Thursday, April 30, 2009

Tegur Bukan Menghukum

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilusasmaini@nstp.com.my
"SEJAK kecil, Nicol dan dua kakaknya mudah dijaga. Kami hanya menegur sesekali jika mereka melakukan kesalahan."Sebagai ibu bapa, kami memilih menggunakan pendekatan menegur dan bukan hukuman kerana berpendapat hukuman bukan jalan penyelesaian terbaik sesuatu masalah."Biarpun hanya sesekali ditegur, mereka ingat sampai bila-bila. Jika anak diberi teguran atau nasihat dengan cara lembut, mereka pasti lebih menghormati dan mendengar kata kita," kata ibu Ratu Skuasy negara yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David, Anne Marie.Menurutnya, dia dan suaminya, Desmond David, menggunakan pendekatan didikan dilakukan orang tua mereka.


"Seperti dua kakaknya, Nicol bukan saja cemerlang dalam skuasy malah mencatat keputusan menakjubkan dalam pelajaran.
"Mereka bertiga memang rapat dengan ahli keluarga dan jika ada masalah, mereka akan rujuk kepada saya."Jika mempunyai masalah berkaitan teknik permainan, pasti ayah mereka menjadi rujukan kerana dia lebih arif," katanya.Nicol menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk, sempena ulang tahun kelahiran ke-70 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Julai tahun lalu.Mereka bersyukur atas anugerah itu dan ia dijadikan pencetus semangat Nicol lebih berjaya di pentas dunia."Nicol masih membiasakan diri dengan gelaran itu dan ia mengambil masa."Namun, dia masih seperti Nicol dulu cuma yang berubah ialah di pangkal namanya sudah ada gelaran Datuk."Sebagai ibu, saya berbangga dengan pencapaian Nicol dan dua kakaknya. Tiada apa yang menggembirakan hati seorang ibu melihat anak berjaya," katanya.Kerjaya Nicol selaku pemain skuasy profesional memaksanya sentiasa berjauhan dengan keluarga. Bagaimanapun, katanya jika tiada kejohanan disertai, Nicol pulang berehat seketika bersama keluarga dan ketika itulah dia berpeluang bermesra dengan anak kesayangannya itu."Nicol biasanya pulang ke rumah dua kali setahun. Masa yang terhad itu kami gunakan sebaik mungkin."Ketika inilah saya menyediakan juadah kegemaran Nicol, kuetiau goreng, laksa lemak serta sup ayam," katanya.

Selamat Hari Pekerja

Kepada semua pekerja

Selamat Menyambut Hari Pekerja 2009... Tingkatkan prestasi ok!!!!

Wednesday, April 29, 2009

Kucup Anak Setiap Hari

ANAK adalah harta yang tidak ternilai dalam rumah tangga.Justeru, Islam memerintahkan ibu bapa menanamkan nilai murni dalam diri anak sebaik saja mata si kecil terbuka melihat dunia.Di zaman serba mencabar ini, banyak faktor yang boleh mempengaruhi jiwa dan pemikiran anak-anak.Pakar dalam perilaku kanak-kanak, Robert D Ramsey, berkata untuk mempertingkatkan potensi anak, lakukan panduan ini:


Mulakan hidup anak dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan kurang baik akan menyebabkan anak malu dan rasa rendah diri.
Berikan anak pelukan setiap hari kerana ia memberikan kekuatan kecerdasan
Pandang anak dengan pandangan kasih sayang. Ia membuatkan anak lebih yakin.
Berikan perangsang setiap kali anak berbuat baik misalnya pujian, ciuman hadiah atau senyuman.
Jangan mengharapkan anak yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan. Mereka hanya kanak-kanak yang sedang membesar. Perkembangan mereka membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuk melakukan kesilapan.
Apabila berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga.
Dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, jangan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak merasakan diri mereka beban kepada ibu bapa mereka.
Dengar cerita anak anda. Tunggu giliran anda untuk bercakap.
Tenangkan anak setiap kali mereka memerlukannya.
Lakukan sedikit persediaan untuk anak menyambut hari lahirnya. Sediakan hadiah yang unik walaupun harganya murah.
Luangkan masa bersama anak di luar rumah, pegang tangan anak-anak apabila berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa pentingnya kehadiran mereka.
Hargai permainan kesayangan anak. Pada masa sama, mereka juga akan menghargai barang kesayangan anda.
Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.
Terimalah keadaan anda bukan ibu bapa sempurna. Ini akan mengurangkan tekanan menjadi ibu bapa.

Mendidik atau menghukum?

MENDIDIK anak untuk cemerlang memerlukan ilmu keibubapaan selain naluri kemanusiaan.Jika anda memahami mengapa seseorang anak melakukan sesuatu perkara, pasti lebih mudah anda merangka penyelesaian menangani dan menasihati mereka. Cara terbaik ialah meletakkan diri anda di tempat mereka dan tanya diri sendiri kenapa aku melakukannya begini.


