Sunday, July 11, 2010

Rentetan Peristiwa Israk Mikraj

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a. s. menerima wahyu daripada Allah
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyithoh (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali ipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-ali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka ntuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

-Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

i. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

ii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
iv. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vi. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

vii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

viii. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

ix. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1). wallahua'lam..

Wednesday, May 12, 2010

Israk dan Mikraj bukti kebesaran Allah

DAHULUNYA dikatakan Rasulullah menambat buraq di tembok buraq ini semasa Israk dan Mikraj. Kini ia dikuasai oleh Yahudi dan dikenali OLEH Yahudi dan DIKENALI sebagai tembok menangis tempat untuk mereka beribadat terutama memohon ampun dari tuhan.

Sungguh sedih, kecewa dan hampa apabila ada di kalangan umat Islam sendiri tidak mempercayai paling bersejarah dalam Islam, iaitu Israk dan Mikraj.

Seperti yang tersiar di Utusan Malaysia Khamis lalu, satu laporan telah dibuat, yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengguna laman sosial, Facebook yang mempersendakan peristiwa itu.

Mereka yang tidak mempercayai peristiwa itu sama dengan golongan kafir Quraisy yang tidak menerima kebenaran peristiwa tersebut.

Ketika Rasulullah SAW bercerita kepada mereka mengenai peristiwa yang baru ditempuhi itu, tidak ada kalangan kafir Quraisy mahu mempercayainya. Malah baginda terus diejek sebagai orang gila dan sebagainya.

Berbeza pendirian yang ditunjukkan oleh sahabat baik baginda iaitu Abu Bakar selepas mendengarkan sendiri dari Rasulullah mengenai peristiwa perjalanan malam tersebut.

Beliau berkata; "Engkau benar! Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasul utusan Allah."

Sejak itulah Abu Bakar mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud; yang membenarkan. Langsung tidak ada sebarang rasa ragu beliau terhadap Rasulullah.

Apabila ditanya oleh kaum kafir Quraisy bagaimana Abu Bakar boleh mempercayai peristiwa yang dialami oleh Rasulullah itu sedangkan mereka yang selalu ke Palestin memerlukan masa dua bulan untuk perjalanan pergi dan balik ke sana, Abu Bakar berkata: "Aku mengakui kebenaran Muhmmad pada perkara yang jauh lebih besar daripada itu (Israk dan Mikraj).

"Aku beriman kepada Muhammad mengenai wahyu yang turun dari langit dalam masa sekelip mata sahaja.

"Kalau itupun aku percaya, kenapa pula aku tidak percaya Muhammad boleh pergi Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja?"

Begitupun baginda memahami kesukaran mana-mana pihak memahami dan mempercayai secara tuntas mengenai peristiwa yang baginda alami itu.

Lalu baginda menerangkan dan menceritakan kepada mereka mengenai keadaan di Palestin (Baitul Maqdis) iaitu terutama Masjid Al Aqsa termasuklah struktur binaan, tiang, tingkap dan sebagainya dan kawasan sekitarnya.

Baginda juga memberitahu mengenai sebuah rombongan dagang yang dipintas oleh baginda ketika dalam perjalanan pulang ke Mekah selepas turun dari Sidratul Muntaha.

Rombongan dagang itu kemudiannya membenarkan kata-kata baginda itu ekoran mereka mendengar suara dari langit yang memberitahu mengenai unta mereka yang lari kerana ketakutan ternampak buraq yang ditunggangi oleh Rasulullah.

Walaupun telah diceritakan dengan begitu jelas dengan bukti-bukti yang dibawa oleh Rasulullah namun golongan kafir Quraisy tetap berdegil dan langsung tidak mahu mempercayai baginda apatah lagi untuk beriman terhadap Allah, tuhan yang Esa.

Hal ini sememangnya menguji keimanan seseorang. Pelbagai persoalan tidak dapat dielakkan timbul mengenai kebenaran kejadian Israk dan Mikraj itu.

