Ini yang saya tak faham bila ibu kata tak berduit. Saya nasihatkan mereka supaya jangan membazir beli benda-benda tak perlu. Sepatutnya mereka tumpukan perhatian kepada belajar.
''Kak Long pula lain perangainya, suka menghasut. Dua minggu lepas kahwin dia menceritakan keburukan perangai saya kepada isteri saya, mungkin dia mahu isteri saya tahu 'warna' saya sebenarnya. Saya rasa itu tak perlu, apa faedahnya? Perangai suaminya lebih teruk, dia suka tengking saya macam budak hingusan, perangainya saya perhatikan sejak kali pertama dia berhari raya di rumah kami selepas berkahwin. Entah apa yang Kak Long burukkan saya kepadanya, tak tahulah.Hinggakan dia bencikan saya.
''Kak Long pula simpan perangai dendam kepada saya bermula ketika kami nak pulang berhari raya ke kampung selepas kahwin dahulu. Saya beraya ke rumah mertua dahulu di selatan, lepas tu nak ke utara saya tidur di rumah kami dulu maklum jauh kami perlu rehat. Tetapi Kak Long tak suka, dia suruh saya terus balik ke kampung.
''Saya jelaskan kepada Kak Long, tetapi dia tak boleh terima alasan kami, suaminya masuk campur dengan menengking saya di telefon, katanya kalau dekat dia nak tampar saya. Isteri saya turut kena tempias kemarahannya dalam SMS. Memang pedas dan berapi marahnya.
''Kecewa dan sedihnya kami ketika itu hanya Allah saja yang tahu. Hari raya yang sepatutnya kami bergembira jadi sebaliknya. Isteri saya asyik menangis sebab ketakutan, terkejut kerana tidak menyangka sikap kakak serta abang ipar saya seperti itu.
''Memang benarlah kata orang 'memaafkan kesalahan orang yang pernah menyakitkan hati kita lebih mudah dari melupakannya. Sehingga kini, peristiwa tersebut masih segar dalam ingatan kami dan tak mungkin kami lupa sampai bila-bia. Sejak peristiwa tersebut juga, hubungan kami dengan Kak Long dan abang ipar menjadi agak renggang dan dingin. Dan sekarang baru kami sedar semuanya berpunca dari sikap ibu saya yang melaga-lagakan kami adik-beradik.
''Punca itu timbul kerana ibu tidak puas hati kerana saya berhariraya di kampung isteri dulu. Selepas peristiwa itu, dua tahun berturut kami berhari raya di rumah ibu bukan bergilir ke rumah mertua saya, sebab nak jaga hati ibu. Sedangkan kakak kakak saya beraya di rumah mertua mereka, tidak pula jadi masalah pada ibu.
''Sejak peristiwa itu, setiap kali raya, saya akan cuba menggembirakan hati ibu dengan membelikannya hadiah yang disukainya. Sejak itu muka ibu tak masam lagi. Nampaknya hanya wang ringgit mampu membuat ibu tersenyum setiap kali kami balik kampung.
''Namun itu tak bermakna saya tak bagi ibu duit, setiap bulan saya hantar duit kepadanya. Sebaliknya kakak-kakak dan adik lelaki saya tak pernah bagi ibu duit. Malah adik lelaki saya yang duduk serumah dengan ibu pun tak pernah bagi ibu duit apa lagi membayar bil-bil elektrik, air, mahupun Astro tapi ibu tak pernah merungut minta bantuan duit, berbeza ketika saya tinggal dengan ibu semasa bujang dulu, semuanya ibu suruh saya bayar, walaupun gaji bulanan saya tak seberapa. Dan jelaslah ibu lebih sayangkan Kak Long dan dua orang anak lelakinya yang lain.
''Meski pun kami dilihat tidak mempunyai masalah besar sebab masih tidak mempunyai anak, tetapi tahukah mereka berapa banyak bil perubatan terpaksa kami keluarkan untuk menampung rawatan kami berdua yang tak putus-putus mengharapkan mendapat anak.
''Mungkin kerana kami tidak pernah menceritakan masalah kami kepada keluarga, kerana bagi kami itu urusan peribadi, tapi mereka boleh sewenang-wenangnya melepaskan segala tanggungjawab kepada kami.
''Tak lama lagi adik lelaki saya akan berkahwin, ibu mengeluarkan banyak duit untuk persiapan perkahwinan dan belanja kenduri kahwin seperti bilik pengantin, hantaran, pelamin dan macam-macam lagi, sedangkan ketika saya berkahwin dahulu, kata ibu dia tak ada duit, kalau nak buat kenduri saya mesti keluarkan duit belanja, kalau tidak dia tak buat apa-apa. Saya terpaksa meminjam duit kawan untuk buat kenduri kecil sahaja, tak macam persiapan yang ibu buat untuk perkahwinan adik lelaki saya ini. Hebat!