Satu perkara yang anda perlu faham mengenai tingkah laku adalah:
Semua tingkah laku adalah untuk kebaikan diri sendiri

Mungkin tingkah laku anak anda tidak seiring adab sopan, peraturan atau disiplin tetapi percayalah mereka melakukannya kerana ada sesuatu yang mereka cari untuk kepuasan diri sendiri.Selepas memahami 'hukum' ini anda perlu memikirkan sama ada anak perlu dipuji atau dihukum. Ini penting bagi melahirkan anak yang positif minda.Namun, tidak ramai ibu bapa tahu bagaimana memuji atau menghukum anak. Kadang kala pujian ibarat melepaskan batuk di tangga.Ada ketikanya hukuman tidak setimpal, tidak adil dan terlalu mengikut perasaan. Ini menyebabkan anak tidak mendapat pengajaran daripada kesalahan itu.Hukuman terdiri dalam pelbagai bentuk:
Dimarahi dengan kata-kata tetapi tidak menyentuh sifat anak, hanya menyentuh tingkah laku mereka.
Dipukul sedikit (bagi anak-anak yang belum remaja).
Didenda melakukan kerja-kerja rumah.
Disekat sementara dari mereka menikmati hiburan kegemaran atau keluar bersama rakan-rakan.
Dikurangkan wang saku untuk tempoh tertentu. Adalah penting hukuman diberikan selepas anak-anak dimaklumkan kesalahan mereka. Jika kesalahan pertama, jangan terus dimarahi atau didenda.Namun, beritahu anak hukuman bakal menimpa mereka jika mengulangi kesalahan yang sama.Untuk memuji dan memarahi atau menghukum secara berkesan, anda boleh menggunakan kaedah ini:
Maklumkan kepada anak-anak, sejak awal bahawa anda sentiasa melihat dan memberitahu mereka mengenai perkembangan tingkah laku mereka. Nyatakan bentuk ganjaran atau hukuman bakal diterima.
Pujian dan hukuman mesti disegerakan.
Beritahu kebaikan atau kesalahan secara terperinci.
Nyatakan dengan jelas perasaan anda dan kesan tingkah laku mereka terhadap maruah keluarga.
Diam seketika agar anak anda dapat memahami dan merasakan sama apa yang anda rasai.
Jika mahu memuji, galakkan anak-anak mengulangi tingkah laku baik itu. Jika ia suatu hukuman, pastikan anak anda tidak mengulanginya. Beritahu hukumannya jika mengulangi perbuatan itu.
Lihat mata anak ketika anda bercakap dan sentuh mereka bagi membina keyakinannya.

Gula-gula getah pintarkan anak?

CHICAGO - Satu kajian oleh para penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa mengunyah gula-gula getah mungkin dapat meningkatkan pencapaian akademik golongan remaja.
Ketika ini kebanyakan sekolah di AS mengharamkan perbuatan mengunyah gula getah kerana para pelajar didapati suka membuang sisa gula getah yang melekit di bawah meja atau kerusi.
Bagaimanapun satu pasukan penyelidik diketuai oleh Craig Johnston dari Baylor College of Medicine di Houston, mendapati bahawa pelajar yang mengunyah gula getah ketika kelas matematik memperoleh markah lebih tinggi dalam ujian dan gred mereka bertambah baik menjelang akhir penggal berbanding dengan pelajar yang tidak mengunyah gula getah.
Kajian dibiayai oleh pembuat gula getah terkenal,Wrigley.
Pengarah Eksekutif Institut Sains Wrigley, Gil Leveille, berkata, Wrigley mendapat maklum balas daripada ramai pelanggan yang menyatakan mengunyah gula getah menjadikan mereka lebih fokus. - Reuters

