Sunday, June 28, 2009

Sisi eksentrik Raja Pop

Oleh MALIAH SURIP
Dilahirkan sebagai keturunan Afrika-Amerika berkulit hitam, Michael Jackson cuba masuk ke politik Amerika dengan bertopengkan warna kulit putih yang dipercayai menjadi salah satu faktor kematiannya.


APABILA Raja Pop Dunia, Michael Jackson meninggal dunia pada 26 Jun 2009, dunia meratapi pemergian manusia luar biasa ini. Beliau meninggalkan segala kemewahan dunia pada usia 50 tahun dengan penuh tanda tanya selepas disahkan terkena serangan jantung di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Segala spekulasi tentang Michael yang juga digelar Jacko ini telah terkubur bersama kematiannya – daripada isu cabul, diancam kemiskinan, jenayah seksual serta yang paling mendapat perhatian ialah isu ‘orang hitam ke orang putihnya’ yang masih dipersoalkan.
Pada saat ikon muzik dunia yang dianggap erotik dan eksentrik ini disemadikan, dunia masih tertanya-tanya tentang tindakan Jacko yang mahu mengubah ciptaan asal Tuhan hanya untuk ‘masuk’ ke dalam dunia Amerika.
Sedangkan pada realitinya anak Afrika-Amerika ini menjadi penyanyi kulit hitam yang mencetuskan revolusi muzik luar biasa sejak tahun 70-an. Dengan bakat semula jadi, beliau memecah tembok kasta warna kulit putih dan hitam melalui karya-karyanya.
Beliau juga menjadi penyanyi Afrika-Amerika pertama yang mendominasi hampir kesemua carta lagu dunia berbulan-bulan lamanya. Tidak cukup dengan itu, lima album studionya, Off The Wall (1979), Thriller (1982), Bad (1987), Dangerous (1991) dan HIStory (1995) menjadi album paling laris jualannya dalam sejarah bisnes muzik dunia.
Jika penjualan album tersebut masih tidak memadai untuk mengangkat Jacko sebagai legenda, fakta bahawa beliau disenaraikan sebagai penerima tiga kali pengiktirafan Guinness World Records barangkali hal paling baik untuk mengingatkan kita tentang fenomena Jacko.
Hidap sopak
Jacko turut didakwa melakukan proses pemutihan kulit - satu tuduhan yang menjadi ironi bagi seorang kulit hitam yang ingin berjuang dalam gelombang dan arus permainan orang kulit putih. Ia dipercayai dilakukan sebagai tindak balas politik dunia hiburan. Malangnya tindakan tersebut membawa padah apabila beliau berhadapan dengan impak negatif proses tersebut iaitu menghidap kanser kulit.
“Sesiapa yang menjalani rawatan pemutihan kulit akan lebih terdedah kepada kanser kulit. Ini kerana proses tersebut memasukkan sejenis cecair ke dalam tubuh yang membolehkan kulit hitam bertukar putih dan menjadi begitu sensitif,” kata beberapa pakar kulit yang merujuk kepada tindakan Jacko yang didakwa memang menjalani proses tersebut.


GAYA tarian Jacko menjadi ikutan jutaan peminat di seluruh dunia.

Biarpun terdapat beberapa bukti beliau melakukan proses tersebut, termasuk dilihat bertemu pakar kulit terkenal dunia dari Santa Monica yang mendapat pendidikan di Cambridge, Dr. Ralph Massey, selain kerap berkunjung ke sebuah klinik kulit di Beverly Hills, beliau tetap menafikan tindakannya memutihkan kulit.
Malah beberapa minggu sebelum kematiannya, Jacko turut didakwa berkunjung ke Hospital Cedar-Sinai di Los Angeles bagi mengetahui tahap kanser kulit yang dialaminya.
Beliau yang dilihat hadir ke hospital tersebut dengan menutup muka dan bersarung tangan, bagaimanapun, didakwa kelihatan lega serta membuka penutup mukanya selepas diberitahu doktor bahawa kanser kulit boleh diubati.
Malah sepanjang hayatnya, Jacko tegas mendakwa beliau menghidap penyakit vitiligo atau sopak – masalah kulit yang membuatkan kulit hitam berubah menjadi putih yang dihidapi sejak tahun 80-an.
Dalam satu temu bualnya bersama Oprah Winfrey tidak lama dulu, Jacko menegaskan beliau tidak pernah melakukan sebarang proses pemutihan. Beliau juga mempersoalkan mengapa tindakan individu yang berjemur untuk menghitamkan kulit tidak menjadi kontroversi, sebaliknya apabila dia menghidap vitiligo, semua orang mempersoalkannya.
“Saya tidak perasan bila penyakit ini menyerang. Kalau tak silap terjadi pada zaman album Off The Wall dan Thriller. Ini penyakit keturunan daripada bapa saya. Saya tidak boleh menghalangnya. Saya begitu sedih kerana ia berlaku dan tidak mahu bercakap tentang sejarah penyakit keluarga saya kerana ia terlalu peribadi.

KENANGAN dua legenda dunia yang kini 'bersatu' di alam kematian. Gambar Jacko bersama mendiang Puteri Diana ini dirakamkan pada tahun 1988.
MICHAEL Jackson bersalaman dengan mantan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dalam sebuah majlis meraikan Clinton pada tahun 1993.

“Betul, saya tidak melakukan proses pemutihan. Malah solekan banyak membantu menutup masalah kulit saya. Tapi saya pelik kenapa warna kulit saya menjadi lebih penting daripada seni dan karya saya?” bidas Jacko dalam temu bual tersebut.
Dalam satu temu bual lain pula, Jacko menyelar media yang mensensasikan cerita tentang skandal seks dengan kanak-kanak, aset, obsesi kecantikan, kejelikan serta cerita tentang eksentrik dan erotik seorang Jacko.
Menyangkal sinis kebanyakan kenyataan tidak berasas dalam media, kata Jacko, hanya dia yang mengenali dirinya sebenar. “Kenapa tidak beritahu orang bahawa saya makhluk asing dari planet Marikh?
“Beritahu mereka saya makan ayam hidup dan membuat pemujaan vodoo pada waktu malam. Mereka akan percaya apa yang kalian katakan kerana kalian media. Tapi kalau saya, Michael Jackson yang berkata begitu, siapa akan percaya?” selarnya.
Beberapa hari sebelum kematiannya, media yang sudah sekian lama menghidu tahap kesihatan Jacko yang tidak konsisten kembali mempersoalkan isu penukaran warna kulitnya, ketagihan pil tahan sakit dan tekanan terhadap konsert mega yang sepatutnya bermula pada 8 Julai depan di 02 Arena di Docklands, London.

SEPANJANG hayatnya. Jacko sering menyembunyikan wajah daripada terkena pancaran matahari dengan menutup mukanya kerana mengalami masalah kulit sensitif yang diakibatkan oleh 'vitiligo'.

Sewaktu banyak pihak masih lagi berdebat tentang kesahihan beliau menukar warna kulit untuk tidak dipinggirkan khalayak dan industri hiburan Amerika, Jacko sebenarnya sedang berusaha mengembalikan jiwa etnik kulit hitamnya melalui metafora dalam lagu-lagunya serta kerjasama yang dijalinkan dengan beberapa organisasi bukan kerajaan.
Malah metafora yang diterjemahkan dalam lagu hit Black Or White hasil karyanya itu adalah satu bukti beliau cuba memisahkan diskriminasi warna kulit. Antaranya pada bait berikut: If you’re thinkin of being my baby, It dont matter if you’re black or white (Jika kamu terfikir menjadi anak saya, ia bukan masalah sama ada kamu kulit hitam atau putih).

Wednesday, June 24, 2009

Gambar permukaan bulan disiar


GAMBAR terbaru permukaan bulan disiarkan oleh Agensi Angkasa Jepun semalam.


PANORAMA yang menunjukkan Bumi dirakamkan oleh kapal angkasa penyiasat Kaguya milik Jepun.TOKYO - Agensi Angkasa Jepun menyiarkan gambar terbaru permukaan bulan yang dirakamkan oleh kapal angkasa penyiasat kecil iaitu Kaguya beberapa minit sebelum ia terhempas, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar-gambar itu sempat dirakamkan menerusi kamera berdefinisi tinggi sebelum kapal penyiasat itu terhempas pada 11 Jun lalu.
Imej permukaan bulan yang tandus dan beralun-alun itu semakin jelas sebelum Kaguya terhempas. Bayang-bayang panjang turut kelihatan pada permukaan bulan kerana kapal tersebut mendarat ketika matahari terbenam.
Rakaman akhir pendaratan itu gelap kerana kapal itu memasuki kawasan bayang yang tidak mempunyai cahaya sekali gus tiada impak mendarat dapat dirakam.
Proses mendarat yang dikawal itu menyempurnakan misi pemerhatian bulan Kaguya yang dilancarkan pada 14 September 2007 dengan kos £353 juta (RM2 bilion).
Kaguya melakukan kerja-kerja pemetaan, meninjau permukaan bulan dan mengkaji medan magnetik dalam tempoh dua tahun. - Agensi

Bayi hilang dalam kandungan





oleh HAMZAH ABDUL HAMID

Betapa terkejut, tidak percaya dan juga luruh emosi seorang bakal ibu apabila mengetahui kandungannya yang berusia lebih lapan bulan tiba-tiba hilang. Dari sudut apakah fenomena ini hendak dihuraikan?


DISEMBER tahun lalu, impian sepasang suami isteri di Kedah untuk menimang cahaya mata sulung selepas dua tahun berkongsi hidup tidak menjadi kenyataan apabila mendapati bayi yang dikandung si isteri tiba-tiba hilang dan tidak dapat dikesan melalui teknik imbasan.
Segalanya umpama sebuah misteri bagi si wanita yang berbunga harapan selama hampir sembilan bulan itu. Dalam kes tersebut, wanita itu telah disahkan mengandung pada Mac 2008 melalui pemeriksaan di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur.
Dia dijangka bersalin pada tarikh yang telah dicongak iaitu 29 November. Namun, kelahiran yang ditunggu-tunggu itu tidak menjadi kenyataan.
"Doktor mendakwa rahim saya normal seperti wanita yang tidak mengandung. Bentuknya juga sudah kempis," ujarnya yang mendakwa terasa lenguh-lenguh badan, perut memulas dan kemudian mengalami demam panas pada hari-hari terakhir sebelum kandungannya hilang.
Sudah banyak kes yang dilaporkan media mengenai kejadian seperti ini. Bukan sahaja di Malaysia, kegemparan cerita kandungan yang lesap ini berlaku di seluruh dunia tanpa mengira latar bangsa, status sosial dan kepercayaan agama.
"Kes kehamilan palsu yang menyebabkan kandungan menghilang secara tiba-tiba memang wujud dalam dunia perubatan.
"Ia dikenali sebagai pseudosiesis atau dalam istilah Inggeris - phantom pregnancy," kata Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan.
Pseudosiesis adalah suatu keadaan yang lazimnya bersifat psikosomatik. Ia membabitkan gangguan faktor mental dan fizikal yang menyebabkan perubahan pada badan hinggakan sosok tubuh wanita yang tidak mengandung menyamai ciri-ciri wanita hamil.
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (Feto-Maternal) itu menjelaskan, apabila seseorang wanita terlalu percaya atau mengharapkan kehamilan, tubuhnya akan menghasilkan hormon yang menyebabkan perubahan-perubahan tertentu.
Paling jelas adalah pertambahan berat badan (khususnya di bahagian perut) selain simptom-simptom klasik lain seperti rasa mual serta tegang perut.
Hujah medikal dan psikologi
"Apabila minda 'menipu' tubuh, paras estrogen mereka melonjak naik. Apabila dalam keadaan sakit, stres atau tertekan, mana-mana wanita pun boleh mengalami gangguan dalam sistem badannya. Ini termasuklah ketiadaan haid, rasa loya dan muntah," jelas beliau.
Tidak hairan juga kalau ketidakseimbangan hormon itu turut membuatkan payu dara membesar dan mengeluarkan susu.
"Perut yang semakin membesar sebenarnya disebabkan lemak yang terkumpul di bahagian tersebut. Ada juga yang merasakan seperti ada pergerakan bayi dalam kandungan walhal tiada janin di dalamnya," terang Jamiyah.
Beliau merumus, belum ada kajian menyeluruh tentang punca pseudosiesis. Ia tidak boleh sepenuhnya ditangani dari perspektif medikal atau ginekologi tanpa mengambil kira keseriusan permasalahan emosi.


