Tuesday, May 26, 2009

Lima jenis sabar


SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.
Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'.Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi. Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:
Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.

Sunday, May 17, 2009

Suamiku Penagih Dadah

DALAM pertemuan saya baru-baru ini dengan Norshahira di sebuah restoran di ibu kota, saya jadi kagum dengan kekuatan semangat, keazaman serta rasa tanggungjawab yang ditunjukkan oleh Norsahira demi mengembalikan keharmonian dan kasih sayang dalam keluarganya, walaupun dia tahu dia tidak akan mendapat kerjasama dari suaminya.
''Saya tahu saya perlu banyak bersabar. Dalam masa yang sama saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dilakukan oleh suami saya Bad kerana dia suka berbohong. Perbuatan yang menjadi kebencian saya. Berbanding saya suka kejujuran dan workaholic. Kerana kuat kerjalah saya terlewat berkahwin.
''Namun Allah menemukan saya dengan Bad melalui seorang kawan. Walaupun dia ada menceritakan siapa Bad sebenarnya, tetapi entah macam mana perasaan saya bertukar jadi suka kepadanya, mungkin kerana perasaan kasihan agaknya.
''Dalam masa tak sampai empat bulan saya membuat keputusan untuk bertunang dan berkahwin, walaupun saya tahu latar belakang hitam Bad yang sering keluar masuk pusat dan penjara.
''Saya dapati Bad baik hati, ikhlas, dan dia memang berusaha untuk memulihkan dirinya, dan sebagai pegawai atasan ketika itu saya dapat lihat dia memang mahu berubah, cuma dia tidak ada kekuatan untuk menahan ombak dan badai, tanpa seseorang di belakangnya. Dan saya juga berpendapat semua orang harus diberi peluang untuk berubah.
''Untuk mencapai hasrat itu saya berharap selepas setahun berkahwin saya mesti letak jawatan untuk sentiasa di sampingnya, kerana dia tidak boleh bersendirian. Di samping itu saya mesti meminggirkan ramai kawan-kawan saya, kerana saya perlu beri perhatian kepada Bad.
''Bad juga mesti buang kawan-kawan lamanya, kerana kita sedia maklum orang sepertinya, biasanya hancur atau mudah terpesong jatuh kembali ke lubuk lamanya kalau terjumpa kawan-kawan yang tak betul.
''Tetapi entah macam mana, walaupun duduk serumah, tetapi saya dapat rasakan hubungan kami tidak begitu rapat. Jiwa saya terasa kosong. Tak seperti kami mula berkahwin dulu. Bad balik ke rumah tetapi dia sentiasa cuba menjauhkan dirinya dari saya, dia sering memberi alasan penat dan tertidur kerana keletihan dan macam-macam. Dia tak mahu berbual seperti dulu.
''Nak jadikan cerita satu hari saya diarahkan menghadiri mesyuarat di luar daerah selama tiga hari, tetapi masuk hari kedua saya terima berita yang amat mengejutkan Bad kena tangkap ketika sedang menagih. Terkejut saya, sebab sebelumnya dan selepas berkahwin, Bad menunjukkan tanda-tanda dia sudah pulih dari menagih.
''Habis meeting, saya berkejar balik untuk menjamin dia. Ketika itu jualah saya ambil keputusan segera berhenti kerja. Permohonan diluluskan. Saya balik ke KL, mungkin di tempat baru yang jauh dari tempat asalnya mungkin Bad tidak terjebak. Lagi pun setelah berhenti kerja saya boleh bersamanya dan buat kerja bersama, mungkin dia boleh berubah.
''Tak lama di KL saya hamil. Semasa di hospital dan dalam pantang Bad banyak membantu saya, menyediakan air panas untuk mandikan baby, masak makanan khas saya, menjaga baby semasa saya berurut.
''Walaupun tak bekerja, tetapi saya reda, mungkin inilah ujian yang diberi Allah kepada saya untuk memberi saya banyak pahala lagi. Dan mungkin ada rahmatnya kepada saya nanti.
''Dalam pada itu dia banyak membantu saya membuat banyak kerja yang saya lakukan dari rumah yang membawa banyak pendapatan kepada kami suami isteri, Entah macam mana dalam pada membantu saya bekerja inilah dia berkenalan dengan seorang lelaki yang kononnya boleh membantu dia berdikari.
''Oleh kerana niatnya baik saya izinkan. Tetapi setelah dia bekerja dengan kawannya ini, langkahnya semakin jauh dari saya. Alasannya kerana tugas, balik subuh sudah jadi perkara biasa.
''Dalam pada itu saya mengandung kali kedua, ketika itu anak yang tua sudah berusia tiga tahun. Dia amat bijak, berbanding usianya. Saya terasa amat bahagia. Tetapi semasa mengandung lima bulan perubahan Bad jadi amat ketara. Hobinya suka tengok benda-benda lucah dalam internet. Lagi pelik dia tidak pernah tidur dengan saya sehingga saya habis pantang. Mana dia lepaskan nafsunya setelah melihat benda-benda lucah tu? Satu persoalan yang mengganggu fikiran saya.
''Satu kelemahan saya terlalu sayang dan percayakan suami, akibatnya banyaklah bil-bil yang tak selesai dibayar. Hati saya mula mengesyaki perkara yang tak baik, dalam diam saya buat kajian tentang dadah, saya bertanya mereka yang tahu pasal dadah dan saya layari internet mencari bukti mengenal mereka yang menagih dadah, dan jenis-jenis dadah yang popular kini dan kesannya kepada orang yang mengambilnya.
''Sebenarnya dadah zaman sekarang sukar nak kesan orang yang menaih. Kalau dulu heroin orang yang menagih nampak haggard, leleh dan lentok, tetapi dadah moden sekarang seperti syabu, ice, pil kuda, morfin dan banyak lagi, ia akan membuat seseorang itu hyperaktif, tak tidur, segar bugar, dan tak mengantuk. Badan tak kurus sebaliknya elok macam biasa.
''Sikap seperti ini tahan dua atau tiga hari, lepas itu kena ambil lagi kalau nak segar. Kalau tidak ambil dadah lagi dia akan mengantuk dan lemah. Tetapi lama kelamaan ia akan membunuh nerve penagihnya secara tidak disedari.
''Kerana bimbangkan dirinya, saya sering bertanya mengapa dia lambat balik, jawapan yang diterima tak macam dulu, suara mula meninggi, ketakutan mula menguasai diri saya, sebab saya tak tahu dirinya di bawah kuasa dadah jenis apa, saya bimbangkan keselamatan diri dan anak-anak. Manalah tahu kalau dia naik angin, kami bakal menjadi mangsanya pulak.
''Kerana selalu bertanya dia mula mengubah cara tidak lagi balik malam, tetapi keluar pagi dan balik malam. Tetapi bila ada di rumah dia adalah suami yang baik, banyak membantu saya buat kerja rumah seperti mencuci pakaian, melipat, cuci pinggan mangkuk, kalau malam dialah yang bagi susu anak. Lebih baik semasa saya dalam pantang anak kedua, dialah jadi pembantu saya.
''Tetapi selepas habis kerja rumah dia akan keluar dan malam baru balik. Bila ditanya katanya ada kerja, tolong kawan alasannya nak cari sedikit duit paling tidak untuk beli susu anak. Alasannya memang baik membuat mulut saya tertutup.
''Satu lagi tabiat buruknya, sebaik sahaja dia keluar rumah, saya tidak dapat menghubunginya, telefon dia tutup ataupun tidak mahu dijawab. Kalau berlaku sesuatu yang buruk ada kemalangan, kematian, atau apa sahaja saya tidak akan dapat hubunginya, dan dia tidak akan tahu hinggalah dia balik ke rumah malam nanti.
''Puas saya nasihatkan supaya jawab panggilan telefon, tapi dia tidak menjawab. Paling tidak dia beritahu telefon tertinggal dalam kereta, tak terdengar dan macam-macam alasannya.
''Saya telefon hanya untuk memastikan dia tidak terjebak kepada perkara-perkara tak baik, tetapi dia tak peduli. Sebaliknya menganggap saya mengganggu hidupnya. Kerana itu saya dapatkan khidmat Friend Finders melaluinya, saya boleh mengesan ke mana dia pergi dan berapa lama dia berada di satu-satu tempat itu. Kerana kalau tertangkap saya jugak yang susah.
''Perkhidmatan ini tidak memakan belanja yang banyak, saya mampu, dan lebih penting saya boleh tahu sama ada dia berbohong bila memberitahu saya bila balik ke rumah nanti. Selalunya dia memang berbohong. Katanya pergi ke tempat A, tetapi sebenarnya di tempat E. Kadang-kadang dia kata tolong hantar kawan ke B sedangkan dia duduk empat jam di tempat G. Tak pernah satu pun soalan saya dia jawab betul, semuanya bohong belaka.
''Walaupun saya tahu dia berbohong, tetapi saya tak pernah tempelak dia. Saya nak tengok berapa lama dia nak berbohong. Friend Finders tak pernah berbohong, dia akan beritahu lokasi Bad berada dengan tepat. Lengkap dengan masa dan lokasinya secara detail.
''Walaupun kami baru enam tahun berkahwin, tetapi kelakuannya suka berjudi dan mengambil dadah amat menakutkan saya. Saya bimbang barang-barang hiasan dalam rumah kami juga bakal jadi mangsa curi dan gadaiannya satu hari nanti.
''Terbaru saya dapat tahu dia gadaikan barang kemas emaknya alasannya dia terpaksa kerana nak beli susu anak kami yang baru lahir. Sedangkan saya tak tahu hal tersebut, hinggalah satu hari adiknya datang bercerita. Mana muka saya nak sorok.
''Kini, saya tak tahu apa harus saya lakukan, nak tanya berdepan dan berterus terang saya takut tindakan aggeresifnya yang dikawal dadah tu. Saya juga takut dia terlibat dengan sindiket haram seperti dadah atau perempuan. Kerana saya tahu dia mungkin ada duit kerana mampu beli nombor ekor lebih seratus ringgit sehari. Tetapi dalam masa yang sama dia masih mengambil duit saya bila terluang.
''Saya luahkan perasaan hati saya ini kerana ingin mendapatkan pandangan pembaca apa patut saya lakukan, nak tunggu dia tinggalkan dadah tak mungkin terjadi, kalau nak suruh saya bersabar berapa lama lagi? Saya tak mahu anak-anak dan saya menjadi mangsanya".