Manfaat Membaca

Oleh Idris Musa

SATU ketika Syeikh Abdul Kadir Jailani mendengar suatu suara mengaku sebagai Tuhan serta menyatakan beliau mencapai taraf kedudukan yang tinggi di sisi Tuhannya.“Wahai Abdul Kadir, aku adalah Tuhanmu. Engkau sudah mencapai darjat kekasihku. Mulai hari ini, aku halalkan bagimu apa yang aku haramkan atas hamba-hambaku.”
Mendengar seruan itu, tahulah Syeikh Abdul Kadir yang ia adalah suara syaitan cuba memperdayakannya. “Celakalah kau syaitan! Sesungguhnya Tuhanku tidak akan menghalalkan apa yang sudah diharamkan-Nya.”Syaitan tidak berputus asa, lalu ia berkata lagi: “Sudah ramai wali Allah yang berjaya aku sesatkan dengan helahku, tetapi engkau sudah selamat dari tipuanku kerana ilmumu tinggi.”Balas Syeikh Abdul Kadir: “Celakalah engkau, bukan ilmuku yang menyelamatkan aku dari sebarang tipu dayamu, tetapi rahmat Allah jualah yang dapat menyelamatkan aku.” Demikianlah secebis kisah orang berilmu, tidak sedikitpun terpedaya dengan umpanan syaitan. Berbeza dengan orang jahil yang mudah tewas dengan pujuk rayu makhluk terkutuk itu. Wujud perbezaan ketara di antara orang berilmu dan jahil. Orang berilmu lebih mulia peribadi dan kedudukannya, bahkan dalam ibadat tinggi kualitinya, manakala kehidupannya pula lebih berhati-berhati, tetapi tidak pada orang jahil. Ini sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah, ayat 9 surah az-Zumar, antara lain bermaksud: “Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?Setiap orang memiliki potensi untuk meraih ilmu dan mengembangkannya dengan izin Allah. Oleh itu, kita diperintahkan untuk menempuh jalan melalui pelbagai cara untuk memperolehnya khususnya dengan membaca. Membaca juga perintah pertama yang disampaikan malaikat Jibril kepada Rasulullah.“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu adalah Maha Mulia, yang mengajarkan manusia menulis dengan pena. Mengajarkan manusia apa saja yang tidak diketahui.” (al-Alaq: 1-5)Menurut Dr Gamal Zakaria dalam bukunya berjudul Jalan Menuju Kedamaian, membaca adalah perintah yang paling penting dan paling bermakna ditujukan kepada seluruh umat manusia. “Kenapa perintah pertama mesti membaca? Betapa pentingnya membaca, Allah s.w.t menurunkan perintah terbabit pada wahyu pertama dengan mengulangi kalimah iqra’ sebanyak dua kali,” katanya. Beliau berkata, pada ayat terbabit, Allah s.w.t menjanjikan kepada sesiapa yang membaca kerana Allah akan dikurniakan kepadanya anugerah ilmu, pemahaman dan wawasan baru, walaupun objeknya sama.“Janji Allah dapat dibuktikan dengan sangat jelas dan pasti, ketika kita membaca ayat al-Quran. “Semakin banyak dan berulang kali kita membacanya, akan muncul penafsiran baru, pengembangan pendapat terdahulu dan keajaiban walaupun membaca ayat yang sama. “Begitu juga halnya ketika ahli pengkaji membaca alam jagat raya melalui fenomena dan kejadiannya, akan lahirlah penemuan dan teori baru,” katanya. Kita mendapati orang yang berilmu tabiatnya suka membaca. Membaca membekalkan ilmu dan keperluan utama untuk membangunkan sebuah peradaban dan bangsa yang maju.Dr Gamal berkata, semakin mantap dan bermutu bacaan sesuatu bangsa, semakin tinggi peradabannya. “Hal ini dibuktikan oleh bangsa yang maju dan memiliki peradaban yang tinggi. Mereka adalah bangsa yang rajin membaca buku berkualiti dan menjadikan budaya membaca sebahagian daripada keperluan hidup mereka. “Bertitik tolak daripada budaya membaca ini lahir karya agung dalam berbagai-bagai bidang. “Namun ironinya, masyarakat kita pada hari ini adalah masyarakat yang malas membaca termasuk warga kampus.“Pensyarah dan mahasiswa jarang mengunjungi perpustakaan sehingga masih banyak buku yang belum terjamah.“Masyarakat kita gemar membaca bahan yang bercorak hiburan, sukan dan hobi berbanding buku ilmiah,” katanya. Bahkan tidak mustahil juga dengan tabiat malas membaca, menyebabkan semakin ramai orang yang jahil lagi bodoh, sehingga orang ini mengambil tempat dalam masyarakat dan negara, mengakibatkan semuanya punah. Maksud sabda Nabi s.a.w berikut wajar direnungi: “Allah tidak menarik kembali pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang yang berilmu. Apabila orang berpengetahuan sudah punah, masyarakat mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin dan tempat bertanya. Orang ini akan berfatwa tanpa ilmu, mereka itu sesat dan menyesatkan.”

Monday, April 27, 2009

TEMA HARI GURU MALAYSIA

  • 2009 Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
  • 2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
  • 2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
  • 2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  • 2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  • 2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  • 2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  • 2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
  • 2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
  • 1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
  • 1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
  • 1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
  • 1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
  • 1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
  • 1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
  • 1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
  • 1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
  • 1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
  • 1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
  • 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
  • 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
  • 1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
  • 1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
  • 1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
  • 1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
  • 1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
  • 1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
  • 1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
  • 1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
  • 1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
  • 1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
  • 1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
  • 1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
  • 1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
  • 1975 Guru dan Pembangunan Negara
  • 1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
  • 1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
  • 1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

OBJEKTIF HARI GURU MALAYSIA

  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Sunday, April 26, 2009

PENGENALAN HARI GURU

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

LOGO HARI GURU

Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.

Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.

Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.
Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.

Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.

Thursday, April 23, 2009

Bila emak, ayah susahkan anak

di celah-celah kehidupan
Dalam e-melnya Norsyuhada menceritakan dia sudah mengikuti ruangan DCCK ini sejak lebih 18 tahun lalu, sejak masih belajar di asrama dan kerana keadaan hidup keluarganya sendiri. Banyak pengajaran dapat dikutip, kerana hidup ini memang banyak cabaran. Kalau tiada cabaran, mungkin hidup kita terlalu selesa, hambar dan kita jadi malas untuk memperbaiki diri.
''Di rumah saya merasa amat terpinggir. Saya sering rasa sedih dan menangis. Jadi sekolahlah tempat saya dapatkan ketenangan sambil berazam untuk belajar bersungguh-sungguh, tujuan saya nak masuk U. Nasib saya baik kerana dapat biasiswa dan seterusnya masuk asrama. Tetapi setiap kali cuti saya rasa malas nak balik rumah, sebab geloranya terlalu kuat.
''Ayah saya tak pernah hormat dengan mana-mana wanita termasuk ibunya sendiri, sebab dia kata nenek pilih kasih, cuma bagi tanah pada anak perempuan. Masa kecil dulu bila ayah buruk-burukkan nenek saya percaya tapi setelah dewasa saya jadi semakin faham dan tahu sebabnya.
''Sebenarnya nenek dan datuk dah bagi tanah pada anak-anaknya sama rasa, bukan seekar dua, banyak dan ada dua tiga tempat nama ayah. Malangnya ayah jual kerana tabiatnya suka berjudi akhirnya tanah terjuallah.
''Bila anak-anak semakin besar memerlukan banyak duit ayah minta pada nenek, mana orang tua tu nak cari duit, akhirnya dia marahkan nenek sebab bagi tanah dan rumah pada anak perempuan. Oleh kerana marahnya nenek sakit teruk dan masuk hospital ayah tak pergi lawat. Hinggakan nenek balik dari hospital bukan disambut, sebaliknya nenek kena terajang.
''Saya tak tahu puncanya, tapi saya nampak dengan mata kepala saya sendiri ayah terajang nenek, sebab ayah bertengkar dengan Maksu. Tapi mak kata Maksu yang salah, suka salahkan ayah. Pada adik-adik mak boleh tipu, tetapi saya nampak, sebab masa tu umur saya dah 16 tahun. Masa tu mak baik sangat dengan ayah mungkin takut agaknya, sebab barang kemas emak pun habis tergadai.
''Bila Maksu nak kawin, ayah boikot. Dia larikan diri, tak mahu jadi wali, dia sanggup menyorok kat rumah penagih dadah kat simpang. Dalam perjalanan ayah hasut orang-orang kampung yang ditemuinya supaya jangan pergi kenduri Maksu.
''Ayah sakit hati Maksu dapat rumah sedangkan nenek dan datuk dah belikan kayu, simen dan batu untuk ayah buat rumah tapi ayah tak buat sebaliknya ayah jual barang tu semua. Habis siapa nak percaya ayah lagi.
''Bila tak berduit ayah tak malu duduk rumah nenek jugak yang telah diberikan kepada Maksu, tapi ayah tak mahu bayar duit air dan elektrik, akhirya kena potong. Alasan ayah rumah tu bukan rumah dia, jadi buat apa dia bayar. Sedangkan ayah anak beranak duduk rumah tu berbertahun-tahun, takkan Maksu nak bayarkan dia pun dah pindah selepas kahwin. Masa nenek dan Maksu ada mereka yang bayar. Bayangkan duduk dalam zaman moden sekarang ni bertahun-tahun kami pakai pelita dan guna air hujan, untuk mandi makan minum guna paip kerajaan. Itu jenis ayah saya.
''Maksu memang terkilan tak dapat duduk rumah yang datuk dan nenek wariskan kepadanya, tapi dia tak sampai hati suruh ayah pindah sebab kesiankan kami adik-beradik mana nak pergi. Jadi ayah berlagaklah macam rumah tu dia yang punya.
''Sebenarnya 2 orang adik lelaki ayah pun macam tu kaki judi tikam ekor, habis tanah pusaka dijualkan bila hutang keliling pinggang. Sebenarnya ada betulnya tanah pusaka diberikan kepada anak perempuan, selamat!
''Masa saya dah bekerja, saya masukkan air dan elektrik semula, waktu tu baru saya tahu hutang bil air tertunggak sahaja berjumlah RM2,500 belum masuk bil elekrik. Bila saya minta tempoh sebab tak cukup duit emak mengamuk maki hamun saya.
''Saya hairan mengapa emak tak tahu bersyukur kerana setelah bekerja sayalah yang sara adik-adik. Yang kat U seorang, tiga orang lagi kat sekolah menengah. Walaupun gaji permulaan saya amat kecil, kerana tak pilih kerja, ambil saja mana dapat, sebab tak suka duduk lama kat rumah, banyak masalah.
''Tetapi saya tak bising, saya tak mahu mereka susah macam saya. Tapi, dua orang adik lelaki saya jadi kesayangan ayah sebab anak jantan. Lagi pun mereka tak pernah lihat perangai ayah sebab banyak masa dihabiskan di luar rumah dan mereka buat kerja sambilan untuk tambah duit poket.
''Bila dah bekerja inilah masanya ayah kikis duit saya. Ayah minta saya belikan motor. Emak pulak kalau tak dapat barang yang dikehendakinya segera mulalah tulis surat penuh sindiran pada saya. Lebih dahsyat dia label saya anak derhaka.