ADAKAH imej daripada imbasan ultra bunyi boleh berlaku ralat hingga memberi harapan palsu kepada ibu hamil?


Hakikatnya, sutradara yang mengarahkan sistem tubuh untuk melakukan sesuatu dalam menjalani rutin kehidupan adalah otak.
Apabila otak mencetus isyarat untuk bekerja matlamat tertentu, maka faktor biologi akan menurut dan di situlah bermulanya konsep kepercayaan.
"Sama seperti wanita yang mahu dirinya hamil untuk melepaskan diri daripada desakan sosial, fizikalnya akan terdorong ke arah keinginan tersebut.
"Lebih-lebih lagi jika pasangannya (suami) mengizinkan perkara itu berlaku dengan turut memberi harapan," jelas Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Maizatul Akmam Abu Bakar.
Menurutnya, secara tidak langsung sokongan itu akan meningkatkan keberkesanan emosi isterinya sedangkan akhirnya mereka yang akan kecewa.
Lebih malang, tekanan yang dihadapi lebih menyeksakan apabila cerita 'kehilangan' kandungan itu dilabel sebagai karut oleh doktor dan masyarakat yang melemparkan tuduhan seperti wanita itu sengaja mengada-adakan cerita kehamilannya.
"Selain sokongan keluarga, wanita itu perlu dibimbing secara psikologi melalui sesi pertemuan dengan kaunselor atau pakar psikiatri. Mereka diajar untuk memahami dan menerima kelebihan dan kekurangan diri.
"Ini bermakna minda mereka perlu dilaras semula agar memikirkan perkara-perkara yang lebih positif," terang Maizatul.
"Hanya apabila seseorang ibu itu boleh menunjukkan bukti sahih bahawa pemeriksaan ultra bunyi sebelum itu sudah menunjukkan sifat fizikal bayi atau denyut jantung, tetapi akhirnya bayi itu hilang, maka kita perlukan penjelasan lain," ujar Jamiyah apabila diajukan tentang sisi mistikal bayi yang ghaib dalam kandungan.
Serba-sedikit pertembungan konsep itu dihurai oleh pakar khidmat runding dan nasihat spiritual dari Pusat Rawatan Komplimentari Yashfien, Engku Ansaruddin Agus. Beliau mengakui pernah merawat tidak kurang daripada 10 wanita yang terganggu emosi akibat kehilangan bayi dalam rahim.
Muslihat dari alam lain
"Wanita-wanita itu mendakwa mereka bermimpi didatangi entiti yang mengingatkan bahawa kandungan tersebut bukan milik mereka dan akan diambil semula," ujar Engku yang tidak menolak kemungkinan kehamilan yang disebabkan 'dampingan' atau 'tumpangan' makhluk halus.
Walau bagaimanapun Engku menegaskan, perhubungan antara manusia dan jin sebenarnya tidak akan menghasilkan anak manusia.
"Sebaliknya, anak-anak daripada kaum jin itu yang bertambah bilangannya jika berjaya memperdaya manusia melalui apa cara sekalipun," katanya.
Apabila diperdaya, seseorang mudah taksub kepada sesuatu. Ini termasuklah meyakini paparan imej bayi dalam rahim melalui teknik imbasan di hospital, sedangkan mereka perlu sedar bahawa ralat teknikal dan muslihat jin juga suatu faktor penyebab.
"Oleh itu, kaum ibu perlu kembali kepada apa yang diajar melalui al-Quran dan Sunah.
Adab, petua dan doa perlu sentiasa mengiringi langkah dan setiap perbuatan agar dilindungi Allah daripada fitnah, penipuan dan helah jin serta syaitan. Golongan itu sentiasa mahu menggoyah akidah umat Nabi Muhammad s.a.w.," pesannya.

Sunday, June 21, 2009

Derita selepas rela dimadu


DALAM pertemuan dengan Suhana di sebuah restoran baru-baru ini membuat saya teringat kepada kisah yang pernah dipaparkan di ruangan DCCK ini kira-kira empat tahun lalu menceritakan pengalaman pahit oleh Puan Junainah yang diceraikan oleh suaminya, walaupun beliau rela bermadu dan tidak bersedia diceraikan.
Walaupun cerita Suhana juga bersabit isu bermadu, tetapi suaminya tidaklah sekejam suami Junainah, beliau tetap menyayangi kedua-dua isterinya. Namun bermadu memang ada masalah.
Inilah yang dihadapi oleh Suhana, walaupun beliau berusaha keras bersabar dengan apa juga kerenah madunya, tetapi beliau sentiasa berhadapan pelbagai masalah baik dari suami apa lagi madunya.
''Di awal perkahwinan memang hidup kami bahagia, tetapi suami saya Khamil, hobinya suka kerja balik lewat malam. Banyak kerja atau tidak dia memang suka balik lewat. Bila lewat sampai rumah tentulah dia tak boleh bantu saya menyelesaikan kerja-kerja rumah.
''Sebagai suami isteri sepatutnya kita bekerjasama dalam semua hal lainlah kalau saya suri rumah sepenuh masa, ini kita sama-sama bekerja, tentulah saya perlukan suami membantu dalam apa juga tugas. Lebih teruk lagi saya tak boleh memandu dan saya tidak dihantar atau diambil oleh suami ke tempat kerja alasannya tempat kerjanya jauh dan dia selalu sibuk.
''Keadaan berterusan setelah saya mengandung dan melahirkan anak, setiap benda dalam rumah saya terpaksa uruskan sendiri. Khamil tak boleh bantu alasannya sibuk. Nak jadikan cerita Khamil dapat tawaran kerja baru yang memaksa dia bertukar ke tempat lebih jauh.
''Bila berjauhan kami terpaksa tinggal berasingan kata Khamil saya tak perlu mengikutnya. Walaupun masih dalam satu negeri, tetapi kesesakan lalu lintas di KL, dan kesibukan tugas, memaksa kami berjauhan. Saya terpaksa mengikut kehendak Khamil.
''Khamil pulang seminggu sekali. Itu pun kalau tidak sibuk dan tidak bekerja sampai malam. Tinggal berasingan membuatkan saya terpaksa berdikari menguruskan semua hal sendiri, menghantar bayi ke rumah pembantu hinggalah mengambilnya menjelang senja. Begitu juga kalau sakit. Kalau nak tunggu suami takut pulak anak sakit tenat.
''Malangnya bila dah duduk berasingan tanpa kita sedari suami boleh jatuh cinta lagi.
''Sebagai isteri yang muda ketika itu memang saya rindukan suami, saya mengharapkan suami saya seperti suami orang lain, sentiasa berada di sisi, menghulurkan bantuan ketika diperlukan, tambahan pula kita mempunyai anak yang masih kecil yang memerlukan perhatian ibu dan ayahnya, tetapi ketika itu sayalah ayah dan sayalah ibu.
''Kalau difikirkan memang amat menakutkan, kami tinggal berdua sahaja. Lebih menakutkan bila baca akhbar ada cerita tentang pembunuhan, rompakan dan sebagainya, tetapi saya terpaksa kuatkan semangat dan bersabar demi kasih sayang terhadap suami tercinta.
''Empat tahun hidup bersendirian dengan anak, akhirnya Khamil kembali tinggal bersama kami, perubahan yang amat mengejutkan, tetapi saya gembira. Ketika itu hanya Allah tempat kita mengucapkan syukur dengan harapan ikutan kasih sayang kami terus berpanjangan.
''Nak jadikan cerita bila suami sentiasa bersama kita, barulah kita nampak perubahannya, memang ada kelainan tentang tingkah laku dan kehidupannya. Kerana ingin mendapatkan kebenaran satu hari saya bertanya adakah dia wanita lain dalam hidupnya.
''Tanpa diduga, Khamil mengaku memang dia ada kekasih dan merancang berkahwin tidak lama lagi. Waktu itu, mana-mana wanita tentu dapat ramalkan reaksi saya. Walaupun saya tidak pengsan, menangis dan meraung, tetapi saya jadi kelu tak dapat berkata-kata. Di pejabat saya tak boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas, saya jadi kehilangan punca.
''Selepas beberapa hari saya tanya Khamil lagi apakah benar dia hendak kahwin lagi, katanya keputusannya adalah muktamad. Dia tetap akan berkahwin, kerana dia terpaksa menyelamatkan maruah gadis yang telah ternoda oleh lelaki lain dan dia amat kasihan dengan gadis tersebut. Bila saya tanyakan umurnya, saya terkejut, umurnya cuma setahun berbeza dengan saya, bukanlah muda sangat. Kalau dia dah berkahwin tentunya anaknya lebih ramai daripada saya.
''Khamil berjanji dia tidak akan mensia-siakan hidup saya, dia tidak akan ceraikan saya, dia cuma mahu saya benarkan dia bernikah sebab wanita tersebut mahu mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran, untuk melepaskan hajatnya. Waktu itu walau dipujuk dan disembah pun Khamil tetap dengan keputusannya, dia tidak akan berganjak walau seinci pun. Akhirnya kerana saya terlalu sayangkan suami, saya terpaksa menandatangani surat izin berpoligami.
''Dengan surat izin tersebut lepaslah hajat wanita tersebut hendak buat majlis perkahwinan yang diidamkan di kampungnya di Pantai Timur. Ketika itu Khamil sudah berhenti kerja dan mengusahakan perniagaannya sendiri.
''Mereka telah memilih tarikh perkahwinan tetapi saya membantah kerana kebetulan sama dengan tarikh ulang tahun perkahwinan saya. Khamil bersetuju mengubahnya, walaupun bakal isterinya membantah. Namun Kamil terpaksa menangguhkan kerana masalah perniagaannya yang memerlukannya memberikan perhatian yang lebih.
''Tambahan pula ketika itu Khamil menghadapi masalah kewangan. Kerana tiada tempat hendak memohon bantuan, Khamil terpaksa meminta bantuan saya. Kerana sayangkan suami, saya bantu Khamil. Dengan harapan bila bisnesnya berjaya hidup kami akan lebih senang lagi.
''Tetapi malangnya duit tersebut digunakan untuk pernikahannya. Waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya.
''Saya percayakan Khamil berlaku adil kepada saya, tetapi masalahnya, Khamil merasa terlalu sukar untuk berlaku adil. Sebagai contoh setiap kali sampai gilirannya di rumah saya, si madu akan menghubungi Khamil mengadu pelbagai masalah kerana dia terpaksa tinggal sendirian.
''Dia memang mengganggu hidup kami, seperkara lagi setiap kali Khamil balik ke rumah saya kami sering bertengkar biarpun masalah kecil-kecil aja. Saya tak tahu mengapa kami sering bergaduh. Hinggakan panggilan telefonnya juga boleh buat kami bertengkar, dan itulah yang sebenar yang dicari oleh si madu tu. Dia memang suka kami bergaduh.
''Tetapi saya tidak pernah menganggunya ketika giliran Khamil ke rumahnya. Hinggakan kalau anak saya demam atau sakit yang memerlukan saya membawanya ke doktor, saya tidak akan telefon Khamil. Semuanya saya buat sendiri.
''Begitu juga halnya kalau kami pergi bercuti, Khamil cuba berlaku adil, tetapi si madu tu tak pernah senang hati, dia akan sentiasa menghubungi Khamil mengadu dan merayu dengan pelbagai masalah. Kadang tu waktu kami nak masuk tidur, Khamil terpaksa melayan dia berbual di telefon dahulu beberapa lama sebelum boleh dan dibenarkan masuk tidur.
''Gangguan dari si madu ni bukan sahaja datang semasa dia belum ada anak, semasa dia mengandung lagi hebat. Dia akan sentiasa telefon Khamil. Cara dan perbuatannya seumpama tidak membenarkan Khamil datang ke rumah saya, Tetapi sedarkan dia bahawa dia tu cuma isteri kedua. Nampak gayanya orang yang ambil suami orang lebih kuat mengganggu hidup isteri yang suaminya kena ambil. Adilkah tindakan si madu ini?
''Sekarang setelah ada anak kecil keadaannya lebih teruk lagi, setiap kali Khamil di rumah saya dia tak suka tinggal sendirian dengan anak kecilnya dia akan telefon Khamil suruh balik. Alasannya anak demamlah, sakit perutlah, kembung dan macam-macam lagi.
''Saya perhatikan Khamil memang mengikut kehendak si madu ni, jadi pak turut tetapi dengan saya dia baran, tambah-tambah bila mertuanya datang. Akibatnya hidup saya tidak tenteram, saya tak tahu kenapa Khamil cepat baran dan mengamuk bila balik rumah saya. Kerana isu kecil pun dia akan mengamok, lepas tu dia tinggalkan saya balik ke rumah isteri barunya.
''Saya tak tahu sampai bila hidup saya jadi begini, semakin hari Khamil menjadi begitu dingin dengan saya. Tak mahu sentuh saya, kalau saya sentuh pun tidak akan mendapat balasan darinya. Dan setiap kali saya cuba mendekatinya balik ke rumah dia cepat berubah jadi pemarah dengan isu kecil sekalipun. Masalah inilah memeningkan kepala saya, sampai bila saya mesti bersabar? Sepatutnya suami berlaku adil bila berpoligami, adil memberi nafkah zahir batin, tetapi kalau nafsu suami diikat hingga dingin kepada saya apakah ini adil? Dan bagaimana suami boleh hidup bahagia kalau fikiran suami sentiasa diganggu oleh gangguan oleh ilmu hitam dan kuasa asing?''
Ini masalah besar yang dihadapi oleh Suhana. Masalahnya memang menyulitkan, sukar di atasi, tambahan pula Suhana tidak akan mengaku kalah walau apa pun terjadi.
Poligami memerlukan kefahaman semua pihak, isteri-isteri dan suami. Kalau masing-masing lebih mementingkan diri sendiri, ia tidak akan mencapai matlamatnya. Dan memang jarang-jarang kita dengar isteri-isteri yang berpoligami bahagia hidup mereka.