Perkataan Israk berasal dari kata asas saraa yang bererti berjalan. Ia merujuk perjalanan di muka bumi pada waktu malam oleh Nabi Muhammad dengan roh dan jasad (bukannya mimpi) dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.

Seterusnya menyaksikan baginda yang ditemani oleh malaikat Jibrail (dalam bentuk manusia) naik ke langit dari Masjid Al Aqsa itu. Dari situ baginda juga singgah ke Baitul Makmur dan kemudiaannya ke Sidratul Muntaha, dekat kursi Allah SWT dan kemudian turun semula ke bumi dengan menaiki semula kenderaannya iaitu Buraq.

Kesemua perjalanan itu seperti yang kita ketahui mengandungi pelbagai peristiwa terutama detik bermulanya umat Islam disyariatkan mendirikan solat.

Allah memperlihatkan

Justeru, segala peristiwa ini merupakan kejadian yang menjadi hak mutlak kepada Allah untuk mengadakannya, iaitu dengan segala ilmu dan kekuasaan milik-Nya.

Secara bijaksana Allah memperlihatkan kekuasaan mutlak milik-Nya itu dengan awalan kalimat Subhanal-ladzii (Maha Suci Allah) iaitu dalam ayat surah al-Israk ayat 1 yang menjadi dalil naqli bagi mengesahkan kebenaran mengenai kejadian yang besar itu.

Firman Allah, Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Oleh kerana kedua-dua peristiwa iaitu Israk dan Mikraj itu sangat menakjubkan setiap umat Islam pasti menyebut subhanallah berulang kali kerana yakin dengan bentuk mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda SAW.

Ia memerlukan satu bentuk keimanan yang sangat tinggi sehingga ada yang menyebutnya sebagai haqqul yaqin (keyakinan atas kemutlakan Allah Yang Maha Berkuasa) bagi sesiapa yang dapat mempercayai kedua-dua kejadian ini di saat ada yang mendakwa kononnya kisah Israk dan Mikraj adalah salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat atau hadis-hadis yang bersifat mauduk dan sebagainya.

Apatah lagi apabila disebutkan Rasulullah menaiki buraq, iaitu berasal dari perkataan barq bererti kilat. Jadi adakah kelajuan yang dicapai oleh buraq itu menyamai lajunya kilat? Iaitu sebahagian dari fenomena alam yang dari aspek sainsnya merupakan satu gelombang elektromagnet dengan kadar kelajuan maksimumnya adalah seperti kelajuan cahaya.

Jika kita membacanya di mana-mana pelbagai kisah diceritakan mengenai buraq. Malah terdapat juga gambaran-gambaran lukisan mengenainya.

Sama ada mempunyai sumber yang sahih mahupun tidak, tetapi buraq berasal daripada cahaya bagi membolehkan ia bergerak melebihi kepantasan cahaya. Iaitu 'sekelip mata' pantasnya.

Namun, kita percaya soal buraq ini seadanya tanpa perlu berlebih-lebihan kerana yang pasti tanpa menaiki kenderaan ini tidak mungkin baginda Rasulullah mampu melalui satu perjalanan yang jauh dan kembali semula ke Mekah dalam tempoh hanya sebahagian malam.

Ia berlaku pada malam 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah, tahun ke-11 Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul.

Allah kurniakan kepada Nabi Muhamad akan kejadian yang begitu besar maknanya ini sebagai memujuk kembali hati Rasulullah yang begitu berduka ekoran pelbagai musibah berturut-turut menimpa baginda, iaitu:

lPeristiwa diboikot dan dipulau oleh kaum kafir Quraisy selama tiga tahun yang menyebabkan seluruh kaum keluarga dan pengikut baginda teruk menderita.

l Kehilangan dua insan tersayang, iaitu kewafatan bapa saudara baginda, Abu Talib bin Mutalib yang banyak melindungi baginda dari gangguan kaum kuffar Mekah dan disusuli kewafatan isteri kesayangan, Siti Khadijah yang terlalu banyak berkorban.

l Apabila dakwah baginda ditolak mentah-mentah malah baginda diserang sehingga mengalami cedera ketika baginda mula untuk berdakwah di luar di lingkungan kota Mekah, iaitu apabila baginda pergi ke Taif.