''Setiap bulan orang dapat gaji suka tapi saya menangis, sebab kena tanggung satu famili hinggakan untuk diri sendiri tak cukup. Saya pergi kerja naik bas sebab tak mampu nak beli kereta sendiri.
''Setelah empat tahun bekerja, sampailah waktunya saya nak kahwin, masa tu ayah tunjuk taring, dia tak bagi saya kahwin cepat, dia nak buat saya macam Maksu, bila rombongan lelaki tiba dia menengkeng dan menghentak kaki. Malu betul, bincang tarikh kahwin banyak aja alasannya. Sampaikan buat kad jemputan pun ayah mengamuk! Akhirnya makcik kata kadi fully book, dia tak boleh pilih tarikh lain.
''Masa saya kawin, gempar lagi, ayah buat hal, dia nak lari lagi macam dia buat kat Maksu, tapi ditegah oleh adik-beradik mak yang tahu sangat perangainya.
''Satu lagi perangai buruk ayah dia suka mengamuk bulan pada puasa, waktu itu saya rasa duduk macam neraka, sebab dia tak tahan lapar, nak makan malu pada anak-anak. Bila hari raya tiga ekor ayam masak rendang ayah boleh makan seorang, kerana bab makan, ayah tak pernah fikir pasal anak-anak dia. fikirkan dirinya sendiri aja. Kami cuma makan ketupat dengan kuah kacang ajalah.
''Bila saya ada anak, saya nak hantar kat nursery, dia marah. Nak ambil pembantu rumah, dia kata jangan. Dia suruh mak jaga. Maksu ingatkan saya, jangan, nanti susah belakang hari. Tapi saya fikir tentu mereka dah insaf. Betul kata Maksu rumah saya jadi disaster. Bukan je beban bertambah, ayah ikut pindah ke rumah saya.
''Akhirnya jadilah kami suami isteri seperti menumpang di rumah sendiri. Ayah buat saya macam apa yang dia buat kat nenek. Saya beli barang makan tapi, mak masak untuk ayah saja. Tak ada makanan untuk kami, rumah bersepah, pakaian tak berlipat, rumah tak bersapu semuanya saya kena buat sendiri. Di samping menjaga anak, sebab bila saya balik emak dan ayah masuk bilik dia tak peduli hal kami anak beranak. Kerana terlalu penat kami suami isteri makan kat luar.
''Selain beli semua keperluan rumah, saya kena bagi emak duit upah jaga anak, belanja dapur, tanggung adik-adik yang duduk dengan saya dan yang belajar kat kolej. Namun itu semua saya boleh sabar kecuali satu tentang peragai emak dan ayah yang suka memburuk-burukkan saya kepada jiran-jiran keliling rumah.
''Satu lagi perangai buruknya ayah sanggup bergaduh dengan anak saya yang berusia dua tahun berebutkan remote control tv. Itu buat saya kurang sabar. Nasib baik suami saya penyabar. Masa mengandung anak kedua, saya alah teruk, tapi ayah paksa saya pergi balai polis, tolong bayar saman adik lelaki yang kena tangkap.
''Saya cakap pada mak, saya tak larat. Bila ayah dengar terus mengamuk. Saya dah tak tahan, saya cakap kat ayah, kalau nak mengamuk, jangan kat rumah saya. Saya dah ada anak, jiran-jiran dengar tak malu ke. Kat kampung rumah jauh dari orang, boleh la mengamuk. Dia terus diam, tapi pack his bag and went back hometown.
''Mak menangis kerana insiden tu. Mak salahkan saya. Mak mogok seminggu suruh hantar pulang. Masuk hari kelapan mak meraung kat luar rumah, habis jiran-jiran tengok, mak jerit-jerit malukan saya, itulah perangainya sejak saya kecil.
''Mak bagi tahu jiran saya anak tak balas jasa, sedangkan dia dah habiskan barang kemas dan ayah habis jual tanah untuk sara dan sekolahkan saya. Tapi sebenarnya ayah habiskan duit kerana main ekor dan judi itu mak tak cerita. Tapi saya malas nak lawan, kalau saya cerita saya juga malu!
''Lepas kejadian itu ayah mengadu kat adik-adik lelaki saya konon dia terpaksa keluar rumah saya sebab sengsara hidupnya saya buat. Penat ayah cakap emak pun sama dia ikut skrip yang ayah tulis suruh emak baca. Adik-adik tanpa usul periksa serang saya kat rumah. Itu perangai ayah saya.
''Tak cukup di rumah ayah serang saya di pejabat bercerita yang memburukkan saya kepada rakan-rakan sepejabat. Cukup memalukan.
''Mak pulak ayah suruh telefon mertua saya yang dia tak suka dulu, terkejut mertua saya, kerana mak tak pernah telefon mereka. Tujuannya hendak memburukkan saya, dia suruh mertua saya carikan gadis lain untuk suami saya supaya saya diceraikan.
''Lagi mertua saya terkejut, tapi mertua saya rasional, dia kata buat apa malukan anak sendiri dan meruntuhkan rumah tangganya, patutnya kita sebagai orang tua doakan kebahagiaan anak-anak. Terasa malu agaknya, mak saya terus letak telefon.
''Sekarang dah lebih lima tahun saya tak balik kampung, adik perempuan saya pun tak balik kampung. dia lagi pandai minta kerja kat Sabah supaya emak dan ayah tak ganggu dia. Dia dah masak dengan perangai mereka.
''Tapi anak lelaki tetap jadi kesayangan ayah walaupun mereka bantu ayah bila teragak saja. Tapi ayah tetap sayang mereka. Yang rugi tentulah Maksu. ada rumah dan tanah pusaka tetapi tak merasa duduk, sebab ayah kawal. Sedih!