Tuesday, May 12, 2009

Profesion guru ke tahap tinggi


Oleh MARZITA ABDULLAHpengarang@utusan.com.my
MEMENUHI tuntutan sebagai seorang pembina negara bangsa yang diletakkan ke bahu pendidik telah bermula sejak sebelum merdeka. Hingga kini, tanggungjawab itu tidak pernah sedikit pun berkurang.
Namun situasinya kini berbeza. Pelajar semakin ramai dengan sikap dan minda yang berbeza. Apatah lagi dengan keterbukaan dan kelantangan masyarakat memperkatakan tentang senario pendidikan negara maka peranan guru sebagai pembina negara bangsa semakin luas dan mencabar.
Inilah juga yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran melalui tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, sambutan Hari Guru yang ke-38 dan kali ini sambutannya diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Terengganu pada 16 Mei ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, guru alaf baru kini tugasnya bukan sahaja mendidik daripada segi akademik tetapi membina suatu bangsa negara, bangsa Malaysia yang bermodal insan, cintakan negara, mempunyai keyakinan tinggi, jati diri kukuh, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral. Ia penting untuk hidup sebagai sebuah masyarakat penyayang, demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik.
Inilah juga yang dimaktubkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2020 iaitu Membina Negara Bangsa dan ia sejajar dengan Wawasan 2020 yang kini hanya tinggal 10 tahun untuk direalisasikan menjadi Malaysia negara maju dalam acuannya sendiri.
"Walaupun negara bangsa telah wujud sejak kita mencapai kemerdekaan tetapi ia mesti ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana wujudnya persaingan globalisasi.
"Ia menuntut setiap negara mengukuhkan negara masing-masing daripada segi ekonomi mahupun pertahanan dan guru pula wajib memberi pendidikan terbaik untuk para pelajar,'' ujarnya.
Kata beliau, peranan guru era pasca dan sebelum merdeka sama penting.
"Selepas negara merdeka, kita melihat pendidikan sebagai bidang yang amat penting kerana kerajaan telah memberi peruntukan yang besar berbanding kementerian-kementerian lain,'' katanya.
Ini turut menjelaskan betapa kerajaan amat percaya dengan pelaburan yang besar itu ia boleh membawa pulangan yang besar kepada negara.
Katanya, cabaran untuk guru menambah ilmu dalam dunia ledakan maklumat bukan sahaja sesama mereka malah perlu bersaing dengan pelajar yang ada ketikanya lebih terkehadapan menerokai teknologi komunikasi maklumat (ICT).
"Kecanggihan pelajar menyebabkan guru kini perlu berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat, media massa dan pengaruh budaya luar. Maka amat penting untuk sekolah memastikan berlakunya pembangunan modal insan yang cemerlang,'' tegasnya.
Modal insan yang cemerlang bermakna individu itu turut mahir dalam membuat keputusan, berakhlak dan bermoral tinggi, berani, amanah, jujur, bekerjasama dan bertanggungjawab, suatu acuan individu yang mempunyai daya tahan dalam erti kehidupan globalisasi.
"Beratkah tanggungjawab guru sekarang? Sudah pasti, jika dibandingkan dengan 20 tahun atau 30 tahun lalu tetapi inilah peluang untuk guru menunjukkan kebolehan,'' katanya lagi.
Menurut Alimuddin, dedikasi, sabar dan tabah serta bertanggungjawab semasa menjalankan tugas adalah kunci utama untuk menangani kerenah masyarakat apatah lagi pelajar.
Dan sudah pasti peranan ibu bapa dalam dunia pendidikan bertambah memandangkan anak-anak mereka hanya berada di sekolah kirakira enam jam maka perhatian terhadap anak-anak perlu ditingkatkan.
Namun kata beliau, sikap masyarakat moden kini yang tidak suka "menjaga tepi kain orang lain" perlu dikembalikan.
"Menegur dan saling ingat-mengingatkan dan saya fikir banyak isu disiplin pelajar di luar sekolah dapat diselesaikan dengan sikap ini,'' katanya.
Walau bagaimana berat sekalipun tanggungjawab yang dipikul oleh guru namun Kementerian Pelajaran tidak pernah alpa terhadap kebajikan mereka.
Pada masa ini, terdapat 17 laluan kerjaya kepada guru seperti guru cemerlang, Pengetua cemerlang, Guru Besar cemerlang, Pegawai Pendidikan cemerlang. Malah tahun lalu sahaja sebanyak 62,000 jawatan naik pangkat dan naik gred telah diberi kepada guru-guru.
Daripada segi kewangan pula, banyak elaun diberi kepada guru seperti elaun Guru Besar dan Pengetua, elaun warden, elaun mata pelajaran kritikal dan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI ) serta elaun guru kawasan pedalaman yang mencecah kepada RM1,500 sebulan.
"Ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap guru malah apa juga imbuhan yang diberi kepada kakitangan kerajaan lain, guru juga menikmatinya misalnya pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan mahupun rawatan di hospital,'' katanya.
Tegas Alimuddin, profesion perguruan kini sudah sampai ke tahap tinggi jika dilihat daripada permohonan untuk menjadi guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Tahun ini ia mencecah lebih 90,000 permohonan sedang kekosongan untuk diisi ialah sekitar 5,000 tempat sahaja.
Beliau turut menolak tanggapan masyarakat bahawa senario itu seperti sebelum ini yang diamalkan oleh graduan negara yang menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan akhir.
"Senario itu tiada lagi kerana banyak permohonan bermakna banyak pilihan. Hanya mereka yang layak diterima,'' tegasnya.
Sementara itu, sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 akan bermula pada 14 Mei dengan pertandingan separuh akhir Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan kategori bahasa Malaysia dan kategori bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail, Terengganu sementara pertandingan akhir pada 15 Mei.
Keesokannya, Majlis Menjunjung Budi untuk guru-guru di kawasan pedalaman dan guru di pulau serta guru kurang upaya akan diadakan. Ia turut melibatkan guru integriti dan guru di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang.
Satu Forum Pendidikan akan diadakan di Wisma Darul Iman bertajuk Guru Pembina Negara Bangsa.
Ahli-ahli panel forum terdiri daripada tokoh pendidik Tan Sri Wira Dr. Abdul Rahman Arshad, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
Sebagai menghargai usaha guru, Guru Besar dan Pengetua dalam memperkasakan ICT di sekolah, Anugerah Guru Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Anugerah Pemimpin TMK juga akan diadakan.
Sempena sambutan Hari Guru itu juga, Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan mengadakan Festival Hari Guru Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula 14 Mei sehingga 17 Mei dengan pelbagai acara menarik untuk orang ramai.