Umat Islam yang tidak mempercayai peristiwa ini bukan berdasarkan kejahilan tetapi kerana sikap sombong mereka terhadap kemuliaan Al Quran.

Jangan sayang ibu bapa bermusim

Apakah boleh kita menyambut Hari Ibu?

ZAHAZAN:



Pada umumnya, Islam mengharuskan kita menyambut Hari Ibu atau Hari Bapa. Cuma ia mesti mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.

Maknanya, antara lain sambutan itu tidak boleh dicemari dengan percampuran bebas lelaki perempuan yang bukan mahram, disajikan minuman keras dan sebagainya.

Sebabnya dalam Islam, seorang anak itu wajib mengasihi ibu dan bapanya sepanjang masa atau istiqamah. Bukan hanya pada hari tertentu sahaja kita kasih dan sayang pada ibu.

Masyarakat Barat yang merencanakan sambutan ini kerana untuk mengimbangi kesibukan mereka lalu diadakan satu hari khusus bagi menyatakan kasih sayang kepada ibu dan bapa.

Ulama menyebut bahawa berbuat baik kepada ibu bapa itu dituntut sebagai mana kita solat fardu lima waktu sehari semalam. Maknanya, ia tidak boleh ditangguh.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa...(Luqman: 14)

Bahkan, jika ditakdirkan ibu kita bukan Muslim pun, sebagai anak kita masih wajib berbuat baik kepada mereka melainkan jika kita disuruh melakukan keengkaran kepada Allah.

Ini dijelaskan daripada perkataan saahibhuma dalam ayat 15 surah Luqman. Perkataan itu berasal daripada kata saahib yang bermaksud akrab atau rapat. Apabila rapat baru kita mengerti perasaan seseorang.

Kata orang, seorang ibu boleh menjaga 12 anak tetapi 12 anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Apakah kaitan hal ini dengan keberkatan dan reda Allah kepada kita?

ZAHAZAN: Memang betul. Kadang-kadang kita perhatikan dalam satu keluarga yang ramai itu, berlaku tolak-menolak siapa yang mahu menjaga ibu bapa apabila mereka tua.

Sedangkan reda Allah kepada kita bergantung kepada redanya ibu bapa kepada kita. Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Reda Allah terletak pada reda ibu bapa, kemarahan Allah juga terletak pada kemarahan ibu bapa". (Riwayat Tirmidzi, dan disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.)

Tanpa restu atau reda ibu bapa kita tidak akan mendapat rahmat Allah. Mungkin kita diberi kekayaan, anak-anak yang pintar dan sebagainya tetapi semua itu adalah istidraj. Ini yang berlaku ke atas Firaun.

Apabila disebut Allah mengistidrajkan hambanya-Nya, ia bermaksud setiap kami hamba itu membuat atau menambah kesalahan maka setiap kali itu juga Allah menambah atau membaharui nikmat-Nya ke atas hamba tersebut membuatkan hamba itu tadi merasakan dia disayangi dan lupa memohon ampun.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT". (riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Menjaga ibu bapa lebih-lebih lagi apabila sudah lanjut usia memang banyak cabarannya. Apa iktibar untuk kita supaya tidak patah semangat dalam hal ini?

ZAHAZAN: Memang betul menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia memang banyak cabarannya. Namun, Allah telah mengingatkan kita supaya sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa waima mereka lanjut usia sekali pun.