Saturday, June 20, 2009

Rotan = Disiplin?

Oleh Suliati Asri


ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.Walaupun dulu ramai anggota masyarakat yang tidak menyokong hukuman ini dan lebih memilih sesi kaunseling, kini masyarakat merasakan ia jalan penyelesaian terbaik.
Jika mengimbau persekolahan zaman 60-an dan 70-an, jika guru merotan pelajar yang melakukan kesalahan, ia perkara biasa dan mendapat sokongan ibu bapa.Murid atau pelajar sedar jika dirotan, ia adalah kerana kesalahan sendiri dan mereka tidak berani mengadu kepada ibu bapa kerana aduan itu tidak dilayan, sebaliknya mereka mungkin dirotan lagi.Memang sakit apabila dirotan, tetapi kebanyakan pelajar yang pernah menerima hukuman itu, kini menjadi manusia berguna, memegang jawatan tinggi dan disegani masyarakat.Malah, ada pelajar yang pernah dirotan berterima kasih kepada guru kerana mengambil tindakan berkenaan.Tetapi, suasana kini berbeza kerana hukuman merotan dianggap ketinggalan zaman dan guru yang melakukan perbuatan itu mungkin menerima 'hukuman' ibu bapa.Ada ibu bapa mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan polis atau memukul guru yang merotan anak mereka.Disebabkan takut dikenakan tindakan undang-undang, rotan hanya disimpan dalam laci meja dan akibatnya, pelajar semakin liar dan tidak terkawal.Saban hari, ada saja kes membabitkan disiplin pelajar dilaporkan malah polis terpaksa campur tangan.Rentetan daripada perkembangan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Pejabat Peguam Negara membuat keputusan segera berhubung pelaksanaan hukuman merotan pelajar sekolah.Beliau berpendapat sudah sampai masanya satu tindakan drastik dilakukan bagi menangani masalah disiplin pelajar sekolah."Peraturan sekarang yang melarang guru menyentuh pelajar menjadi kekangan utama melaksanakan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar."Justeru, bagi mengelak ibu bapa menggunakan saluran undang-undang terhadap guru yang merotan anak mereka, keputusan itu sangat diperlukan," katanya.Katanya, pelajar tidak dihukum tanpa sebab dan ibu bapa perlu memahami guru merotan anak mereka bertujuan membendung mereka mengulangi kesalahan.Dari segi kuasa merotan, hanya pengetua dan guru besar boleh melakukan, tetapi mereka boleh menurunkan kuasa itu kepada guru lain.Bagaimanapun, hukuman rotan hanya boleh dilakukan selepas amaran bertulis dikeluarkan kepada pelajar.Hukuman itu tidak boleh dilakukan di tempat terbuka, kesalahannya itu mesti direkodkan dan ada saksi ketika hukuman merotan.Hakikatnya, boleh atau tidak hukuman merotan ini?Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Azreena Wan Jaafar, berkata kesesuaian hukuman rotan itu bergantung kepada usia anak atau pelajar.Dari segi psikologi, bagi pelajar sekolah hukuman rotan pelajar adalah langkah terakhir, tetapi bagi murid sekolah rendah, ia tidak sesuai."Jika hukuman rotan dikenakan terhadap murid sekolah rendah, ia akan meninggalkan kesan negatif kepada mereka."Parut di rotan pasti boleh hilang, tetapi parut di hati mungkin menjadi dendam," katanya.Azreena tidak menolak kemungkinan, tindakan itu mengakibatkan murid murung dan tidak mahu ke sekolah kerana takut dirotan."Apa yang paling membimbangkan, mereka juga mungkin terdorong untuk menjadikan rotan itu sebagai hukuman kepada sesiapa yang mereka rasakan melakukan kesalahan."Pada usia sekolah rendah, otak mereka cepat menangkap apa yang dilakukan orang dewasa. "Ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat terhadap tumbesaran mereka," katanya.Bagi pelajar di sekolah menengah, mereka mungkin boleh menerima hukuman berkenaan."Namun, kita juga perlu melihat, siapa yang merotan dan di mana ia dilakukan."Jika dilakukan pengetua atau guru disiplin dan dilaksanakan di tempat tertutup, ia tiada masalah."Bagaimanapun, jika yang merotan itu guru biasa dan dilakukan di khalayak ramai, mereka mungkin berdendam," katanya.Emosi guru adakalanya tidak stabil dan tertekan. Jadi, jika guru biasa yang menjatuhkan hukuman, Azreena khuatir mereka akan memukul pelajar sekuat hati bagi menghilangkan tekanan itu.Tetapi, itu tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak boleh dihukum. Elak memukul di bahagian sensitif seperti muka, perut atau kepala. Pukul pula jangan terlalu kuat, cukup sekadar memberi 'pengajaran dan peringatan' supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersembahyang padausia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud)."Jika mahu memukul, lebih baik ibu bapa atau guru memukul anak dengan tangan kerana mereka dapat merasakan sendiri kesakitan dialami si anak," katanya.Sementara itu, bapa kepada empat orang anak lelaki, Mohd Zaidi Syukri, 48, berkata beliau tidak ada masalah apabila anaknya dirotan kerana melakukan kesalahan."Jika hukuman itu boleh menyedarkan anak, kita patut menyokong, bukan membela anak yang melakukan kesalahan."Jika ibu bapa selalu membela, anak lebih berani melakukan kesalahan dan mungkin menconteng arang di muka kita nanti," katanya.Menurut Zaidi, hukuman rotan bukanlah hukuman yang kejam kerana kesakitan dek rotan itu akan hilang juga.

Friday, June 19, 2009

Kasih ayah

Oleh Idris Musa







Anakku Sazali dengarlah
Lagu yang ayahanda karangi
Sifatkan laguku hai anak

Sebagai sahabatmu nanti
Anakku Sazali juwita
Laguku jadikan pelita
Penyuluh di gelap gelita
Pemandu ke puncak bahagia...





BEGITU puitis lirik lagu Anakku Sazali ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.Baitnya syahdu dan menyentuh jiwa, membayangkan keakraban hubungan dan kasih tidak berbelah bahagi antara seorang bapa dan anak. Kasih bapa kepada anak melebihi segalanya. Jasanya tidak terhitung, cuma semua itu sukar dimengertikan si anak, sehinggalah suatu hari kelak giliran anak pula bergelar bapa.Islam meletakkan bapa pada kedudukan yang tinggi dan menjadi kewajipan setiap anak memuliakan bapa, mentaati dan menghormatinya, berbuat baik dan berkata dengan sopan.
“Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia. “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.’” (Surah al-Isra': 23-24)Teks al-Quran itu mengajar manusia melayani orang tua. Tetapi sejauh mana ketaatan itu? Apakah pula yang dikatakan kebajikan terhadap orang tua?Menurut Imam al-Ghazali, kebanyakan ulama berpendapat, ketaatan kepada orang tua wajib dalam hal meragukan dan tidak wajib dalam hal yang jelas haram kerana meninggalkan sesuatu meragukan adalah warak (berhati-hati), sedangkan keredaan orang tua adalah wajib. Berbakti kepada orang tua tidak hanya kepada bapa atau ibu yang Muslim.
Walaupun kedua-duanya kafir, anak harus berbuat baik kepada mereka dan termasuk berbuat baik dan tidak berjihad kecuali dengan izin mereka. Dalam hadis sahih diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w meminta izin kepadanya untuk berjihad. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apakah ayahmu masih hidup?” Orang itu menjawab: “Ya.” Nabi bersabda: “Berjihadlah bagi kedua orang tua.” (Hadis riwayat Muslim)Melalui hadis lain disebutkan orang itu menjawab: “Ya, kutinggalkan mereka menangis.” Nabi berkata: “Pergilah, buatlah mereka tertawa, sebagaimana engkau membuat mereka menangis.”Jangan sesekali membuatkan bapa menitiskan air mata. Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a, dia berkata, bersabda Rasulullah bermaksud: “Tangis kedua orang tua termasuk penderhakaan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Menurut al-Qurtubi, termasuk kesempurnaan dalam berbakti kepada kedua orang tua ialah menjalin hubungan baik dengan orang yang mereka cintai. Diriwayatkan dari Muaz ibn Jabal r.a, Rasulullah bersabda, ertinya: “Sesiapa berbakti kepada kedua orang tuanya, beruntunglah dia dan Allah menambah umurnya.” (Hadis riwayat Abu Ya'la, Tabrani dan al-Hakim)Bagi anak yang sudah ketiadaan bapa, masih boleh berbakti kepadanya. Diriwayatkan Abu Usaid, seorang Badwi, dia berkata: “Aku sedang duduk bersama Nabi s.a.w, kemudian datang kepadanya seorang lelaki Ansar. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah aku masih boleh berbakti kepada ayahku sesudah dia meninggal?” Baginda menjawab yang bermaksud: “Ya, mendoakan rahmat bagi keduanya, memohonkan ampun bagi keduanya, melaksanakan wasiat mereka, menghormati teman mereka, menjalin hubungan dengan kerabat daripada pihak mereka berdua. Inilah yang masih boleh engkau lakukan.”
Sebagai anak, tutur kata dengan bapa sewajarnya sopan dan beradab, tidak mengguriskan hati, malah melayaninya dengan penuh keikhlasan, hormat dan rendah diri. Diriwayatkan dari Aisyah r.a, dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi bersama seorang tua. Nabi bertanya: “Siapakah yang bersamamu?” Orang itu menjawab: “Ayahku.”
Baginda bersabda: “Jangan berjalan di depannya dan jangan duduk sebelum dia, jangan memanggilnya dengan namanya dan jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain memakinya.” (Hadis riwayat Tabrani) Menurut Atha’, perkataan lemah-lembut seperti “wahai ayah, wahai ibu” tanpa menyebut namanya.Ibnul Baddaah at-Tujaibi berkata: “Aku berkata kepada Said Ibnu Masayyab, semua yang ada dalam al-Quran mengenai berbakti kepada kedua ibu bapa sudahku ketahui, kecuali firman-Nya bermaksud: “Dan berkatalah kepada keduanya dengan perkataan yang mulia.” Apakah perkataan yang mulia itu?” Ibnu Masayyab berkata: “Ia adalah perkataan hamba yang berdosa kepada tuan yang bengis dan keras.”Begitulah kiasan dalam hubungan interaksi antara anak dan bapa. Tetapi kini ada anak sewenang-wenangnya menengking bapa, memaki hamun, malah sampai menghumbankan bapa ke penjara dan mencederakannya. Bongkaknya, seperti sudah lupa asal usul.Ibnu Abbas berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat reda kedua orang tuanya di waktu pagi dan petang, dia pun mendapat dua pintu syurga yang terbuka dan jika seorang, satu pintu. Sesiapa di waktu petang dan pagi membuat marah kedua orang tuanya, dia mendapat dua pintu neraka yang terbuka, jika seorang, satu pintu.”
Tetapi bagi si anak pantang melihat bapa melakukan perkara bertentangan. Bapa, walaupun kerap kali berdepan dengan anak bermasalah, tetap bersabar dan menutup aib sehinggalah dia dapat melihat anaknya menjadi orang berguna. Malah, anak selalu berkira soal makan minum dengan bapanya. Sudahlah wang jarang dikirim, bertanya khabar jauh sekali. Beberapa kali diberi, sudah mula mengungkit itu dan ini. Satu kisah terjadi pada zaman nabi.
Diriwayatkan dengan Isnad bersambung dari Jabir ibn Abdillah r.a, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ayahku mengambil hartaku.”Kemudian Jibril turun kepada Nabi dan berkata: “Allah Azza wajalla menyampaikan salam kepadamu dan berkata kepadamu: “Apabila orang tua itu datang kepadamu, tanyailah dia mengenai sesuatu yang dikatakannya dalam dirinya dan hanya didengar kedua-dua telinganya.”Ketika orang itu datang, Nabi berkata: “Mengapa puteramu mengeluhkan kamu? Apakah engkau ingin mengambil hartanya?”Orang tua itu berkata: “Tanyailah dia, ya Rasulullah, apakah aku membelanjakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku?”Rasulullah berkata: “Janganlah ceritakan hal ini kepada kami.
Beritahulah aku mengenai sesuatu yang engkau ucapkan di dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu.”Orang tua itu berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, Allah Azza wajalla selalu menambah keyakinan kami kepadamu. Aku sudah mengucapkan sesuatu di dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku.” Rasulullah berkata: “Katakanlah supaya saya mendengarnya.”Orang itu berkata: “Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan kubiayai engkau di kala dewasa. Engkau minum daripada rezeki yang aku berikan padamu. “Bila engkau sakit pada waktu malam aku tidak tidur dan gelisah semalaman suntuk kerana penyakitmu, seakan akulah yang terkena bukannya engkau dengan penyakit yang menimpa orang lain sehingga aku menangis.
“Diriku takut engkau binasa, supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu. “Apabila engkau jadi besar dan mencapai akhir umur, aku pun tidak mengharapkanmu, engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.“Kiranya bila engkau tidak memelihara hak aku sebagai bapa, engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan. Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku, dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu.”Ketika itu, Nabi memegang leher baju putera orang itu dan berkata: “Engkau dan hartamu milik ayahmu.”