Monday, May 11, 2009

Rahsia hati seorang ibu


RASANYA tidak terlewat bagi saya merakamkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada kaum ibu Malaysia yang disambut semalam.
Apakah persediaan anda untuk menyambut Hari Ibu kali ini? Sudah dibelikan hadiah istimewa untuk ibu tersayang atau cukup sekadar dakapan kasih dan ucapan penghargaan?
Saya pasti kebanyakan ibu tidak mengharapkan hadiah istimewa dan berharga daripada anak-anak, memadai ucapan dan kata-kata sayang, itu sudah menjadi penawar kepada sebuah kerinduan yang ditanggung oleh ibu.
Apa pun sambutan yang bakal anda raikan, satu perkara yang perlu kita ingat, sebesar mana sekalipun nilai hadiah yang anda berikan tidak akan sama dengan kasih sayang dan perhatian yang seorang ibu harapkan daripada anak-anaknya.
Letakkan wang ringgit menggunung, harta berbukit-bukit mahupun perhiasan yang berkelip-kelip, ia tidak akan semegah dengan kasih sayang yang anak-anak berikan.
Kasih sayang yang saya maksudkan adalah ketelusan anak-anak dalam menjaga dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Perhatian dan kasih sayang itulah yang sebenarnya berkurangan dalam diri anak-anak pada masa ini.
Di sebalik meraikan kedatangan Hari Ibu dengan majlis dan pesta makan-makan, apa kata kita renung sejenak, sudahkah kita sebagai anak benar-benar telah menjalankan tanggungjawab terhadap ibu dengan sebaik-baiknya?
Cukupkah perhatian, kasih sayang dan bantuan yang kita hulurkan untuk ibu agar dia dapat meneruskan kehidupannya sehingga ke hujung nyawa. Bagi yang tidak punya ibu lagi, sudahkah cukup bersedekah dan berdoa untuk kebahagiaan arwah ibu di alam baqa?
Saya tidak ada jawapan pasti yang boleh diberikan kerana sebagai anak saya yakin kebanyakan daripada kita tidak pernah terfikir untuk mengukur atau mahu mencatatnya sepertimana kita mengisi diari harian untuk memenuhi tanggungjawab yang sarat di pejabat, aktiviti dan lain-lain perkara sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.
Pernahkah kita bayangkan bagaimana setianya ibu menunggu kepulangan anak-anak yang tidak kunjung tiba kecuali musim cuti sekolah atau ada kematian dan kenduri-kendara. Juga berapa kerap kita bertanya keperluan ibu walaupun dia tidak pernah bersuara dan tidak pernah meminta-minta.
Malah kita langsung tidak pernah cuba mengorek rahsia hati ibu sendiri - tentang perasaannya menangani kerenah anak- anak yang pelbagai, hati seorang ibu yang sering tersenyum di sebalik derita dan hati yang terguris luka.
Seorang ibu yang menangis di kala gembira dan meratap di kala duka kerana anak-anak. Satu perkara yang nyata, apabila balik kampung untuk bertemu ibu, perkara pertama yang kebanyakan dilakukan oleh anak-anak meminta ibu memasak yang sedap-sedap.
Kononnya hendak bermanja tetapi kita lupa sebenarnya kita menyusahkan ibu. Dalam keletihan ibu bangun dan berusaha melakukan yang terbaik untuk menggembirakan anak-anak. Malah ada juga yang meletakkan anak-anak di bawah jagaan ibu.
Tidak pernah dia merungut, tidak pernah dia berkata tidak mahu. Juga tidak pernah dia membebel atau berpaling muka. Bukan untuk anaknya saja, tetapi juga untuk menantu dan cucu-cucu bagi mereka yang telah mendirikan rumah tangga. Wajarkah tindakan kita itu walaupun pada hakikatnya ibu yang beria-ia hendak melakukannya.
Berlainan pula ceritanya dengan kisah ibu yang sekadar mengharapkan anak-anak tetapi realitinya harapan hanya tinggal harapan kerana anak yang dinanti tidak muncul-muncul.
Sebabnya? Kerana anak-anak tidak menilai kasih sayang dan pengorbanan yang telah ibu mereka lakukan sejak mereka lahir, diasuh menjadi dewasa, berjaya dalam pendidikan, berjawatan tinggi tetapi pendek akal untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu.
Lebih menyusuk jiwa apabila ada di antara mereka lupa siapa yang mengandung dan mendidik mereka. Seorang wanita tua yang telah kering air mata menangisi mereka, seorang ibu yang bercekang mata menjaga mereka ketika tidur diganggu nyamuk yang mengganas.
Tapi adakah kita insaf pada pengorbanan itu? Adakah kita menganggap sebagai sejarah yang tidak perlu diingat lagi. Aduhai, sedihnya hati ibu jika demikianlah anggapan anak-anak.
Menyelami hati
Berdosa kita jika tidak menyelami hati seorang ibu, mereka yang dikurniakan fitrah sebagai insan istimewa yang punya nilai keibuan yang cukup tinggi, sarat dengan kasih sayang, penyayang dan prihatin.
Lalu teringat pada kisah zaman anak-anak di mana kebanyakan kita selalu ingkar kepada arahan ibu. Suruh itu ini kita tak mahu buat, kita membebel, marah-marah, bentak-bentak dan selalu hilang dari rumah. Kita rela bermain sehari suntuk daripada menolong ibu di rumah.
Meningkat remaja kita mula melawan cakap ibu. Sudah pandai berkawan lain pula perangainya. Bila ada pendidikan tinggi, lupa pula sejarah hidup dan kepayahan ibu bapa mendidik dan membesarkan kita. Dapat isteri atau suami, kasih terbahagi dua tapi kita tidak tahu menimbangnya dan menjaga hati ibu.
Cakap ibu tidak lagi dijadikan azimat tetapi sering dijadikan topik untuk bertikam lidah. Sampai ke tahap kita buat semua perkara tanpa pengetahuan ibu. Perkara yang kita suka tetapi tidak boleh diterima oleh ibu kita dahulukan.
Ada yang berfikiran waras, nasihat dan teguran diambil kira, sayang sekali bagi mereka yang hanya menurut kata hati, teguran ibu bagaikan belati menyusuk hati, hingga hilang jati diri.
Akibatnya bertindak ikut nafsu sehingga ibu makan hati. Namun anak tidak pernah merasainya, bagi mereka bahagia jika dapat apa yang dihajati. Kita lupa perbuatan kita melukai hati ibu. Namun dia tetap tersenyum. Itulah ibu! Tak pernah nak ambil hati dengan perangai anak-anak.
Seperti bapa, ibu juga adalah manusia yang punya hati dan perasaan ciptaan Allah SWT. Allah menuntut di dalam al-Quran supaya ibu dan bapa adalah orang yang paling perlu dikasihi dan dihormati setiap masa.
Kemewahan dan harta benda kini menjadi asas nilai kasih sayang sesama manusia termasuk kepada ibu bapa. Janganlah kerana pentingkan diri sendiri kita sanggup membunuh perasaan dan cinta kasih sayang kepada ibu.
Allah menzahirkan perasaan sayangnya-Nya kepada manusia melalui ibu yang mengandung, melahir dan mendidik kita . Sudah cukup derita yang mereka tanggung sebelum kita lahir ke dunia. Sifat kasih dan penyayang ibu ini bukan ciptaan dan lakonan tetapi realiti fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada si ibu.
Itulah sebabnya menderhaka kepada ibu bapa adalah salah satu dosa besar yang tidak boleh diampun kecuali oleh mereka sahaja dan balasannya akan diterima bukan sahaja di akhirat, malah di dunia.
Sehubungan itu, seperti yang saya katakan di awal catatan ini, sesekali elok kita cermin diri, kita renung dan berfikir, apakah cukup sudah pengorbanan dan jasa ibu yang kita balas?
Jawapannya tentu belum cukup. Sampai bila-bila pun tidak akan cukup. Tetapi masih ada ruang untuk kita menambah baik apa yang tertinggal, menebus kesilapan dan kekurangan. Masih belum terlambat sebelum ibu menutup mata.
Jika anda masih belum sedar dan leka dengan alam fantasi, jangan salahkan keadaan jika terjadi sesuatu yang bakal menjadikan kita sebagai anak yang akan menyesal seumur hidup.
Ketika itu, menangis dengan air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi. Ingatlah, doa seorang ibu paling mustajab, begitu juga sebaliknya. Jika pun mereka ada tersilap, jangan simpan di hati.
Emas yang setinggi gunung sekalipun tidak akan menjamin kebahagiaan di dunia, apatah lagi di akhirat jika melukai hati ibu. Sekalipun kita sedekahkan kesemua harta yang ada, ia tidak dapat menebus dosa kita terhadap ibu.
Dengan rasa rendah diri dan insaf, marilah kita cermin diri. Jangan hanya beria-ia untuk bersuka-suka dan menggembirakan hati ibu dengan acara glamor semata-mata tetapi fikirkanlah jariah yang boleh membawa kebahagiaan buat kita sehingga ke akhir hayat.
Doa saya buat semua ibu-ibu semoga anda semua sihat dan diberi kekuatan untuk terus menjadi pelindung kepada kesinambungan sebuah kehidupan buat buat zuriatmu.
Terima kasih atas segala pengorbanan dan jasa. Kepada mereka yang telah tersilap langkah meninggalkan rumah dan pernah melukai hati ibu atau apa-apa sahaja, pulanglah! Dan katakan maafkan saya ibu!
Istimewa buat wanita istimewa dalam hidup saya yang bernama Rona, terima kasih kerana sentiasa ada untuk berkongsi cerita. Sebagai anak, saya tahu kekosongan dan kerinduan mak kepada Kak Long. Sebenarnya kita semua sama-sama rindu mak!
Menutup kata, pesanan telus saya, wanita, isteri dan ibu ibarat matahari yang tidak pernah hilang, sentiasa bercahaya, panas dan membakar.
Salam.