Ketawa terapi untuk kesihatan

Oleh SITI ZALEHA JORIMAI
Ketawa merupakan terapi yang baik untuk tubuh badan.
ADA waktunya kita menempuh hari yang penuh dengan tekanan sedangkan tanpa kita sendiri ia sebenarnya boleh diredakan dengan sedikit jenaka dan ketawa.
Sebab itu terdapat ungkapan yang menyebut 'ketawa itu penawar duka terutama ketika memujuk mereka yang dilanda kemurungan atau kesedihan.
Kebenaran bahawa ketawa itu penawar duka yang mujarab juga sukar ditolak, kerana secara logik pada saat seseorang sedang ketawa tidak mungkin pada masa sama mereka memikirkan perkara yang menyedihkan.
Bahkan, sudah banyak dibuktikan bahawa seseorang yang sentiasa hidup gembira dianugerahkan kesihatan yang berpanjangan.
Golongan perubatan juga percaya bahawa ketawa bukan sekadar terapi yang mampu mengubat ketegangan atau tekanan, bahkan ia mampu menghindari pelbagai penyakit berbahaya termasuk kanser, kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi.
Para doktor turut mengakui bahawa ketawa boleh meningkatkan kesihatan dari segi fizikal mahupun mental.
Seorang profesor perubatan dari University Of California Irnive, Amerika Syarikat, Lee Berk dan kumpulan penyelidiknya sejak bertahun-tahun berusaha merungkai bagaimana mood seseorang itu boleh memberi kesan kepada sistem imun dan mempunyai kaitan dengan penyakit.
Mereka mendapati bahawa ketawa turut mempunyai peranan dalam melawan virus, bakteria, kanser dan penyakit jantung.
Dalam laporan awalnya, Berk mendapati bahawa menonton video berbentuk humor selama sejam dapat mengurangkan penghasilan hormon stres dan membantu sistem imun tubuh menentang virus dan bakteria.
Bagaimanapun sebenarnya banyak lagi kesan yang dibawa oleh ketawa. Beliau membuat kajian terhadap 10 orang lelaki dengan mengukur tanda-tanda tekanan atau stres masing-masing dan memberitahu mereka bawah dalam tempoh tiga hari lagi mereka akan menyaksikan video humor.
Semangat atau perasaan setiap lelaki tersebut ternyata meningkat sebelum menyaksikan video itu lagi. Dua hari sebelum tayangan video tersebut tahap kemurungan (dipresi) menurun 51 peratus, kekeliruan 36 peratus, kemarahan 19 peratus, keletihan 15 peratus dan tekanan 9 peratus.
Sejurus selepas menyaksikan video humor tersebut, kemurungan dan kemarahan menurun 89 peratus, keletihan 87 peratus, kekeliruan 75 peratus dan tekanan 61 peratus.
Berk berkata, biarpun sekadar menunggu untuk melihat cerita-cerita humor sudah boleh menceriakan hidup dan mempunyai kesan pada kesihatan. Beliau menggelar pengaruh ini sebagai 'harapan biologi'.
"Kami percaya ini boleh membantu pesakit pulih daripada pelbagai masalah berkaitan mental," katanya.
Jadi secara kesimpulannya, merancang untuk menonton filem berbentuk humor atau menghabiskan masa dengan rakan-rakan yang sememangnya kelakar boleh memberi faedah kepada kesihatan anda.
Justeru beritahu bos, pensyarah atau pengerusi kelab yang anda sertai agar menyampaikan ucapannya dengan lebih ceria dan diselitkan sedikit dengan unsur-unsur kelakar jika mahu pekerja, pelajar atau ahli kelab yang sihat.
Anda juga boleh menampal petikan-petikan yang kelakar pada kalendar memandangkan ia boleh menjadi terapi yang baik.