Thursday, June 18, 2009

Sanggupkah tidur bersama singa tua walau jinak?


Oleh LT. JEN (B) ZAINI MOHD. SAID
SAYA terpanggil untuk menulis kerana merasa sangat kecewa, malu dan marah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Chin Peng dimaafkan dan dibenarkan kembali ke negara ini.
Kecewa, kerana Chin Peng tidak pernah insaf, jauh sekali memohon maaf kepada rakyat dan negara ini di atas segala keganasan yang dia dan pengganas lain lakukan selama hampir 44 tahun.
Jadi mengapa kita perlu maafkan Chin Peng? Sanggupkah Anwar melupa dan memaafkan mereka yang kononnya didakwa oleh beliau telah menzaliminya dahulu? Jika Anwar tidak sanggup memaafkan mereka yang dituduh musuhnya itu, kenapa pula rakyat Malaysia perlu memaafkan Chin Peng?
Sangatlah jelas bahawa sokongan itu tidak lain sekadar untuk meraih perhatian dan sokongan politik untuk dirinya sendiri. Beliau langsung tidak mempedulikan perasaan bangsa khususnya bekas anggota pasukan keselamatan, ahli keluarga mereka serta semua yang pernah teraniaya angkara pengganas komunis.
Beliau ternyata memandang remeh kekejaman yang terpaksa diharungi oleh rakyat ketika komunis bermaharajalela.
Malah Anwar juga mungkin menganggap sumbangan pasukan keselamatan sebagai "tiada apa-apa". Negara terselamat dari dikuasai oleh komunis kerana semangat dan pengorbanan pasukan keselamatan dan rakyat. Ramai yang terkorban dan cedera dalam perjuangan itu.
Sebahagian besar daripada anggota keluarga mereka yang terkorban dan cedera itu kini hidup melarat. Ramai yang kehilangan bapa, anak, suami dan saudara-mara akibat perang melawan komunis.
Pengorbanan pasukan keselamatan telah membuatkan negara aman dan selamat. Ia membolehkan rakyat maju dan bebas berpolitik hingga ramai menjadi kaya raya.
Anwar dan mereka yang bersetuju dengan idea beliau untuk memaafkan Chin Peng itu sebenarnya tidak memikirkan kesan buruk yang boleh timbul jika pengganas itu dibenarkan kembali ke sini.
Usul yang dikemukakan oleh Anwar itu sahaja telah pun menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat. Bagaimana pula sekiranya "kepala pengganas komunis" itu kembali kelak?
Adakah dia akan bebas menjelajah ke seluruh pelosok negara? Apakah yang akan terjadi di tempat dan persekitaran di mana Chin Peng berada dan melawat nanti?
Mungkin ada yang menjulang beliau sebagai 'wira' dan ada sebahagian pula akan merusuh menentangnya? Adakah beliau perlu diberi perlindungan polis? Jika perlindungan itu gagal, apa pula akibatnya? Polis akan dipersalahkan sedangkan masih ramai lagi orang baik-baik yang perlu diberi perlindungan.
Adakah mungkin kepulangan itu akan menyemarakkan kembali semangat penyokongnya? Mungkin juga akan ada perarakan jalanan di kalangan penyokong itu untuk menjatuhkan kerajaan.
Hanya mereka yang buta hati dan jiwa sahaja yang tidak nampak semua ini. Keselamatan negara dan ketenteraman awam adalah lebih penting dari kebajikan dan populariti individu itu.
Rasa kecewa, malu dan marah saya ini atas sebab-sebab yang nyata. Saya tidak rela beliau dibenarkan kembali ke tanah air bertuah ini. Sejinak-jinak atau setua manapun singa atau harimau, belum tentu lagi ada manusia yang sanggup berpanjangan diam dan tidur sesangkar dengan haiwan liar dan ganas itu.
Singa tetap singa. Tiada yang sanggup tidur bersamanya kerana bimbang dibaham. Jadi kenapa perlu mempertaruhkan nasib?
Leftenan Jeneral Datuk Seri Zaini Mohd Said ialah mantan Panglima Medan Tentera Darat dan kini Pengerusi Forum Aktivis Melayu (FAME).

Godaan SMS ganggu rumahtangga

ARKIB : 01/06/2009

BERMULA dengan kisah Rita yang saya siarkan dua minggu lalu, saya menerima berpuluh-puluh e-mel daripada pembaca yang ingin berkongsi masalah bersuamikan lelaki yang suka bermain mesej dengan wanita.
Aduhai, sudah jadi satu penyakit di kalangan suami sekarang mengayat kekasih menerusi mesej. Bukan menyalahkan kaum Adam tetapi hakikatnya telefon bimbit turut menjadi masalah dalam rumah tangga sejak kebelakangan ini.
Telefon bimbit yang diibaratkan sebagai talian hayat kepada manusia rupa-rupanya membawa bahana dalam rumahtangga.
Mungkin anda tidak sedar tetapi itulah yang berlaku. Ramai isteri kecewa kerana suami beralih kasih dan menjadikan telefon bimbit sebagai pelepas rindu kepada kekasih hati.
Begitulah yang dilalui oleh salah seorang peminat ruangan ini yang turut mengalami masalah yang sama dengan Rita. Saya memilih untuk menyiarkan kisah Wan (bukan nama sebenar) kerana suaminya seorang mualaf.
Bayangkan kesulitan yang Wan hadapi sebelum bernikah dengan suaminya itu namun dalam usia rumah tangga setahun jagung, badai mula melanda.
Kita ikuti cerita Wan.
"Saya telah berkahwin dengan suami lebih kurang dua tahun lebih, dan dikurniakan seorang anak berusia setahun tiga bulan. Ingatkan apabila sudah berumahtangga suami akan sayang kita sampai ke akhir hayat, malangnya itu tidak berlaku.
"Dalam usia perkahwinan setahun jagung, tembelang suami mula nampak. Semuanya gara-gara telefon bimbit dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Luluh hati apabila mendapat tahu suami suka bermesej dengan perempuan lain. Malah dia juga selalu tidur dengan teman wanitanya.
"Bayangkan dia sanggup beritahu wanita yang dia selalu mesej yang umurnya baru 37 tahun sedangkan usia sebenar 47 tahun. Sudahlah begitu, dikatanya juga dia masih bujang sedangkan sudah punya anak satu.
"Kami kahwin lambat sebab mendapat tentangan keluarga. Paling saya sedih sebab dia sanggup tidur dengan wanita lain di luar pengetahuan saya.
"Apabila saya fikir balik, saya akur dengan kata-kata perkahwinan yang tidak direstui keluarga akan menghadapi masalah. Itulah yang berlaku kepada saya sekarang.
"Hubungan kami dulu ditentang keluarga kerana suami seorang mualaf. Dia memeluk Islam ketika berumur 20 tahun. Pernah kami berpisah selama dua tahun kerana masalah keluarga saya tidak setuju.
"Mungkin kerana jodoh kami kuat akhirnya kesungguhan suami untuk mengahwini saya berhasil. Perkahwinan saya berlangsung dengan meriah sebab campur tangan ibu dan bapa saudara yang membuatkan saya yakin suami akan mengenang segala kesusahan saya untuk bersama dia.
"Malangnya apa yang berlaku tidak seperti yang saya harapkan, baru setahun, suami sudah main kayu tiga. Dia tidak insaf dengan kepayahan yang kami lalui untuk berkahwin dulu.
"Dia mula berubah selepas anak kami lahir. Paling ketara dia suka menyorok telefonnya kalau saya ada di rumah, malah ke mana dia pergi pasti dibawa bersama, jika tidak telefon itu akan disorok.
"Bukan setakat khayal dengan telefon, dia juga gagal memenuhi tanggungjawabnya sebagai suami untuk memberi nafkah batin kepada saya.
"Berbulan-bulan juga saya memendam rasa sehingga akhirnya saya mengambil keputusan menyiasat apa yang sebenarnya berlaku.
"Usaha saya berhasil apabila saya mendapat beberapa nombor wanita yang dia sering mesej dan juga chatting dengannya. Saya hubungi mereka dan tentunya mereka terkejut apabila saya perkenalkan diri siapa saya.
"Lalu terbongkarlah segala rahsia di mana suami saya telah menipu mereka dengan mengatakan dia masih bujang dan sedang mencari calon isteri. Mereka juga mengaku pernah tidur dengan suami saya.
"Segala bukti saya kemukakan kepada suami tetapi suami tidak pernah mengaku apatah lagi untuk meminta maaf. Malahan dia sendiri menyatakan kalau tidak sanggup untuk tinggal dengan dia, dia menyuruh saya keluar dari rumah.
"Memang, jika diikutkan hati sudah lama saya tinggalkan dia tetapi kerana anak dan segala kesusahan semasa kami hendak bersama, saya bersabar.
"Saya cuma mampu bertahan kerana anak sebab saya tidak mahu anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Ikutkan kasih kepada dia memang saya sudah tawar hati.
cepat berubah
"Kadang-kadang saya hairan kenapa suami cepat berubah dan tidak mampu berfikir macam mana susahnya seorang ibu atau bapa hendak melepaskan anak perempuan mereka kepada orang lain begitu saja.
"Mujur saya tidak mengikut kata hati kahwin lari dengan dia dulu, jika tidak pasti hidup saya akan merana. Sebagai seorang wanita bergelar isteri, saya juga hairan kenapa anak dijadikan alasan untuk mencari perempuan lain sedangkan kami sudah mempunyai anak.
"Kenapa suami masih beria-ia mencari wanita lain? Untuk apa, adakah kerana nafsu atau memang trend suami zaman sekarang suka menipu isteri?
"Mudah bagi lelaki terutama suami menduakan isteri mereka tanpa memikirkan perasaan dan hati isteri. Kenapa tidak mereka sebagai lelaki dan suami menyelami perasaan isteri, mengambil hati dan belajar bertanya apa masalah yang isteri hadapi.
"Apabila difikirkan, saya kadang-kadang menyesal dengan apa yang telah saya lakukan tetapi saya beristigfar berkali-kali dan berkata masih ada perempuan lain yang susah daripada saya.
"Apa yang saya pelik kadang-kadang sampai tidak ingat makan disebabkan asyik bermesej. Bila saya duduk sebelah, dia diam macam batu. Tangan tak lepas daripada telefon, erat dalam genggaman.
"Bila saya tidak ada, tangan ligat bermesej… tersenyum tersengih seorang diri macam kerang busuk… Sebaik saya masuk bilik untuk mandi atau bersolat, dengar becuk mulut dia bercakap telefon… tergelak dan manja-manja, memujuk rayu.
"Sebagai isteri mana tidak panas hati tengok suami gatal begitu.
"Kalau bersama saya macam nak telan hidup-hidup, di belakang pijak semut tak mati. Itulah lelaki. Tapi saya sabar dan berharap Allah SWT bagi kekuatan untuk saya terus menghadapi dugaan ini.
"Bayangkan baru dua tahun suami sudah buat perangai, bagaimana hendak saya hadapi rumah tangga ini sehingga ke akhir hayat.
"Kekuatan saya kini hanya pada anak dan saya harap sangat-sangat suami akan berubah. Sehingga kini saya gagal mengembalikan dia kepada dirinya yang sebenar.
"Saya juga berharap luahan saya ini akan dibaca oleh suami-suami di luar sana yang suka mempermainkan wanita, supaya kembali ke pangkal jalan.
"Jangan sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang dilarang agama kerana ingin memuaskan nafsu dan mengikut kata hati.
"Ingatlah, Allah tidak pernah lupa akan perbuatan hamba-Nya. Mereka yang berdosa tetap akan dihukum. Kepada wanita yang sedang mencari pasangan, ingatan saya kepada mereka, jangan menggoda suami orang.
"Carilah lelaki yang masih bujang. Kebahagiaan perlu dibina dengan kasih sayang sejati bukan atas air mata kaum sejenis anda. Fikirkan tentang anak isteri lelaki yang anda goda.
"Jangan mudah terpedaya dengan pujukan dan rayuan lelaki yang hidung belang. Sebab janji-janji yang ditabur itu belum tentu menjanjikan kebahagiaan.
"Permintaan terakhir saya, jangan menyakiti hati kaum sejenis anda kerana jika itu yang berlaku, sampai bila pun wanita tidak akan bahagia, sebab anda menyumbang kepada penderitaan kaum sejenis anda sendiri'' kata Wan menamatkan ceritanya.
Demikian akhirnya kisah Wan. Saya kagum dengan sikap Wan yang bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan tiba selepas ini akibat perangai suami yang semakin berubah.
Orang lelaki ini, jika dihalang dan dilarang dikatakan isteri cuba nak kawal, apabila dibiarkan, inilah yang berlaku. Semuanya tak kena. Bagaimanapun saya mengharapkan semua isteri bertindak tegas dalam apa juga perkara berkaitan rumah tangga.
Jangan beri peluang kepada suami melakukan perbuatan yang di luar batas rumah tangga. Waspada dalam segala perkara. Jangan percaya seratus peratus kepada mereka sebaliknya simpan sedikit untuk kita sebagai isteri buat kejutan tentang perangai mereka apabila perlu.
Saya juga berharap Wan akan terus tabah menghadapi ujian ini. Jangan dikesalkan tentang pernikahan yang tidak direstui keluarga kerana kita harus kembali kepada takdir, jodoh maut dan pertemuan itu di tangan Tuhan.
Pesanan saya jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dalam meneruskan hidup Wan sebagai wanita, isteri dan ibu. Rumahtangga ibarat sebuah kapal kecil di tengah lautan. Di tangan kita sebagai suami isteri letaknya pelayaran kapal kecil itu, agar ia tidak karam dipukul ombak.
Mengakhiri kata, pesanan ikhlas saya, hidup akan menjadi lebih derita jika susah yang kita fikirkan, sehubungan itu jangan jadikan hidup ini susah sebaiknya jadikan ia satu perjalanan yang cukup indah kerana hidup juga akan jadi tidak keruan tanpa penyatuan dua hati.
Salam.