Kecewa dituduh anak sial


Puan Hasanah dalam e-melnya melahirkan rasa kecewa kerana sikap ibunya yang dianggapnya tidak berperikemanusiaan dan kejam terhadapnya, semuanya kerana dia tidak dibesarkan oleh ibunya. Sebaliknya diserahkan kepada nenek untuk dibesarkan, sejak dia berusia tiga bulan, kerana ibunya mendakwa kelahirannya punca rumah tangga ibunya hancur.
''Lepas nenek meninggal dunia, mak layan saya macam anak tiri. Mak selalu cari kesalahan saya. Dituduhnya saya hati batu, dengki, degil dan lain-lain. Saya sering tertanya apa dosa saya hingga setiap percakapan dan perbuatan saya asyik tak kena di mata mak. Macam-macam benda saya buat untuk ambil hati emak. Tetapi semua dia tak suka.
''Bila saya fikirkan masalah saya ini, saya rasa semuanya kerana saya tidak tidak dipelihara oleh mak dan ayah kandung sendiri. Terlalu berat dugaan yang Allah berikan kepada saya. Saya dibesarkan oleh nenek dan datuk di kampung setelah emak bercerai. Mak kata saya anak jahat sejak dalam perut, masa kecil dulu saya tak faham maksudnya, dah semakin besar saya cuba mencari ertinya yang sebenar.
''Kerana hidup sunyi duduk dengan nenek akhbar Utusan Malaysia jadi kawan baik saya terutama Mingguan Malaysia, dan saya mula kenal dengan DCCK sejak tahun 1980-an lagi ketika saya berusia 12 tahun.
''Kalau tak dapat baca Pancaindera ketika itu saya jadi ketagih, saya jadi taksuk dengan cerita dan kisah pahit manis alam perkahwinan, terutama setelah memikirkan diri yang dipelihara oleh nenek setelah emak dan ayah bercerai.
''Namun saya masih terdengar kata-kata nenek ketika saya di sekolah menengah dulu, katanya, ''Bilo nenek dah mati sok, tak taulah apo nak jadi dongan kau! Ontah apolah orang nak buek kat kau? (nenek saya orang Negeri). Tepat seperti kata-kata nenek, sejak nenek meninggal hinggalah saya berkahwin, saya tidak pernah disukai oleh ibu saya sendiri.
''Kini sudah empat tahun saya tak jumpa emak. Namun tak pernah terniat dihati jadi anak derhaka, tapi apalah maknanya kami berjumpa kalau hati mak ak pernah ikhlas menerima saya, malah menganggap saya sudah mati.
''Kisahnya bermula bila saya sekeluarga pindah ke rumah baru, dengan ikhlas hati saya ajak emak tinggal dengan saya. Sebab saya kesian emak duduk berhimpit-himpit dengan keluarga kakak yang ramai anak, lepas tu terpaksa turun naik flat empat tingkat. Kesian emak kena jaga kesihatan, umur semakin tua, jadi biarlah saya jaga emak pulak.
''Walaupun rumah kakak ada tiga bilik tapi yang satu tu kecil jadi tentu mak duduk tak selesa. Bila adik beradik datang rumah tu sesak bukan saja padat dengan orang, tetapi juga dengan perabut. Sampaikan nak tengok tv pun berhimpit-himpit.
''Mulanya mak macam berat hati nak ikut tapi lepas saya dan suami pujuk akhirnya dia setuju. saya ingat lagi, masa tu saya tengah sarat mengandung lapan bulan anak keempat. Tiba harinya, suami ditemani kawannya, menyewa van pergi ke selatan ambil emak bersama barang-barangnya. Pagi lagi dia bertolak supaya dapat balik hari yang sama.
''Baru tiga bulan sebumbung ada cuti umum panjang suami ajak saya balik ke kampungnya, kami ajak emak ikut sama. Tetapi dia menolak sebaliknya minta hantarkan ke rumah adiknya di Melaka. Kami ikut sahaja kehendak emak. Kerana itu pilihannya.
''Tetapi peliknya malam sebelum kami bertolak ke kampung suami mak panggil suami saya dan dia beri 'kuliah panjang'. Mulanya saya ingat mereka berbual, tetapi suara emak sahaja yang bercakap. Keras bunyinya. Saya ambil kesempatan 'pasang telinga'.
''Saya dengar emak bercerita pasal saya dari kecil dan kenapa dia serahkan saya kepada nenek dan datuk. Malam itu baru saya dapat jawapan yang saya cari-cari selama ini apa sebenarnya makna tuduhan dan sindiran emak kepada saya sejak saya kecil bahawa saya ''anak jahat sejak dalam perut." Sungguh saya tak sangka emak kata saya jahat sejak dalam perutnya lagi.
''Bila teringatkan kata-kata emak baru saya teringat dulu nenek pernah bercerita sejak emak mengandungkan saya emak sering bergadung dengan ayah saya, emak kata ayah main kayu tiga. Mereka bergaduh siap tolak-menolak. sekejap mak tersandar ke dinding, sekejap ayah pula tersasar. Mak saya panas baran ayah pulak cool.
''Disebabkan selalu 'berperang' dan tension, apatah lagi emak tengah mengandung, mak selalu hangin, sampai emak pernah cuba bunuh diri dilanggar kereta, nasib baik ada orang selamatkan.
''Kerana selalu sangat bergaduh tak kira siang malam, saya yang dalam perut emak, turut rasa 'terseksa'. Sebab tu saya dilahirkan ketika 7 bulan. Kerana itu emak anggap saya anak sial. Ye la, kerana mengandungkan saya emak bercerai. Jadi saya ni pembawa malang dan dikatakan 'anak jahat dari dalam perut'' jadi punca dia bercerai. Tapi emak lupa bahawa hidup mati, rezeki, jodoh itu semua adalah ketentuan Allah jua.
''Namun itulah kenyataan dan punca saya dilayan macam anak tiri bukan sebagai darah daging sendiri. Selepas mendengar penjelasan emak apa makna 'anak jahat sejak dalam perut,' saya jadi sedih teramat sangat sampai nak tengok muka emak pun tak sanggup.
''Saya rasa kecewa kerana dari saya kecil hinggalah saya berusia lebih 30 tahun ini emak masih tak puas hati tuduh saya anak sial punca dia diceraikan, emak tak pernah berfikir bahawa jodoh pertemuan adalam ketentuan Allah, saya tak tahulah apakah kerana emak terlalu sayangkan ayah atau kerana tak dapat nak kawal pergerakan ayah kerana ketika itu dia mengandung.
''Mungkin fikirnya kerana dia mengandung maka dia tidak disukai ayah dan punca ayah cari wanita lain. Apakah itu salah saya yang ada dalam kandungannya?
''Kerana sedih dengar tuduhan emak, saya jadi sugul dan tak mahu bercakap dengan emak, sebab saya takut keadaan jadi lebih gawat. Akhirnya emak minta dihantar balik ke rumah kakak.
''Tak sudah di situ emak minta balik duit yang dia beri kat saya untuk buat kabinet dapur sebanyak RM2,000. Manalah saya nak cari duit sebanyak itu dalam masa singkat, lagi pun saya tak pernah minta, emak yang nak sangat buat kabinet tersebut.
''Kerana tak mahu gaduh panjang saya pinjam duit kawan RM500 bagi pada emak sebagai ansuran. Janji saya bakinya akan saya bayar kemudian. Semasa menghantar emak ke rumah kakak kami suami isteri tak ikut, kami sewakan van kawan minta tolong hantarkan. Semasa dalam perjalanan, saya jadi bahan cacian emak kepada kawan suami saya dan isterinya.
''Malunya tak boleh nak cerita, kerana emak mengadakan cerita tak betul, kerana saya tak lama tinggal dengan emak, sebab saya dibesarkan oleh nenek dan datuk, jadi mana emak tahu keburukan saya. Takkan punca emak bercerai kerana saya duduk dalam perutnya.
''Jadi mulai hari itu hingga kini, saya tak sanggup nak menziarahi mak. Hancur hati saya kerana dituduhan anak sial. Tiga bulan bersama emak bagaikan tiga tahun saya rasakan tekanan perasaan. Niat saya mengambil emak untuk menjaga sakit peningnya hingga ajal menjemput, rupanya tidak diizinkan Allah. Namun saya redha dan saya tetap berdoa kepada Allah agar emak diberikan kesihatan yang baik.
''Kepada pembaca yang baca kisah saya ini tak perlulah nasihatkan saya pergi menjengok emak. Tidak ada apa gunanya, kerana saya kenal benar perangai emak, dia terlalu keras hati, sekali dia benci dia akan benci selamanya. Apa yang boleh saya lakukan hanya berdoa untuk melapangkan hidupnya di dunia dan akhirat.
''Baginya dirinya sahaja betul, orang lain salah. Semasa saya bersengketa dengan emak, tiada seorang pun saudara mara mak tampil untuk memulihkan keadaan. Cuma selepas tiga tahun barulah adik lelaki mak telefon mau nasihatkan saya. Untuk apa? Peristiwa itu sudah lama berlalu. Saya tak mahu ceritanya dikorek semula, takut parut lama berdarah kembali.
''Namun saya bersyukur, sekurang-kurangnya hingga kini, saya masih jadi isteri orang, walaupun emak mengharapkan saya jadi janda, itu nasihatnya pada suami saya. Kerana katanya saya pembawa sial. Tapi hingga kini kami masih sebumbung dikurniakan anak-anak yang sihat dan comel-comel. Inilah kebahagian yang saya impikan selama ini, hidup di samping suami yang amat penyayang dan dilimpahkan rezeki seadanya.
''Walaupun sudah lama saya tak jumpa emak, tetapi saya sentiasa mendoakannya sihat sejahtera dan melalui hidup ini dengan penuh keinsafan, ingatkan Allah dan lupakan saya sebagai anak sial yang didakwa telah menghancurkan hidupnya.'' Demikian cerita Hasanah panjang lebar yang kecewa didakwa sebagai anak sial.
Sebenarnya ramai yang suka menyalahkan orang lain daripada mencermin diri sendiri. Terutama apabila gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati. Kerana itukan lebih mudah.