Wednesday, April 15, 2009

Cuti.... cuti.... cuti....

Selama saya menjadi cikgu ni, pada masa-masa tertentu kadang-kadang kita akan merasa bosan mengajar dan mengharapkan cuti untuk merehatkan otak yang berserabut dengan tugasan dan kerenah murid. Ini memang tidak dapat dinafikan dalam dunia guru dan saya rasa semua guru pun tentu turut merasakannya.Semasa membelek-belek majalah APO (yang menjadi penawar jiwa saya sebagai seorang guru kerana kelakarnya yang cukup umph), saya terbaca sebab-musababnya guru suka cuti...berikut ialah hujah yang ditulis dalam majalah APO...kalau anda terbaca hujah ini, fikir-fikirkanlah..haha...
KENAPA GURU SUKA CUTI?
Penulis: Nadia
INGAT budak sekolah je yang suka kalau dapat cuti? Tak kurang jugak ngan cikgu-cikgi kat sekolah-sekolah tu...diorang lagilah suka bila dapat bercuti. Hmm..banyak benda dapat dihindarkan mahupun dibuat bila tiba hari cuti.
1. Tak payah menghadap anak-anak murid yang menyakitkan hati dan tak pernah nak dengar cakap cikgu. Cikgu mengajar ikhlas tapi anak-anak murid yang 'tegar' ni macam tak ambik kisah je. Memang dia tak kisah pun, tak lulus periksa pun boleh kerja best, gaji besar apa...betul kan?
2. Tak payah nak mengajar subjek-subjek yang dipaksa untuk mengajar di sekolah. Memang zaman sekarang ni banyak cikgu kena jadi 'cikgu serba boleh'. Sepatutnya ajar Pendidikan Jasmani je tapi dialah juga cikgu Geografi, Matematik, Sejarah dan macam-macam lagi. Kesian cikgu-cikgu camni kan...tak nak ajar, dah tugas, bila cuti tentulah meloncat sukahati.
3. Dapatlah mengelakkan kerenah mak bapak yang suka datang komplen perihal anak-anak mereka. Masalahnya semua yang datang tu takde yang datang dengan tujuan berbaik-baik, banyak yang datang nak ketuk kepala cikgu, nak salahkan sekolah dan pendek kata nak cari kesalahan kat sekolah je. Anak dia semua betul.
4. Sekurang-kurangnya selamat la sehari atau berhari-hari lagi harta cikgu daripada jadi bahan 'vandalism'. Nak-nak pulak kalau dilantik jadi guru disiplin, kemungkinan harta benda seperti kereta, motorsikal untuk dijadikan bahan 'vandalism' adalah tinggi. Setakat kempiskan tayar, toreh-toreh kereta tu biasalah kan?
5. Dapatlah berehat kejap daripada mendengar leteran guru besar atau pengetua mahupun cikgu-cikgu lain yang suka mengutuk. Kadang-kadang bukan semua guru besar atau pengetua ni yang berfikiran jauh dan matang, ada juga yang pendek akal jadi tak hairanlah banyak cikgu zaman sekarang yang semakin tension jadi cikgu.
6. Bolehlah jadi orang biasa kejap. Kalau jadi cikgu ni banyak tekanan. Sekolah harap cikgu dapat bimbing anak murid jadi murid cemerlang, mak bapak pun sama. Tapi hakikatnya, cikgu pun manusia biasa gak, kalau budak tu dah tak nak belajar, cikgu bagus camana pun tentu tak berkesan. sesekali tak pegan title cikgu tu tentu melegakan atau menghilangkan stress para cikgu.
DIPETIK DARI MAJALAH APO MAC 2009
Tabik juga la dengan penulis ni sebab dapat menyelami jiwa seorang guru...mugkin ada guru yang tidak bersetuju dengan tulisan ni....Apa pun majalah APO ni cuma majalah lawak...jadi don't take it hard...haha
Credit to Alexjg, http://malaingtumurong.blogspot.com