''Saya lihat ibu dari awal dah sibuk membuat tempahan kelambu bilik pengantin, pelamin, set perabut baru, bunga telur istimewa, pendek kata serba baru dan teratur. Melihatkan ini semua membuatkan saya kecil hati. Entahlah! bila ditenung kembali sikap ibu terhadap saya, mahu tak mahu ia telah meninggalkan terlalu banyak memori luka dalam hidup saya.''
Demikian cerita Azaharuddin ketika mengingatkan hidupnya yang terpinggir berbanding adik beradiknya. Kerana itu juga dia berasa jauh hati terhadap sikap dan layanan ibunya kepadanya. Semuanya serba salah dan tidak dipedulikan. Apa salahnya?
Bukan semua ibu bersikap pilih kasih, kadang-kadang kenakalan, sikap dan perbuatan anak sendiri membuatkan dia lebih diperhatikan oleh ibu bapa. Namun tidak dinafikan ada ibu yang bersikap sama seperti apa yang diperkatakan oleh Azharuddin. Sebagai ibu beliau sepatutnya disedarkan secara perlahan-lahan dan berhati-hati, supaya tak memalukannya.
Namun setiap ibu ada kelebihan tersendiri yang disediakan oleh Allah, terutama jika ada anak-anak yang menjaga, memelihara ibunya ketika tua dan sakitnya sudah pasti dia mendapat bonus dan dividen yang banyak di akhirat kelak. Malah ketika di dunia lagi mereka boleh lihat keberkatan yang diberikan oleh Allah. Jadi sayangilah ibu anda semasa hayatnya masih ada.

Kunyah gula-gula getah tingkat daya tumpuan?


Seringkali anak-anak kita tidak dapat menumpukan perhatian mereka kepada sesuatu perkara. Walaupun ini tidak dianggap sebagai sesuatu penyakit, namun ia cukup membimbangkan ibu bapa. Tiada guna sekiranya mereka dipukul atau dimarahi. Sebaliknya, kenapa tidak mencuba cara-cara yang dicadangkan oleh Pensyarah Fakulti Psikologi, Universiti Chung San, China, Profesor Gao Ting Kok.
Menurut Ting Kok, daya tumpuan kanak-kanak boleh mula dilatih sejak berumur satu hingga dua tahun. Misalnya apabila bercerita, ceritanya kenalah pendek, bahasa yang diguna harus berkaitan dengan ciri-ciri kanak-kanak dan gambar haruslah berwarna-warni.
Apabila berumur tiga hingga empat tahun, mulalah lakukan aktiviti mudah yang akan berterusan untuk jangka masa yang lebih panjang seperti mencantum jigsaw puzzle.
Bagi kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun, ibu bapa boleh menyuruh mereka melengkapkan sesuatu kerja dalam jangka waktu yang ditetapkan.
Misalnya, biar anak-anak mengulangi semula cerita yang lebih kompleks yang telah diceritakan kepada mereka.
Apabila telah memasuki bangku sekolah, latihan harus ditekankan kepada mempelajari matlamat pembelajaran yang lebih khusus dan memupuk minat yang lebih stabil. Oleh kerana membuat kerja rumah adalah aktiviti yang berobjektif, disedari dan meliputi proses permulaan dan penamatan, maka biarlah anak anda kerap melakukan kerja-kerja rumah kerana ia boleh membantu menguatkan daya tumpuan mereka.
Apabila tiba pada peringkat menengah rendah atau tinggi, anak-anak akan mengalami perubahan biologi dan psikologi, menyebabkan emosi mereka amat mudah terganggu. Oleh itu apabila ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak dapat menumpukan perhatian, janganlah dimarahi mereka dengan nada yang tinggi.
Sebaliknya, ibu bapa boleh melakukan aktiviti yang boleh membantu meningkatkan daya tumpuan mereka, seperti bermain ping pong dan badminton.
Menurut Ting Kok, berdasarkan kajian, bermain ping pong dan badminton membolehkan tumpuan difokuskan kepada objek yang bergerak untuk jangka masa yang panjang dan inilah cara yang baik untuk meningkatkan daya tumpuan secara berterusan.
Selain itu, sekiranya anak-anak tidak dapat menumpukan perhatian yang lama semasa pembelajaran, cara-cara berikut boleh dilakukan:
1. Melakukan beberapa aktiviti yang tidak saling bercanggahan; misalnya mempelajari perkataan bahasa Inggeris semasa menggosok gigi.
2. Pilihlah persekitaran yang lebih sunyi untuk tujuan pembelajaran.
3. Jika keadaan mengizinkan, kunyahlah gula-gula getah. Ini kerana mengikut kajian psikologi terbaru, mengunyah gula-gula getah boleh membantu meningkatkan daya tumpuan untuk jangka masa yang panjang.