Tuesday, May 5, 2009

Telefon bimbit di sekolah


GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian membabitkan pelajar dan penyebaran video lucah serta buli yang dirakam menggunakan telefon bimbit di sekolah.
Kini, isu membawa telefon bimbit ke sekolah mendapat perhatian ramai sehingga kementerian mengeluarkan arahan kepada sekolah supaya merampas daripada pelajar dan hanya dikembalikan jika ibu bapa atau penjaga menuntutnya.Persoalannya, adakah tindakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah semata-mata untuk menyebarkan unsur negatif?Benarkah tumpuan mereka dalam pelajaran 100 peratus terganggu hanya kerana telefon bimbit?Sesetengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut membawa telefon bimbit ke sekolah.Selain itu, adakah pelajar sendiri berkeras mahu membawa telefon bimbit ke sekolah atau diminta ibu bapa?Pelajar sekolah menengah perempuan di Kuantan, Pahang, Nur Atiqah Najwa Zainuddin, 18, berkata dia membawa telefon bimbit ke sekolah bukan untuk menyebarkan perkara negatif, tetapi memudahkan berhubung dengan keluarga dan rakan.Menurutnya, pelajar terikat dengan jadual waktu pembelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika ada maklumat atau perubahan, mereka boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga dengan pantas.“Sebagai pelajar, kami ada kelas tambahan serta aktiviti kokurikulum selepas tamat waktu persekolahan.“Jika ada kelas tambahan atau aktiviti kokorikulum pada saat akhir, kami dapat memaklumkan kepada keluarga, jadi ibu bapa pun tidak risau,” katanya.Katanya, membawa telefon bimbit satu langkah keselamatan terutama selepas tamat waktu persekolahan dan di luar sekolah.“Tidak semua pelajar dijemput ibu bapa atau menaiki bas sekolah, ada terpaksa menggunakan pengangkutan awam ke rumah.“Dengan menggunakan telefon bimbit, kami boleh menghubungi keluarga atau penjaga jika menghadapi masalah,” katanya.Menurutnya, telefon bimbit bukan digunakan sepanjang masa, jika waktu pembelajaran, ia akan dimatikan bagi menumpukan kepada pengajaran guru.“Soal fokus kepada pembelajaran tidak timbul jika mempunyai telefon bimbit kerana kami tahu bila untuk menggunakan kemudahan itu. “Masyarakat jangan fikirkan soal negatif kerana banyak manfaat telefon bimbit kepada kami,” katanya.Atiqah mengakui, sebagai pelajar perempuan, mempunyai sesuatu benda yang lebih terkini dan canggih daripada rakan sekelas adalah satu kebanggaan.“Setiap hari, kami sesama pelajar akan sentiasa menunjukkan benda baru melalui telefon bimbit terutama lagu terkini.“Kami sekadar bertukar pendapat, bukan menyalahgunakan kemudahan itu,” katanya.Sementara itu, seorang bapa, Mohd Yusrie Mohamed Satar, 43, berkata pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia keperluan dan langkah keselamatan jika mahu menghubungi keluarga.“Saya sendiri lebih mudah menghubungi anak jika hari itu mungkin datang lewat untuk mengambil dia di sekolah.“Isu telefon bimbit di sekolah ada pro dan kontra, tetapi masyarakat perlu melihat daripada aspek positif termasuk peningkatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah.“Jika berlaku kes kecemasan selepas waktu persekolahan, apa cara untuk menghubungi jika tidak membawa telefon bimbit?“Telefon bimbit masa kini adalah keperluan, bukan barangan mewah atau sekadar untuk bergaya,” katanya.Mengenai penyalahgunaan dan mengganggu tumpuan pelajar di bilik darjah, bapa kepada tiga orang anak ini meminta guru kelas memantau dan mengambil tindakan keras jika pelajar bersalah.“Guru boleh mengarahkan pelajar mematikan telefon bimbit dan meletakkannya di meja guru sepanjang sesi pembelajaran.“Atau pihak sekolah boleh melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang sesi persekolahan dan hanya boleh digunakan selepas waktu persekolahan,” katanya.

Saturday, May 2, 2009

Pendiam tak semestinya baik!