Saturday, April 4, 2009

Seronok seksa orang

Oleh Suliati Asri, Harnizam Zahari dan Razlan Adli Zain
rencana@hmetro.com.my

SABAN tahun, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit bagi meningkatkan mutu pendidikan di negara ini.Dalam pembentangan mini bajet untuk 2010, baru-baru ini, RM1.95 bilion diperuntukkan kerajaan untuk memberikan yang terbaik kepada generasi muda.
Usaha itu bukan saja untuk meningkatkan mutu pendidikan, tetapi juga melahirkan generasi Ulul Albab iaitu mereka yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan berilmu pengetahuan.Namun, apabila pelaksanaan dijalankan bagai mencapai sasaran itu, timbul pula pelbagai masalah yang menggemparkan kita, antaranya kes buli.Masyarakat tidak faham mengapa masalah ini masih berlaku walaupun Kementerian Pelajaran menubuhkan jawatankuasa petugas khas bagi menangani isu buli di sekolah sejak April 2004.Sejauh mana keberkesanan kaedah pengawasan dan pembasmian masalah ini masih menjadi tanda tanya. Masalah ini juga cukup membimbangkan berikutan isu buli lebih cenderung dilakukan satu kaum saja iaitu orang Melayu.Kita semua sedia maklum, Islam sangat mementingkan kemurnian hidup dalam bermasyarakat dan menolak sama sekali perlakuan buruk seperti buli selain memerintahkan penganutnya berbaik sesama manusia. Firman Allah: "Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya, kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu."(An-Nisa':1).Kajian Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (Prisma), Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub mendapati ada beberapa faktor yang menyebabkan kes buli ini terjadi.Antara faktor mendorong seseorang itu menjadi pembuli kerana mereka puas apabila menyakiti mangsa secara lisan dan fizikal.Ini menjadikan mereka seronok dengan kejayaannya dan mendorongnya terus melakukan buli.Selain itu, latar belakang keluarga yang bermasalah, pengaruh rakan dan media serta nilai peribadi yang rendah juga faktor penyumbang kepada pembabitan seseorang itu sebagai pembuli.Ini kerana perkembangan emosi dan psikologi remaja amat berkait rapat dengan tumbesaran mereka. Ada yang mengatakan bahawa alam remaja adalah suatu jangka masa yang penuh dengan konflik dan masalah. Kesimpulan yang diperoleh dari kajian itu mendapati pembuli sebenarnya menghadapi masalah emosi kerana mereka memperoleh kepuasan dengan melihat penderitaan orang lain.Dalam konteks ini, emosi dapat ditakrifkan sebagai keadaan yang membabitkan rohani dan fisiologikal dengan pelbagai perasaan, pemikiran dan kelakuan.Jadi, masalah kesihatan emosi ini bergantung sepenuhnya kepada kesihatan hati mereka kerana hati yang sihat membantu melahirkan emosi manusia yang tenang serta baik.Hati yang sakit memberi impak yang besar kepada pemiliknya sama ada dari sudut mental dan fizikal. Firman Allah: "Dalam hati mereka terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)." (Al-Baqarah:10).Hati mempunyai peranan membantu manusia menghadapi cabaran hidup terutama ketika berhadapan dengan konflik dan tekanan, khususnya golongan pelajar.Pada ketika itu mereka melalui kehidupan yang berliku di samping sentiasa mencuba untuk memenuhi impian sendiri dan ibu bapa. Oleh itu, jika berlaku konflik dalaman yang membabitkan hati, ia hanya dapat diselesaikan dengan kembali kepada asas ajaran Islam iaitu zikir. Namun, sejauh mana zikir ini dapat membantu kerana sudah banyak kaedah dilakukan termasuk menghukum dan memberi kaunseling, adakah ia berkesan?Islam mensyariatkan umatnya berzikir secara terus menerus. Ini kerana zikir dapat diaplikasikan melalui amalan yang berbentuk wajib iaitu solat serta sunat seperti membaca al-Quran, bertahmid, bertasbih, bertakbir dan bertahlil. Zikir juga membantu menghilangkan sifat riak dan takbur, memperoleh ketenangan dalam menjalani kehidupan serta menjauhi sifat gahflah atau lalai.Menurut kajian, apabila seseorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat Allah, beberapa kawasan otak menjadi aktif. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk terus melakukan kebaikan.Allah berfirman: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai." (Al-A'raaf:179)Oleh yang demikian, pihak bertanggungjawab perlu lebih kreatif dan menggunakan apa juga cara dalam menangani permasalahan ini agar hasrat negara dalam melahirkan generasi Ulul Albab tercapai.Selain itu juga, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan penting kerana mereka adalah orang yang paling rapat dengan remaja.Media masa dan masyarakat secara umumnya perlu menjalankan tanggungjawab murni ini kerana generasi Ulul Albab hanya terdidik oleh generasi yang bersifat seperti mereka.