Tuesday, June 16, 2009

Tradisi masyarakat Lun Bawang

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

Biar pun jam di Kampung Buduk Nur itu seolah-olah berdetik terlalu perlahan, namun tarikannya cukup luar biasa terutama kepada warga kota yang ingin menikmati kehidupan kampung yang sebenar.

KANAK-KANAK lelaki itu pantas bergaya apabila menyedari lensa kamera saya menghala ke arahnya. Tersenyum manis, dia kemudian perlahan-lahan menarik tangan adik perempuannya dan berlalu pergi, selepas dipanggil ibunya yang berdiri di atas beranda di sebuah rumah kedai berhampiran.
Perjalanan di kampung yang mendamaikan itu diteruskan. Lorong yang diturap dengan simen itu agak sempit. Sesekali, pejalan kaki terpaksa berdiri di tepi untuk memberi laluan kepada orang kampung yang menunggang motosikal.
Di kiri dan kanan, kedudukan rumah-rumah kayu pelbagai warna itu nampaknya agak tersusun. Tidak mahu ketinggalan dengan apa yang berlaku di dunia luar, hampir setiap bumbung rumah di sini dipasang Astro atau parabola.
Nun di tengah padang bola sepak, sekumpulan kanak-kanak asyik bermain lumpur tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Tidak lama kemudian, muncul pula seorang kanak-kanak yang lengkap berpakaian pengakap menolak basikal melintasi satu longkang dalam di tepi padang.
Tidak jauh dari situ, terbentang sawah padi yang menjadi sumber pendapatan utama majoriti penduduk di sana. Anak-anak padi itu masih kecil, mungkin baru sahaja ditanam selepas tamatnya musim menuai.
Meneroka kehidupan ringkas penduduk di kampung terpencil di daerah Ba'kelalan, Sarawak ini memberi satu pengalaman berbeza.
Sebagai individu yang sudah terbiasa hidup di bandar, saya dapatkan rasakan seolah-olah jam di Kampung Buduk Nur itu berdetik jauh lebih perlahan.
Selain berjalan kaki dan berbual dengan orang kampung yang ramah, anda juga boleh menikmati keindahan alam sekitar melalui pakej-pakej melawat ladang epal, pelancongan eko, mendaki gunung Murut dan jungle trekking yang disediakan.
Semua pengalaman ini boleh anda timba sewaktu menginap di Apple Lodge. Berpaksikan kepada konsep penginapan homestay, bangunan kediaman dua tingkat ini sememangnya menawarkan pelbagai keistimewaan.

WAJAH-WAJAH wanita Lun Bawang dalam persalinan tradisi mereka.

Untuk makluman, Ba'kelalan cukup popular di kalangan pelancong luar kerana kewujudan sebuah ladang menanam epal, serta festival atau musim menuai epal pada bulan Jun dan Disember setiap tahun.
Malah, tarikh sambutan musim menai epal itu telah disenaraikan oleh pihak Tourism Malaysia di dalam laman web mereka.
Ketua Kampungnya, Yuden Meru memberitahu, kampung itu dihuni oleh lebih 60 buah keluarga yang terdiri daripada masyarakat Lun Bawang.
"Walaupun lokasi kampung ini cukup jauh dari bandar, kemudahan asas seperti air paip dan tenaga elektrik tetap ada. Elektriknya disalurkan ke rumah-rumah melalui generator.
"Sekarang, projek mikro hidro untuk menjana elektrik sedang giat dibina. Bila siap nanti, ia mampu membekalkan tenaga elektrik ke tiga buah kampung berhampiran. Setakat ini, sistem tersebut hanya digunakan oleh Apple Lodge," katanya.

PAPAN tanda yang menunjukkan penempatan masyarakat Kampung Buduk Nur.

Di sini, anda juga berpeluang merasai keenakan dan kelainan rasa beras adan atau juga dipanggil beras Bario. Struktur bijirinnya lebih kecil dan melekit seperti pulut. Lebih menarik lagi, walaupun nasi dimakan dalam kuantiti yang banyak, ia tidak akan membuatkan perut anda senak kekenyangan.
"Biasanya, padi adan akan dituai setahun sekali, sekitar bulan Januari. Jumlah beras yang diperoleh bergantung pada keluasan sawah. Sekali tuai, sawah yang mempunyai 4,000 batang padi sehingga 4,000 gantang.
"Bagusnya beras ini, ia ditanam secara organik. Langsung tidak gunakan racun serangga. Rasanya pun sedap.
"Padi ini banyak dijual di bandar Lawas dan Miri. Harganya juga berbeza. Kalau di kampung, segantang beras dijual RM15 segantang. Sedangkan di Lawas harganya boleh mencecah antara RM18 hingga RM20 di Miri," jelas seorang warga emas yang bekerja sebagai petani, Padan Mutang, 62, sambil tersenyum, menampakkan giginya yang sudah rongak.

KANAK-KANAK ini merupakan sebahagian daripada penghuni Kampung Budur Nur, Ba’kelalan.

Biarpun lauk yang dihidangkan sepanjang berada di Kampung Buduk Nur cukup ringkas iaitu ikan, ayam dan sayur goreng, saya rasa ia begitu menyelerakan. Apatah lagi apabila dicecah dengan sambal home made yang pedas dan berperisa.
"Kami memasak makanan menggunakan garam khas. Sangat berbaloi dengan pakej yang dibayar kerana tetamu juga boleh melihat sendiri gaya hidup masyarakat Lun Bawang," jelas pengusaha Apple Lodge, Sandra Munga Tagal.
Malam itu, hidangan saya makan disempurnakan dengan pai epal. Sambil bersembang bersama rakan-rakan, suasana malam kami diselang seli dengan pekikan cengkerik. Ditambah pula dengan tiada liputan telefon bimbit, Ba'kelalan memberikan satu suasana yang sudah lama tidak saya alami.
Mahu datang ke sini? Anda boleh menaiki kapal terbang ringan Maswings yang terbang ke Ba'kelalan tiga kali seminggu iaitu Isnin, Sabtu (dari Lawas) dan hari Rabu dari Miri.

MASWINGS sedia memberi khidmat membawa pelancong terbang ke Ba’kelalan tiga kali seminggu.

Selain itu, anda boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Perjalanannya memakan masa selama enam jam, kira-kira sejauh 150 kilometer dari Lawas yang merupakan bandar paling dekat.

Sunday, June 14, 2009

Ramadan kemuncak El Nino

Oleh AMREE AHMADamree.ahamad@kosmo.com.my
Cuaca paling panas berikutan fenomena El Nino dijangka berlaku pada bulan puasa nanti.


JEREBU yang sedang melanda Kuala Lumpur merupakan petanda awal kedatangan El Nino.

LAZIMNYA, antara ungkapan popular yang sering menjadi petua orang kita mengenai petunjuk ketibaan bulan Ramadan ialah azan Maghrib semakin awal. Juga suhu panas pada tengah hari sesuai dengan maksud asal Ramadan dalam bahasa Arab.
Perkataan itu yang dirujuk kepada bulan kesembilan dalam takwim Hijrah dipercayai digunakan masyarakat Arab kerana keadaan panas sepanjang bulan tersebut. Tidak hairanlah Rukun Islam ketiga itu begitu sinonim dengan suasana cuaca panas.
Namun Ogos ini, umat Islam khasnya di sekitar Lautan Pasifik buat julung kali akan merasai ‘kehangatan’ Ramadan seiring kemunculan fenomena El Nino. Kali ini ujian sebenar Ramadan menyamai saudara seagama di bumi gersang Asia Barat.
Apa tidaknya, Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa lalu meramalkan negara mungkin mengalami fenomena itu ekoran cuaca panas kering. Ia berikutan tiupan angin Monsun Barat Daya yang dijadual berlaku sehingga akhir September depan.
El Nino dikatakan tanpa disedari sudah terbentuk namun kekuatannya cuma dapat dikenal pasti mulai Ogos ini. Justeru Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merangka beberapa langkah awal bagi mengurangkan kesan fenomena itu.
“Ironi tidak jelas apakah tindakan dilakukan pihak berkuasa termasuk mengekang aktiviti pembakaran terbuka yang meningkatkan jerebu. Adakah membakar sate secara terbuka untuk dijual juga dilarang?,” soal Mohd. Nizam Mahshar.
Koordinator Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu ketika dihubungi bagaimanapun mempersoalkan kurangnya persediaan bagi menghadapi El Nino. Ini kerana fenomena itu bukan cuaca luar biasa malah selalu berulang pada setiap empat tahun.
Malangnya, kita seperti tidak belajar daripada sejarah dan ia dapat dilihat ketika kejadian El Nino terburuk berlaku pada 1982, 1983, 1997 dan 1998. Waktu itu, negara teruk dilanda jerebu dan lebih parah, mengalami kekurangan bekalan air mentah.