di celah-celah kehidupan
PENGALAMAN pahit yang dilalui oleh Syuhada menjaga ibu bapanya yang tersiar di ruangan ini dua minggu lalu menarik perhatian Puan Eira kerana dia juga mengalami masalah yang sama. Yang berbeza beliau menjaga bapa mertuanya yang mengidap pelbagai jenis penyakit.
Masalahnya dia cepat pemarah dan suka komplen tentang cara hidup kami dan dirinya sendiri. Apa yang kita buat tidak pernah memuaskan hatinya. Makan tak mahu di meja tetapi mahu makan dalam bilik lepas tu pinggan dibiarkan di lantai dengan lebihan makanan bertaburan. Masalahnya tentulah banyak semut dan lipas, bila ditegur dia buat pekak. Kalau gunakan tandas kita kena standby cuci balik sebab dia tak peduli apa yang terjadi lepas dia gunakan.
''Bila banyak komplen kami hantar dia pergi ke rumah anak perempuannya, tak sampai 10 minit heboh nak balik rumah kita. Bila kita tinggalkan, dia balik sendiri. Dengan syarat saya ada di rumah, suami saya tak ada dia tak peduli. Sebab saya boleh masak makanannya. Kerana anak-anaknya sendiri pun tak pedulikan dia.
''Saya bukanlah menantu mithali. Mulut saya bising juga dengan perangai oran tua yang pemalas ni, dia memang pemalas dalam banyak hal terutama nak solat, bila kita suruh dia bagi alasan sakit kepala, demam, tak boleh berjalan nak ambil wuduk, terasa nak pitam, nak termuntah dan macam-macam lagi. Pendek kata kalau boleh dia memang tak mahu disuruh solat, dia nak duduk aja sambil tonton tv atau tidur.
Demikian cerita Eira panjang lebar dalam e-melnya kepada penulis. Ceritanya berbeza dengan kisah yang di e-mel oleh Noramira bukan pasal mertua tetapi tentang suami yang suka sangat menuduh isterinya nusyuz apabila menegur perbuatan suaminya yang suka sangat buat skandal dengan wanita.
''Sebagai isteri saya rasa berhak menegur perbuatan suami kita yang tak baik, tapi bila kita tegur dia tuduh saya nusyuz. Dia sengaja takutkan saya dengan perkataan nusyuz supaya saya tidak tegur dan marah perbuatannya yang suka buat skandal itu. Nusyuz juga menjadi senjatanya untuk menyakitkan hati saya. Sementelah saya surirumah sepenuh masa.
''Sebenarnya sudah lama saya memendam rasa kerana sering dituduh nusyuz, tetapi sebagai isteri yang tidak bekerja, saya tak berani bertindak, bila dia marah saya cuma diam dan menangis. Itulah sahaja kekuatan saya. '
"Kalau mengadu pada keluarganya ataupun keluarga saya pun tak ada siapa pun yang akan percaya cakap saya, kerana suami saya Kay ini mempunyai ciri-ciri suami penyayang, penyabar dan seorang alim, jadi siapa percaya kalau saya cerita dia curang ada skandal? Dia di luar saja nampak baik, tetapi di dalam berulat.
''Mungkin pembaca pun jemu bila baca cerita pasal suami curang, tetapi itulah keadaannya kalau kita percayakan suami kita seratus peratus, terutama bila kita lihat suami kita baik, tak banyak cakap, cukup solat 5 waktu, jadi apabila dia kata ada kerja luar, balik lewat, kita akan percayakan dia seratus peratus, sebab tak ada tanda-tanda dia curang apa lagi ada skandal.
''Saya suka mengingatkan kaum wanita khususnya yang baru berkahwin atau yang terlalu sayangkan suami, kalau boleh semak balik taraf sayang anda itu jangan percayakan suami 100 peratus, percayakan dia 30 ke 40 peratus sahaja, sebab kita tidak menyesal kerana perbuatan kita itu. Belajarlah dari kesilapan saya, dulu rumah tangga saya aman damai, tapi setelah 15 tahun berkahwin dan ada 4 orang anak yang sudah pun dewasa, baru saya nampak perubahannya, semuanya kerana saya terlalu percayakan dia lebih 100 peratus.
''Sebab alimnya, mengamalkan suruhan Allah menarik perhatian saya, tentang solatnya, puasanya, namun itu semua kita tidak boleh percaya bulat-bulat mesti ada sedikit curiga kerana suami yang nampak baik pun sukar kita boleh percaya. 'Macam Kay, nampak alim, tapi iman dia tak kuat, boleh digegarkan dengan sms jiwang-jiwang, pujuk rayu wanita. Hinggakan dia sanggup menipu untuk memuaskan hatinya. 'Banyak dosa dia lakukan menipu kami anak beranak, sanggup melupakan dan meninggalkan kami, pada bila-bila masa apabila dia mendapat panggilan telefon atau sms daripada kekasihnya. Dia lebih utamakan memenuhi kehendak kekasihnya Izah daripada kami keluarganya sendiri. Pada mulanya saya tak sedar perubahannya, fikirkan dia baik macam dulu juga, tapi entah macam mana saya ternampak gambar mereka berdua di tepi pantai dan dalam bilik hotel yang disorokkan dalam buku bacaannya. Terkejut besar saya, macam biasalah bila kita tanya dia tak akan mengaku walaupun gambarnya ada di tangan kita.
''Kemuncak kemarahannya bila borang izin nikahnya kali kedua atau nak berpoligami saya tidak mahu tandatangan. Akibatnya saya dan anak-anak jadi mangsa dia melepaskan marahnya.
''Saya ada alasan mengapa tak izinkan dia kahwin lagi, kerana saya masih kuat dan boleh melayani dia dengan baik, saya sediakan makan minum, pakaiannya semuanya saya urus sendiri tanpa pembantu rumah. Paling utama pendapatannya tidaklah banyak, cukup untuk kami anak beranak sahaja, jadi macam mana dia nak tanggung keluarga barunya nanti. ''Marahnya semakin menjadi-jadi setiap kali kekasihnya hantar sms dan menelefon bertanya bila mereka boleh berkahwin. Seolah-olah tak ada lelaki lain yang boleh berkahwin dengannya. Alasan Kay susah nak cari wanita sanggup berpoligami tanpa meminta sesen pun daripada suami, kerana dia bekerja dan boleh tanggung diri dan anak-anak yang bakal dilahirkannya nanti. ''Memang hari ini dia janji tak minta duit, esok bila dah kahwin, macam-macam yang dia minta, terutama nafkah anak yang dilahirkannya nanti. Saya tak tahulah sama ada Kay bodoh percaya cakap kekasihnya, atau kekasihnya yang memang bodoh.
''Saya katakan pada Kay rupanya ada jua lelaki dayus yang cuma mahu berkahwin tapi tak perlu beri nafkah atau bertanggungjawab ke atas isterinya. Apakah dia sudi menjadikan dirinya pemuas nafsu isterinya sahaja. Tapi kata Kay itu janji bakal isterinya saya tak perlu bimbang cuma tanda tangan borang poligaminya itu sahaja. Lebih dahsyat lagi, kata Kay bakal isterinya juga sanggup tanggung duit saku dan makan minumnya bila diperlukan. Sebenarnya saya tahu itu semua adalah penipuan mereka untuk menyenangkan hati saya agar mengizinkan mereka berkahwin.
''Sejak rahsianya terbongkar saya buat intipan sendiri, kerana saya tahu Kay memang cuai, hari ini dia sorok bil hotel atau restoran tempat mereka selalu keluar makan, esok lusa saya akan jumpa. Tak tahulah kalau dia sengaja suruh saya jumpa untuk menyakitkan hati saya.
''Namun dari bil-bil tersebut saya tahu tempat-tempat mereka sering melepak dan menginap ataupun keluar makan. Kerana itu juga saya terjumpa gambar mereka berpelukan dalam bilik hotel. Camera digital zaman ini memang canggih-canggih tak perlu orang ketiga untuk merakamkan gambar mereka berdua.
''Perbuatan mereka bukan rahsia lagi kepada anak-anak. Kadang kala saya teringat nak bawa mereka bersama mencari ayah mereka yang tak balik-balik atau pergi kawasan mana mereka selalu lepak. Surat saman polis juga menjadi bukti ke mana mereka pergi makan angin.
''Kay fikir isteri yang tak bekerja boleh diperbodohkan dengan cerita dongengnya. Kadang tu bila dia berbohong saya katakan tolonglah jangan buat dosa lagi. Saya tahu ke mana awak pergi. Kalau saya ikutkan hati dan kalau saya tidak ada anak-anak sudah lama saya ke pejabat agama untuk memerdekakan diri.
''Saya tak sanggup hidup sepanjang hayat dengan seorang penipu yang bergelumang dengan dosa. Dan seorang hipokrit kalau depan saudara mara mesranya dengan isteri dan anak-anak kalahkan drama tv semata-mata nak tunjuk bahawa kamilah keluarga bahagia, sedangkan tidak.
''Tapi bila balik ke rumah mula tunjuk muka monyok dan cakap yang bukan-bukan. Paling saya meluat bila dia ugut nak ceraikan saya, dia ingat saya takut? Saya dah bersedia nak tinggalkan dia dan nak tengok sangat dia bela anak-anak. Nak tengok setakat mana kesempurnaan hidupnya tanpa saya, seperti dia selalu cabar saya.
''Janganlah ingat tanggungjawab suami cukup sempurna dengan mengenyangkan perut anak isteri sahaja. Tak guna kenyangkan mereka dengan air mata, hatinya disakiti, emosi diugut, dan hatinya dicarik-carik dengan ugutan demi ugutan.
''Kalaulah saya tidak sabar dan bersikap mengalah sejak mula berkahwin lagi sudah pasti perkahwinan kami tidak akan jejak hingga 15 tahun. Tapi kali ini saya nekad, saya tak takut diceraikan. Ramai wanita di luar sana boleh hidup tanpa suami, asalkan kita sanggup berkorban.
''Sesungguhnya Islam itu adil. Suami dan isteri ada hak mempertahankan dirinya. Dengan segala bukti penipuan Kay dan Izah di bilik hotel, saya pasti menang. Ketika itu nanti dia akan tahu siapa sebenarnya nusyuz.'' Demikian cerita Noramira tentang perjuangan hidupnya.
Masalah yang dilalui oleh Noramira banyak berlaku di kalangan kita, ia benar-benar memerlukan kesabaran yang tinggi. Untuk mengambil jalan mudah hidup bersendirian memang senang tetapi sanggupkah anda? Kalau sudah biasa hidup seperti burung dalam sangkar?