PERSEDIAAN untuk menghadapi ketidaktentuan cuaca tidak boleh dibuat secara ad-hoc.


“Banyak empangan kering-kontang dan puncanya kerana kawasan tadahan di sekitarnya terjejas akibat penebangan hutan tanpa kawalan sekali gus mengancam zon penampan. Kini kita kembali ‘bising’ apabila El Nino datang semula,” katanya.
Mohd. Nizam seterusnya menambah, sepatutnya tahun 2009, negara kita menghadapi El Nino dengan penuh persediaan rapi, bukan digerunkan dengan amaran krisis air yang bakal melanda akibat beberapa empangan mengalami susut stok tadahan.
Keadaan panik sekarang ujar beliau, muncul kerana Malaysia setakat ini masih belum memiliki dasar jelas berhubung pelan tindakan kesan perubahan iklim sejagat. Jawatankuasa yang dibentuk kini biasanya bersifat ad-hoc dan bukan tetap.
“Sewajarnya daripada El Nino yang lepas, negara tidak perlu risau empangan kering dan jerebu ekoran pembakaran terbuka, tetapi apa berlaku, kita diberi amaran itu dan ini mengenai El Nino semacam esok dunia hendak kiamat,” jelas beliau kesal.

Hakikatnya, fenomena berulang itu tidak banyak mempengaruhi purata iklim setempat. Sebaliknya cuaca panas melampau kebanyakan disumbangkan oleh faktor persekitaran semasa seperti penebangan hutan dan pembakaran sengaja.
Misalnya suhu Cameron Highlands secara purata berlegar 15.3 darjah Celsius pada bulan Ogos dengan kelembapan 92 peratus. Namun ia pernah mencecah hampir 28 darjah Celsius suatu ketika kerana banyak kawasan bukit di situ habis digondol.
“Justeru suhu panas bukan disebabkan El Nino tetapi akibat perbuatan manusia sendiri. Ini perlu difahami kerana setiap perubahan iklim lebih bersifat kepada proses penyelarasan semula planet bumi secara semula jadi,” kata Mohd. Nizam.
Pihak berkuasa ujarnya, harus melihat El Nino seperti masalah banjir yang memerlukan pencegahan awal seperti membina parit monsun atau mendalamkan sungai. Ia amat mudah kerana El Nino boleh diramal sama seperti kes tsunami.
Bayangkan menerusi langkah persediaan awal, sektor pertanian misalnya tidak perlu risau ketibaan El Nino. Ini kerana tali air sokongan sudah dibina untuk memastikan bekalan air tidak terputus, sekali gus tempias El Nino boleh diminimumkan.

Lebih baik daripada ibu kandung



RATA-rata ramai yang bersetuju perjuangan mendapatkan nafkah untuk anak bukan mudah. Tidak keterlaluan jika dikatakan masalah wang boleh memusnahkan masa depan anak-anak kerana tidak mendapat pembelaan daripada seorang ayah. Kerana itu ramai pembaca setuju tindakan puan Elyza (DCCK minggu lalu) menyerahkan anak-anaknya kepada bekas suaminya.
Menurut Puan Rina dalam e-melnya daripada bergaduh, membazirkan duit, masa dan tenaga meminta nafkah dari bekas suami yang lalai lebih baik serahkan anak kepada ayahnya. Lagi pun anak-anak zaman ini bukan hidup dalam era zaman bawang putih bawang merah, menangis bila dipukul dan didera, anak-anak teknologi kini mereka tahu bertindak jika dianiaya.
''Ramai suami kini bersikap lepas tangan dan mengambil kesempatan dari kelemahan system mahkamah syariah sekarang. Oleh itu saya cadangkan ibu-ibu tunggal yang tak pernah dapat nafkah dari bekas suami, serahkan aja anak-anak pada ayahnya. Dan anda boleh ambil mereka pada hujung minggu kalau ada kesempatan. Biar mereka tanggung pula kerenah anak-anak dengan makan minum, duit saku, buku sekolah, pakaian seragam, tusyen dan sebagainya.
''Namun bekalkan anak-anak dengan pengalaman yang luas, semangat kental, rajin belajar, selain memperkasakan mereka supaya tidak lembik dan pasif menghadapi kemungkinan leteran ayah dan ibu tirinya. Tetapi jangan pula hilang hormat kepada orang tua,'' demikian kata Rina.
Berlainan pula dengan pandangan Puan Khuzaimah yang berpendapat beliau juga pernah jadi ibu tunggal dengan menanggung anaknya seorang diri. 'Bukan saya tak mahu minta nafkah, tapi dah naik benci, akhirnya saya tanggung anak sendiri. Agaknya suami ni bila dah bercerai dia memang tak pedulikan anak-anak, tambah-tambah bila dah dapat anak baru.
''Saya hairan, apakah para suami kini tak faham tanggungjawab mereka? Yang bercerai adalah antara suami isteri, anak-anak tetap miliknya, lainlah kalau anak-anak itu pun bertukar bin atau binti bolehlah dikatakan dia menceraikan anaknya. Tetapi rata-rata memang ramai ayah lepas bercerai tak mahu beri nafkah. Kenapa? Masalah ini kenalah tanya suami sendiri, ibu bapanya, mahkamah syariah dan ustaz-ustaz yang kurang sangat berceramah pasal nafkah.
''Dari pengalaman sendiri, saya dah malas nak minta nafkah, buang masa aja, malah membuatkan kita lebih sakit hati. Selama 10 tahun saya jadi ibu tunggal hingga anak saya berusia belasan tahun. Adalah dua kali anak saya dapat nafkah dari ayahnya, agaknya dia terkejut tengok anaknya dah besar. Tapi lepas tu hilang. Semua belanja hidup saya pikul, nasib baik seorang dan saya bekerja! Kerana itu saya cukup hati-hati bila ada lelaki nak melamar. Saya takut nak kahwin lagi.
''Niat saya nak didik anak selagi mampu dan saya bersyukur dia dapat tawaran sekolah berasrama penuh. Walaupun sayang tetapi saya terpaksa lepaskan demi masa depannya, dan niat saya supaya dia mendapat didikan sebaik mungkin di dunia dan akhirat.
''Bila dah tak ada anak di sisi semakin ramai lelaki yang berminat. Salah seorang daripadanya seorang duda beranak lima. Hazrami namanya. Katanya perkahwinannya hancur kerana kecurangan isterinya yang berlaku di depan matanya sendiri. Jadi kerana itu mereka bercerai. Dialah yang mendidik dan membesarkan empat dari lima orang anaknya sementara bekas isterinya memelihara anak bungsunya yang masih kecil.
''Waktu itu, saya memang tahu perkembangan hidupnya dan keluarganya kerana kami tinggal dalam satu taman perumahan. Melalui jiran dan kawan-kawan dia pernah menyuarakan hasratnya melamar saya. Tetapi saya tolak dengan baik dengan alasan belum bersedia. Saya sendiri tidak yakin mampu menjadi ibu kepada anak-anaknya yang ramai tu.
''Agaknya dek kerana kesunyian dan anak-anak masih kecil dia berkahwin dengan gadis yang hampir sebaya dengannya. Tapi jodoh mereka tidak panjang hanya bertahan lima tahun sahaja.
''Saya pernah dengar rungutan orang-orang di kawasan perumahan kami, yang dia amat menderita lantaran isteri barunya itu tidak berapa suka dengan anak-anaknya, dia juga tidak ambil berat untuk menguruskan makan pakai suami dan anak-anaknya. Jauh di sudut hati saya amat bersimpati. Saya tahu dia baik dan penyabar orangnya.
''Masuk tahun kelima perkahwinan mereka, merupakan kemuncak masalah dan penderitaannya, mereka akhirnya bercerai. Dia bertindak sedemikian kerana memikirkan masa depan dan kehidupan anak-anaknya yang tidak berurus dan tidak lagi selesa.
''Tidak lama selepas bercerai dia beralih semula kepada saya, oleh kerana saya masih belum berkahwin, dia melamar saya untuk kali keduanya. Katanya dia bercerai kerana bekas isteri tidak pernah ada anak sendiri, jadi tak sesuai, oleh kerana saya ada anak sendiri, mungkin saya lebih faham masalahnya mempunyai anak ramai.
''Katanya, walaupun bekas isterinya sebaya usianya, tetapi kurang mengalaman mengurus anak, sebab itu jodohnya tak panjang. Namun dia berusaha keras untuk mempertahankan dengan pelbagai cara, tetapi usahanya gagal.
''Setelah berfikir panjang dan mungkin juga kerana rasa simpati yang tebal dan melihatkan perubahan hidupnya yang tidak keharuan, maka saya terima lamarannya. Niat saya ketika itu ingin membantunya di tambah pula waktu itu saya tinggal di rumah sendirian.
''Mungkin juga ketika itu sudah menjadi tentuan Allah juga maka saya ditakdirkan menjadi isterinya dan ibu tiri kepada empat orang anaknya. Selepas berkahwin Hazrami dan empat orang anak-anaknya berpindah masuk ke rumah saya.
''Pada awalnya memang anak lelaki saya menentang keras perkahwinan saya. Dia mendakwa hidup saya akan lebih susah lagi berbanding ketika saya jadi ibu tunggal. Katanya dah senang hidup sendirian, mengapa mesti menanggung keluarga baru yang akan lebih menyusahkan.
''Tetapi saya berjaya pujuk dia perlahan-lahan, dan Hazrami dengan kelebihannya sebagai ayah yang bertanggungjawab, dia cepat dapat menarik perhatian dan mendekatkan diri dengan anak saya. Hasilnya beberapa bulan kemudian saya lihat anak saya sudah mesra dengan Hazrami. Harapan saya kami boleh hidup bahagia dalam sebuah keluarga besar nanti.
''Nak jadikan cerita selepas beberapa bulan berkahwin, bekas isteri pertamanya mula jalankan jarumnya mengganggu rumah tangga kami. Semuanya bermula bila semua anak-anaknya berhari raya di rumah saya. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya dan suami kerana marahkan anaknya tidak berhari raya di rumahnya.
''Sebenarnya saya tak pernah paksa Hazrami supaya menyuruh anak-anaknya beraya di rumah saya, mereka dah besar, mereka boleh buat pilihan sendiri. Jadi mengapa salahkan saya. Nak buat macam mana kalau mereka lebih selesa tinggal di rumah saya.
''Walaupun gaji saya lebih besar daripada Hazrami, tetapi saya redha. Saya hanya inginkan kebahagiaan untuk saya dan anak saya. Saya tidak mengaku yang saya baik, tetapi para pembaca boleh nilai sendiri mengapa anak-anak tiri saya lebih rapat dengan saya berbanding ibu mereka sendiri. Mereka dah besar dah boleh berfikir tak perlu dihasut dan difitnah.
''Mereka tahu duduk di mana lebih selesa, dan di mana pulak tidak, saya tak memuji diri, tetapi anak-anak tiri saya lebih selesa duduk di rumah saya daripada duduk di rumah ibu mereka sendiri. Hei! hati budak-budak tak boleh paksa tau!
''Walau bagaimana pun, sebagai orang Islam saya rasa bertanggungjawab sebab itu saya nasihatkan mereka pergi ke rumah ibu mereka sendiri, saya rasa itu tugas saya untuk menyatukan anak-anak dengan ibunya. Saya tak pernah menghasut mereka membenci ibunya sendiri, sebaliknya saya galakkan mereka menyayangi ibu mereka.
''Walaupun hati saya sakit dengan perbuatan ibu mereka, namun saya gembira dan bahagia kerana setiap kali hari ulangtahun perkahwinan, hari lahir saya, hari ibu dan hari guru, mereka selalu mengirim ucapan kepada saya. Pada saya, itu sudah cukup untuk membuat saya rasa bahagia. Apa lagi mempunyai seorang suami yang baik, penyabar dan bertanggung jawab.
''Kepada kedua-dua bekas isteri suami saya cukup-cukuplah menyakiti hati suami saya. Ingatlah pembalasan Allah kerana anda berdua pernah menjadi isteri yang derhaka. Bertaubatlah, semoga Allah mengampunkan anda.
''Kepada anak-anak, walau sejahat manapun ibu kita, dia tetap ibu dunia dan akhirat, janganlah menderhaka kepada mereka. Jaga hati ibu dan juga ayah. Allah bersama orang yang benar. Kepada bekas suami saya, ingatlah anda masih ada anak, kalau mampu kirimlah nafkah.'' Demikian cerita Khuzaimah dari pengalamannya sebagai ibu tunggal dan ibu tiri yang disayangi oleh anak-anak tirinya.
Memang benar tak ada gunanya jadi ibu tiri jahat, kalau berbuat baik, banyak faedahnya manalah tahu bila sakit pening semasa tua nanti ramai anak-anak datang membantu dan menziarah. Budi baik tidak akan dibalas jahat. Kalau tidak semua, salah seorang anak tiri tetap akan sayangkan anda juga. Kerana mereka tahu membuat penilaian.

Wednesday, June 10, 2009

Antara rempit dan ragut

Ramai yang menyalahkan mat rempit apabila meningkatnya kes ragut di jalan raya. Walaupun mat rempit dan peragut adalah dua identiti berbeza, yang pasti jalan penyelesaian perlu diusahakan untuk mengurangkan kegiatan mereka.


JENAYAH ragut semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga mengorbankan nyawa.


"BUKAN semua mat rempit itu penjenayah atau peragut. Macam saya... saya hanya berlumba di jalanan. Kami bukan berlumba untuk jadi peragut, tetapi saya tak nafikan ada segelintir mat rempit yang jadi peragut."

Itu kata-kata seorang bekas mat rempit, Syairul Azahar Alias, 24.

Menurut juruteknik di sebuah syarikat jualan automotif itu, walaupun masyarakat sering mengaitkan kumpulan mat rempit dengan pelbagai jenayah, tetapi tidak semua mereka cenderung melakukan jenayah.

Tanggungjawab ibu bapa

Sejak era 80-an lagi golongan yang dikenali sebagai 'mat motor' ini mula dikenali ramai melalui beberapa filem tempatan seperti Ali Setan, Gila-Gila Remaja, Litar Kasih, KL Menjerit, Remp-it dan terbaru, Bohsia yang banyak mengetengahkan tentang golongan samseng jalanan bermotosikal.

Menurut kajian sebuah badan institusi kekeluargaan, budaya mat rempit ini berpunca daripada kurangnya didikan dan perhatian keluarga menyebabkan golongan muda seawal usia 13 tahun mudah terdorong untuk melakukan gejala negatif terbabit.

Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan dan didikan tetapi malangnya sesetengah ibu bapa seakan-akan kurang memberi perhatian terhadap anak-anak.

Ini diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.

"Golongan ini diberi kebebasan begitu ketara sampaikan ibu bapa tidak mengambil tahu tentang aktiviti harian anak-anak mereka," katanya.

Mohd Bakri menambah bermula dari situ, anak-anak remaja ini akan mula mencari rakan-rakan sebaya untuk berkongsi masalah selain melakukan aktiviti bersama-sama bagi mencari keseronokan.

Katanya, mat rempit juga sanggup mengadaikan nyawa demi mendapatkan penghormatan dan ganjaran seperti wang dan perempuan.

"Mereka ini merempit bagi mendapatkan kepuasan diri di samping habuan serta wang pertaruhan untuk mereka membuat pengubahsuaian motosikal dan ada sesetengahnya untuk membeli dadah. Keadaan ini menyebabkan mereka cenderung untuk melakukan jenayah termasuk ragut," katanya.

Tidak semuanya peragut

Bagaimanapun, katanya, tidak semua peragut itu terdiri daripada mat rempit, ini kerana kajian yang dilakukan menunjukkan peragut terdiri daripada mereka yang berumur antara 16 hingga 40 tahun.


RAMAI mat rempit tidak serik walaupun pernah terlibat dalam kemalangan atau ditangkap polis.


Mat rempit pula terdiri daripada mereka yang berumur 13 hingga 25 tahun berdasarkan tangkapan yang dibuat dalam operasi cegah lumba haram.

Mohd. Bakri berkata, jenayah ragut di negara ini masih di peringkat terkawal dan pihaknya sedang mengkaji kaitan jenayah ragut dengan kelembapan ekonomi sekarang.

"Kita tidak nafikan kekurangan pekerjaan di peringkat pasaran sekarang boleh memberi impak kepada perilaku jenayah di negara ini," katanya.

"Banyak saranan dibuat kepada agensi-agensi berkaitan termasuk membuat kajian untuk menyekat penunggang motosikal memasuki kawasan tumpuan pelancong seperti di Bukit Bintang," katanya.

Beliau menjelaskan cadangan itu bagaimanapun perlu diteliti kerana ia akan memberi kesan kepada penunggang motosikal yang menjadikan kenderaan itu sebagai jalan alternatif kesesakan lalu lintas.

Dalam usaha mencegah berlakunya kes ragut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata, beberapa kajian sedang dijalankan.

Ini berhubung dengan cadangan membina jejambat pejalan kaki di sekitar kawasan tumpuan pelancong di samping mengehadkan laluan masuk motosikal ke pusat tumpuan pelancong.

Beliau berkata, usaha menanam pokok sebagai penghadang laluan motosikal sudah dilaksanakan di beberapa laluan di pusat bandar. Langkah itu juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain jika ia didapati berkesan.

"Penanaman pokok renek dapat menghadang motosikal daripada masuk ke laluan pejalan kaki, dan secara tidak langsung dapat mengelak jenayah ragut daripada berlaku," katanya.

Hukuman khidmat sosial

Dalam pada itu, Mohd. Bakri turut mencadangkan agar hukuman khidmat sosial kepada penjenayah ragut dibuat bukan sahaja untuk memalukan pesalah tetapi bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

"Kita menyarankan agar pesalah ragut ini diberi tugas untuk melakukan kerja sosial seperti menyapu jalan selama 8 hingga 12 jam sehari di kawasan yang mereka lakukan jenayah ragut," katanya.

Pesalah ragut juga perlu dipakaikan poster di badan atau memakai baju T yang tertulis 'Saya Pesalah Ragut'.

Mohd. Bakri, berkata bagaimanapun hukuman itu perlu diteliti dan dikaji kesesuaianya di negara ini sebelum dapat dilaksanakan. - Bernama

Alasan berbohong





Umumnya, wanita berbohong bukannya disebabkan mereka tiada arah tuju atau cuba mencipta sesuatu perkara yang tidak masuk fikiran. Terdapat beberapa alasan yang mendorong mereka melakukan hal ini.
1. Balas dendam
Sekiranya kamu berani mengkhianati cintanya, dia juga akan berani membalasnya. Bahkan, dia lebih hebat daripada kamu. Walaupun tindakannya itu telah diketahui, mungkin dia sengaja melakukan sedemikian. Ramai wanita mempunyai cara tersendiri saat menghadapi situasi pembohongan yang dilakukan kekasihnya. Malah, dia juga berani melakukannya dengan secara tersembunyi, tanpa pengetahuan kamu.
2. Urutan kasih
Wanita sememangnya menginginkan dirinya dicintai dan dihargai. Apatah lagi, mengharapkan sebuah percintaan yang tiada titik noktahnya. Lebih-lebih lagi daripada insan tersayang. Mereka ingin menjadi wanita pertama di dalam hidup kamu dan bukannya, berada di tangga kedua atau berikutnya. Sekali kamu menduakan cintanya, dia akan berkali-kali mengkhianati hidup kamu.
3. Kekerasan
Kini, ramai wanita semakin sedar tentang pentingnya penghargaan yang patut diterimanya. Salah satunya ialah bersikap tegas ketika pasangannya melakukan kekerasan (umumnya secara fizikal) kepadanya. Mungkin pada awalnya dia akan cuba bertahan, tetapi apabila kamu kembali mengulangi tindakan tersebut, mereka akan meninggalkan kamu tanpa sebaris nota. Mereka yakin, masih ramai lelaki di luar sana yang dapat menghargai dirinya yang jauh lebih baik daripada kamu.
4. Hambar
Wanita begitu gemar hal-hal yang remeh atau kecil. Misalnya, hari ulang tahunnya, hari jadi kamu berdua atau hal-hal istimewa lainnya. Hati-hati bila kamu menganggap semua ini sebagai hal yang remeh. Apatah lagi apabila selama ini, si dia selalu mengurus hal yang melibatkan pengorbanan demi kekasihnya.
Sekiranya, kamu tidak pernah sesekali menghargai apa yang dia lakukan untuk kamu dan mengabaikan hal-hal yang dianggapnya penting, bersiap sedialah menghadapi pertengkaran yang hebat.
5. Seks
Meskipun kamu tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap si dia, ketidakpuasan dalam urusan seks mampu memberi kesan yang mendalam terhadap perhubungan. Ingat, akibat kurangnya layanan seks, ia akan mendatangkan kesan bahaya dalam perkahwinan. Oleh itu, segeralah mencari jalan penyelesaiannya.
BIASANYA wanita akan mencari jalan penyelesaiannya sendiri apabila berhadapan dengan masalah cinta. - Gambar hiasan
6. Cadangan
Saat putus cinta, biasanya kaum wanita lebih cepat 'menderita' ketika menghadapi hari-hari mendatang sebelum mampu bangkit semula untuk hidup gembira.
Ini kerana, sewaktu dia mendapat petunjuk bahawa perhubungan itu tidak dapat dipertahankan lagi, mungkin dia akan mencari pengganti kamu. Jadi, sekiranya kamu benar-benar mencintainya, perbaikilah hubungan kamu dengannya segera.
7. Jejaka bermasalah
Maksudnya, terdapat banyak perkara di sekeliling kamu yang membuatkan pasangan merasakan kamu tidak diperlukan lagi. Sebabnya, selain menjalani hubungan cinta yang sudah tentunya tidak lepas daripada kekangan masalah, kamu juga harus menangani karakter kekasih yang semakin berani. Ingat, dia bersikap sedemikian disebabkan kamu yang memulakannya dahulu.
8. Hubungan tiada kesudahan
Kebiasaannya, saat menjalani hubungan dengan pasangan, wanita menginginkan adanya hubungan yang penuh komitmen, iaitu hubungan yang diakhiri dengan keputusan membanggakan.
Apabila sudah lama menjalin hubungan cinta, tetapi tiada keputusan untuk ke jinjang pelamin, wanita akan berfikir bahawa kamu tidak lagi menginginkan dia dalam hidupnya. Jadi, buat apa menunggu kamu dengan lebih lama?
9. Bosan
Hal ini muncul disebabkan dia terperangkap dalam rutin hariannya sama ada kerja rumah mahupun hubungan yang dijalinkan itu begitu membosankan.
Baginya, jika kamu tidak memberinya perhatian yang diharapkan dan waktu kamu pula lebih banyak dihabiskan untuk urusan lain, biasanya wanita akan mencari jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Perlu diingatkan bahawa wanita gemarkan suatu kejutan dan selalu ingin dirinya lebih istimewa.
10. Hubungan tidak diduga
Pada awalnya, dia berasa terlalu selesa saat menjalin hubungan dengan kamu. Tetapi ternyata, dia tidak menikmati kehangatan bersama dan terasa begitu terikat dengan kamu. Tidak hairanlah apabila kamu masih cuba membawanya ke sana dan ke sini, dia mula bersikap dingin kerana sudah menyerahkan seluruh perasaannya kepada insan lain.