Kucing perlu layanan seperti kawan

Oleh SITI ZALEHA JORIMAI dan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

MEMELIHARA haiwan kesayangan seperti kucing memerlukan komitmen dan tanggung jawab seperti menjaga seorang manusia.
Apa tidaknya, penjagaan perlu meliputi banyak aspek termasuk pemakanan, merapi, membersih, menyediakan ruang selesa, kebersihan kotak pasir, pemeriksaan veterinar, meluangkan masa berkualiti dan banyak lagi.
Jadi tidak hairanlah apabila pemilik kucing berbelanja besar setiap bulan untuk memastikan kucing kesayangan sentiasa sihat dan cantik. Situasi ini turut mendorong kepada perkembangan pesat perniagaan berkaitan dengan khidmat pemeliharaan haiwan kesayangan.
Pakar bedah veterinar Petcare Enterprise Sdn. Bhd., Dr. Abraham George berkata, penjagaan kucing lebih daripada sekadar membeli seekor haiwan dan membawanya pulang.
‘‘Sebaik sahaja anda membawa pulang kucing itu, layani, penuhi kehendaknya seperti keluarga atau kawan baik dan berikan dia penjagaan sebaik-baiknya,’’ ujar beliau.
Bagaimanapun ramai masih keliru sama ada hendak memberi kucing peliharaan kebebasan kepadanya untuk merayau-rayau di luar atau mengurungnya di dalam rumah.
Katanya, pakar penjagaan haiwan kesayangan menyarankan agar kucing dibela dalam rumah supaya ia boleh hidup lama, kurang terdedah kepada kecederaan, penyakit dan anda juga tidak perlu bimbang mengenai keselamatan si comel itu.
Makanan premium
Menurut Dr. Abraham, kucing peliharaan juga cukup cerewet dalam bab makanan yang disukainya. Ini kerana, ia mampu mengesan kelazatan, kebersihan dan khasiat makanan tersebut.
Justeru pemilik kucing di Malaysia kini lebih bijak memilih makanan berkhasiat untuk haiwan peliharaan mereka.
Hasil kaji selidik yang dijalankan P&G Petcare mendapati, lebih 66 peratus responden mengenal pasti makanan haiwan jenis organik sebagai diet paling sesuai untuk anjing atau kucing mereka.
Malah pada masa ini, makanan jenis organik atau menggunakan bahan-bahan semula jadi merangkumi 30 hingga 40 peratus makanan haiwan di seluruh negara termasuk kedai haiwan peliharaan dan klinik veterinar.
‘‘Masyarakat tempatan lebih mengutamakan kesihatan haiwan peliharaan mereka berbanding masyarakat di negara maju seperti Australia dan Jepun,’’ katanya.
Ini disebabkan orang ramai mula menyedari kesan negatif akibat kandungan bahan pengawet dalam diet haiwan kesayangan mereka.
Katanya, bahan pengawet tiruan juga merupakan punca 40 peratus kes alahan membabitkan anjing dan kucing peliharaan di negara ini.
Iams Healthy Naturals
Penolong Pengurus Jenama Pet Care Asia, Jacob Christian De Leon berkata, produk makanan haiwan peliharaan terbaru daripada Iams dapat membantu mempertingkatkan kesihatan haiwan peliharaan dengan memperbaiki sistem imunisasi bagi mengelak serangan penyakit.
Iams Healthy Naturals diperkaya dengan antioksidan, beta karotin daripada sayuran dan buah-buahan serta langsung tidak mengandungi pewarna, perisa atau pengawet tiruan.
‘‘Healthy Naturals diperbuat daripada protein (asid amino) ayam, kambing atau ikan salmon yang berkualiti tinggi dan mudah dihadam.
‘‘Buah-buahan dan sayuran seperti kacang hijau, tomato, lobak merah pula merupakan sumber beta-karotin yang penting untuk kesihatan mata haiwan peliharaan,’’ jelasnya.
Ia didatangkan dalam lima variasi yang unik iaitu Iams Healthy Naturals with Wholesome Chicken, Natural Lamb & Rice (anak anjing dan anjing dewasa) juga Iams Healthy Naturals with Wholesome Chicken dan Atlantic Salmon (kucing dewasa).
Kelima-lima variasi Iams Healthy Natural boleh diperoleh di kedai dan veterinar terpilih. Pemilik haiwan peliharaan dijemput melayari laman web www.iamshealthynaturals.com.my bagi mendapatkan baucar diskaun RM15 untuk pek pertama anda.
Dalam pada itu bagi selebriti TV terkenal, Aishah Sinclair, dua ekor kucing tempatan jenis bulu pendek yang masing-masing diberi nama Salem dan Gebu dipelihara bagai anak sendiri.
“Salem adalah kucing jalanan yang saya temui di tepi longkang di Pejabat Pos di Bangsar ketika usianya baru beberapa hari.
“Sekarang sudah tiga tahun Salem bersama saya dan saya bela bagaikan anak sendiri. Sebagai kucing jantan karakter Salem agak agresif malah satu ketika tangan saya penuh dengan kesan calar akibat perbuatan Salem. Mulanya saya tak tahu nak buat apa tetapi tabiat suka mencakarnya berkurangan apabila saya ambil Gebu sebagai peneman.
“Gebu saya ambil daripada seorang rakan. Karakter Gebu bertentangan dengan Salem. Mungkin kerana ia kucing betina, Gebu lebih manja dan suka dibelai. Apa pun kehadiran Gebu dan Salem sedikit sebanyak menceriakan lagi hidup saya dan suami,” katanya.
Walaupun Aishah mempunyai alahan terhadap bulu kucing yang membuatkan dia kerap bersin, namun ia bukan menjadi halangan untuk dia menyayangi Gebu dan Salem.
Untuk kedua-dua ‘buah hatinya’ itu Aishah membelanjakan kira-kira RM100 bagi membeli kotak pasir dan makanan kucing.
Dia juga memilih makanan organik jenama Iams kerana dirasakan mempunyai segala khasiat yang diperlukan.