Monday, June 8, 2009

Nabi Nuh cipta kapal pertama





NABI Nuh ialah seorang nabi yang penyabar dan beriman kepada Allah. Nabi Nuh tidak putus-putus menyeru kaumnya supaya menyembah Allah Yang Esa. Pada mulanya, Nabi Nuh hanya menyebarkan agama Islam secara sembunyi namun setelah diperintahkan oleh Allah, Nabi Nuh pun menyebarkan agama Islam secara terbuka.
Setelah beratus-ratus tahun menyeru kaumnya ke jalan Allah, hanya sedikit sahaja yang percaya kepada ajaran Nabi Nuh. Ramai yang mengejek Nabi Nuh. Mereka menuduh Nabi Nuh gila.
Kaum itu juga cuba mencederakan Nabi Nuh. Apabila Nabi Nuh menyeru supaya menyembah Allah, mereka akan menyumbat telinga dengan jari. Mereka tidak mahu mendengar kata-kata Nabi Nuh itu. Mereka terus menyembah berhala yang dicipta oleh mereka sendiri.
Nabi Nuh berasa kecewa dengan sikap kaumnya itu. Sudah beratus-ratus tahun baginda cuba mengajak mereka untuk menyembah Allah, namun mereka tetap ingkar.
Oleh kerana terlalu kecewa, baginda pun mengadu kepada Allah: "Ya Tuhanku, Janganlah kau biarkan orang-orang kafir ini tinggal di atas muka bumi Engkau. Jika tidak, nescaya mereka akan menghancurkan anak-anak mereka. Mereka akan menyuruh anak-anak mereka melakukan maksiat".
Allah mendengar doa Nabi Nuh. Lalu Allah memerintahkan Nabi Nuh supaya membuat sebuah kapal.
Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya mula menjalankan perintah Allah itu.
Walaupun diejek dan diketawakan, baginda tetap sabar. Orang-orang kafir tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh Nabi Nuh dan pengikutnya itu. Mereka berasa hairan.
Ketika itu, tiada seorangpun pernah melihat kapal kerana tidak ada manusia yang pernah menciptakannya. Nabi Nuh menjadi manusia pertama yang membuat kapal.
Nabi Nuh menanam beberapa batang pokok dan menunggu sehingga pokok-pokok itu besar. Selepas beberapa tahun, pokok-pokok itu pun besar. Lalu, pokok-pokok itu ditebang untuk dijadikan papan.
Baginda menggunakan papan yang dihasilkan itu untuk membina kapal. Baginda juga menggunakan paku untuk membina kapal yang besar dan kukuh.
Nabi Nuh mengambil masa bertahun-tahun untuk membuat kapal itu. Dalam tempoh berkenaan, pelbagai cemuhan dan ejekan yang diterima oleh Nabi Nuh daripada kaumnya.
Walau bagaimanapun, baginda tetap bersabar dan meneruskan kerja-kerja pembinaan kapal tersebut. Setelah kapal itu siap dibina, Allah telah memerintahkan kepada Nabi Nuh untuk membawa masuk para pengikutnya, semua jenis haiwan secara berpasangan dan juga pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan.
Kapal yang dibina oleh Nabi Nuh mempunyai tiga tingkat. Pada bahagian bawah, dimuatkan binatang dengan setiap jenis mempunyai satu pasangan. Pada tingkat dua ditempatkan manusia sementara pada tingkat paling atas pula ditempatkan pelbagai jenis burung.
Nabi Nuh dan para pengikutnya diperintahkan oleh Allah membuat persediaan untuk belayar. Mereka menunggu tanda-tanda yang diberikan oleh Allah. Menurut sesetengah pendapat, terdapat 80 orang pengikut Nabi Nuh iaitu terdiri daripada lelaki dan pasangan masing-masing yang kesemuanya berjumlah 160 orang.
Isteri Nabi Nuh dan seorang anak Nabi Nuh yang bernam Yaam, tidak termasuk dalam senarai penumpang kapal. Kedua-dua mereka telah menentang ajaran Nabi Nuh dan termasuk dalam golongan yang ingkar.

Khadijah paling dikasihi Nabi



Susunan SITI AINIZA KAMSARI
ADA yang meminta supaya kita mengenali lebih jauh akan Saidatina Siti Khadijah al Kubra dari sudut kehebatan beliau sebagai ahli perniagaan yang berjaya.
Ramai yang ingin mengetahui mengenai kepintaran dan kemahiran beliau dalam selok belok dan liku-liku perniagaan yang menjanjikan satu dunia yang penuh dengan tipu daya muslihat dan cabaran-cabaran yang tidak terduga. Apa tah lagi di zaman Arab Jahiliah, apabila segala peraturan, norma dan etika perniagaan tidak ada tempatnya di zaman itu.
Untuk tujuan ini mungkin kita perlu mengetahuinya dengan membaca buku terbitan PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. bertajuk Rahsia Bisnes Isteri Nabi: Khadijah (2008) yang ditulis oleh Ashadi Zain yang menyingkap lebih jauh dan mendalam mengenai rahsia perniagaan Siti Khadijah.
Antara lain dalam buku itu dijelaskan mengenai:
*Apakah faktor business matching atau pemadanan perniagaan dalam menentukan kejayaan Siti Khadijah,
*Bagaimanakah pelaksanaan mudharabah antara Siti Khadijah dan Nabi Muhammad,
*Bagaimanakah perbezaan atau differentiation berlaku dalam perniagaan Siti Khadijah.
Siti Khadijah wajar sekali dijadikan ikon atau idola untuk seseorang itu berjaya dalam perniagaan. Ini kerana sekalipun sebagai wanita, bukan penghalangnya!
Namun tidak kurang yang bertanya lebih lanjut persoalan bahawa dikatakan Siti Khadijah hanya secara simbolik sahaja memecahkan tradisi, iaitu buat pertama kalinya, pihak perempuan yang meminang pihak lelaki.
Namun pada hakikatnya, tindakannya meminta bantuan rakannya, Nafsiah untuk menemui Nabi Muhammad itu tidak lebih untuk meminta baginda kemudiannya meminang Siti Khadijah setelah hajat sahabatnya itu dapat diterima oleh baginda.
Dalam hal ini, tidak perlu dijadikan polemik, malah pada sesetengah riwayat diceritakan bagaimana Nabi Muhammad terus meminta bantuan bapa saudaranya, Abu Talib untuk masuk meminang Siti Khadijah setelah tahu mengenai hasrat wanita itu.
"Kita pergi meminang Khadijah melalui bapa saudaranya kerana tuan punya badan sudah jatuh hati kepada kamu," cadang Abu Talib sejurus mendengar permintaan anak saudaranya itu.
"Saya setuju dengan cadangan itu," sokong Hamzah, seorang lagi bapa saudara Nabi Muhamad yang kebetulan ada bersama.
Rombongan dari pihak lelaki yang terdiri dari Abu Talib, Hamzah dan Nabi Muhammad sendiri kemudiannya segera menuju ke rumah keluarga Siti Khadijah bagi meminang wanita bangsawan dan sangat terkenal di kalangan bangsa Arab ketika itu.
Kedatangan mereka disambut baik oleh pihak keluarga Khadijah dan pinangan diterima dengan gembira oleh kedua-dua belah pihak.
Dalam majlis perkahwinan yang berlangsung antara Nabi Muhammad dan Siti Khadijah itu, maka sekelian yang hadir terpegun dengan ucapan yang dibuat oleh Abu Talib sempena merestui perkahwinan anak saudaranya itu.
Abdullah Khanizi dalam buku Abu Talib Mukmin Quraisy (Darul Fikir, 2004) menukilkan kata-kata Abu Talib iaitu: "Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita termasuk dalam keturunan Ibrahim dan anak cucu Ismail (Nabi), ras dan bangsa Mudhar yang menjadikan kita pemelihara rumah-Nya dan mengelola Haram-Nya maka rumah Allah itu terjaga dan Haram yang terpelihara dan menjadikan kita juga pemimpin manusia.
"Kemudian anak saudaraku ini, Muhammad bin Abdullah tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana lelaki di muka bumi ini melainkan dia seorang yang unggul, baik dalam kemuliaan, keutamaan, keistimewaan dan kecerdasan.
"Dia memang seorang yang miskin, memiliki hanya sedikit harta tetapi harta merupakan naungan yang cepat hilang, perkara yang mudah sirna dan pinjaman yang pasti diambil kembali.
"Muhammad adalah yang kalian kenal, dia melamar Siti Khadijah binti Khuwailid dan menyerahkan untuknya dunia dan akhiratnya. Demi Allah selepas ini, dia akan mendapat berita besar, sesuatu yang sangat penting dan agung".
Kata-kata Abu Talib itu disambut baik oleh semua yang hadir terutama bapa saudara Siti Khadijah sendiri, Waraqah yang bangun sambil berkata: "Tidak ada orang Quraisy yang membantah kelebihan-kelebihan kamu wahai Abu Talib. Kami sangat ingin memegang tali kebangsawanan anda".
Perkahwinan baginda pada usia 25 tahun dan isterinya, Siti Khadijah yang dikatakan berusia 40 tahun ketika itu jangan dilihat sebagai satu hubungan yang diikat atas nama tali perkahwinan.
Namun tidak lebih, bermulanya satu episod kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara dua insan, Nabi Muhammad terhadap isterinya itu.
Dengan faktor berbeza atau jarak usia sebagai penghalangnya. Jika tidak kerana baginda masih tercari-cari akan soal ketuhanan yang namun cinta baginda terhadap Siti Khadijah adalah mengatasi segala-galanya ketika itu.
Kasih sayang berasaskan kepada keikhlasan dan kejujuran baginda menerima Siti Khadijah itu telah diketahui umum menyebabkan Siti Aishah, yang dikahwini baginda selepas kematian Siti Khadijah berasa cemburu yang amat sangat.
Ini diluahkan sendiri oleh Siti Aishah: "Saya selalu menyesal kerana tidak sempat melihat dan berada semasa Khadijah masih hidup! Saya sungguh kesal. Ini kerana saya begitu kagum dan takjub terhadap mahabbah (kasih sayang) dan agungnya cinta yang ditunjukkan oleh Nabi terhadap Khadijah itu!
"Nabi terlalu menyayangi wanita itu dan selalu terkenang Khadijah lebih dari sesiapa pun di muka bumi ini.
"Jika baginda menyembelih domba, baginda akan mencari sahabat-sahabat Khadijah untuk dibahagi-bahagikan daging domba itu sehinggalah ke satu peringkat, ketika hendak keluar dari rumah, Nabi akan teringat kepada Khadijah lalu terus mendoakan isterinya itu sambil air mata kelihatan bercucuran.
"Ini menyebabkan saya sendiri sebagai isteri tidak mampu menahan cemburu malah menjadi semakin meluap-luap dan terus berkata kepada Rasulullah: "Khadijah tidak lebih dari sekadar seorang perempuan tua. Kini Allah telah memberikan kamu (Aishah sebagai isteri) yang lebih daripadanya, iaitu seorang yang lebih jelita, pintar dan cergas".
Akibatnya, kita semua tahu sendiri bagaimana marahnya baginda terhadap kata-kata Siti Aishah itu!
Walaupun ramai yang menyifatkan perkahwinan baginda dengan wanita ternama ini sekali gus menaikkan lagi nama dan kemuliaan Nabi Muhammad di kalangan Arab Quraisy di samping baginda berkongsi kekayaan yang dimiliki oleh wanita itu.
Namun jelas sekali, ia sebuah perkahwinan yang sangat luhur kerana sehinggalah Khadijah meninggal dunia, baginda tidak pernah berkahwin dengan mana-mana wanita yang lain!
Ini kerana pasti kecantikan Siti Khadijah semakin luntur ditelan masa namun semua itu tidak mengalihkan pandangan baginda kepada mana-mana perempuan yang lain!
'Wanita Pertama Islam' atau Ummul Mukminin Siti Khadijah ini wajar sekali dijadikan ikon atau idola terutama untuk wanita-wanita Islam moden di zaman ini. Iaitu zaman di mana ramai kalangan wanita turut menceburi dalam bidang perniagaan dan dalam masa yang sama mereka juga ingin berjaya dalam hubungan suami isteri dan kekeluargaan.
Ketokohan Siti Khadijah adalah tidak syak lagi di sebalik nama Pasar Besar Siti Khadijah, yang begitu terkenal di Kota Bharu Kelantan pada hari ini.
Dari nama asalnya Pasar Besar Buluh Kubu yang kemudiannya ditukarkan pada tahun 1990 kepada sempena isteri Nabi Muhammad itu. Ini jelas sekali tidak sahaja sebagai satu penghormatan yang tinggi kepada wanita ini atau kebanyakan yang berniaga di situ terdiri kalangan wanita-wanita Kelantan.
Namun nama Siti Khadijah perlu menjadi satu institusi besar dalam melahirkan wanita-wanita yang berkaliber malah berjaya di dunia dan di akhirat kelak.
Mungkin kelebihan Siti Khadijah, beliau dapat berkahwin dengan seorang Nabi atau Rasul namun dari pelbagai aspek yang lain, banyak yang boleh dicontohi dari wanita ini!
Sehinggalah mereka mengenali Siti Khadijah wanita-wanita Islam hari ini tidak lagi wajar mengadu mereka tidak mempunyai sesiapa untuk diteladani!