Allah berfirman yang maksud-Nya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Israk: 23-24)

Kita bertanggungjawab berbakti kepada mereka. Tanggungjawab berbuat baik kepada mereka boleh dikatakan lebih penting daripada berjihad pada satu-satu ketika.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Seorang lelaki datang berjumpa Nabi SAW, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi SAW bertanya: "Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?" Beliau menjawab: "Ya", Baginda SAW bersabda: "Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta)". (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang maksudnya: "Celakalah bagi tiga manusia iaitu apabila Ramadan datang tetapi tidak ada keampunan bagi mereka, Aku disebut di sisinya tetapi mereka tidak mendapat syafaat dan ada ibu bapa tetapi tidak pernah mendoakan keselamatan mereka". (riwayat al-Hakim dan Ibn Hibban)

Kadang-kadang kesibukan bekerja mencari rezeki dijadikan alasan tidak menziarahi ibu bapa di kampung. Adakah ini juga termasuk dalam 'menyakiti' ibu bapa?

ZAHAZAN: Hukum dalam Islam boleh berubah mengikut keadaan. Contohnya, hukum asal bagi bagi seorang anak yang bekerja di Kuala Lumpur pulang ke kampung menziarahi ayahnya adalah harus.

Namun, apabila ayahnya menelefon menyuruh anaknya balik ke kampung dengan suara yang penuh pengharapan, maka hukum harus itu tadi kini menjadi wajib.

Dengan kata lain, anak itu tadi wajib pulang ke kampung menziarahi ibu bapa walaupun dalam kesibukan seharian. Jika tidak dapat bercuti panjang sekurang-kurangnya balik la untuk sehari dua.

Kita bimbang perbuatan yang menyakiti hati ibu bapa itu kelak menyukarkan kita mengucap kalimah tauhid apabila menghadapi sakaratul maut.

Inilah kisah yang berlaku kepada Alqamah. Beliau ialah sahabat nabi yang warak dan kuat menderma. Namun, selepas berumah tangga, beliau kurang memberi perhatian kepada ibunya kerana selalu melebihkan isteri. Keadaan itu menyebabkan ibunya berkecil hati.

Suatu hari, Alqamah jatuh sakit dan dalam keadaan nazak, beliau diajar mengucap kalimah La Ilaha Illallah, namun beliau tidak boleh mengucapkannya. Puas rakan-rakan menalkinkan kalimah tauhid itu tetapi Alqamah masih tidak mampu mengucapkannya.

Lalu, seorang sahabat menceritakan perkara itu kepada Nabi SAW. Baginda kemudian pergi ke rumah Alqamah dan menalqinkan kalimah tauhid, tetapi sayangnya, Alqamah masih tidak boleh mengucapkannya.

Nabi kemudian menanyakan adakah Alqamah ini masih mempunyai ibu kandung?" Hadirin ada yang menjawab "Masih ada". Lalu baginda meminta ibu Alqamah datang.

Kemudian nabi bertanya kepadanya tentang hal Alqamah. Dalam dialog itu ternyata si ibu tadi ada berkecil hati atas sebahagian tindakan anaknya ini pada dirinya, setelah ia berumah tangga dan sampai saat ini, beliau belum memaafkannya, meskipun Nabi sendiri telah memintanya.

Maka Nabi memerintah para sahabat mengumpulkan kayu api untuk membakar Alqamah kerana itu lebih baik sebelum dia dibakar di akhirat.

Mendengar keputusan nabi itu, ibu Alqamah tidak sanggup apabila anak kandungnya dibakar di matanya sendiri.Beliau lalu memaafkan anaknya.

Selepas itu, barulah Alqamah boleh mengucap kalimah tauhid dan meninggal dunia.

Bayangkan, jika kecil hati ibu yang sedemikian pun menyukarkan anaknya mengucap apalagi kesalahan yang lebih besar yang selalu kita lakukan kepada ibu bapa kita.

Justeru, marilah kita sama-sama berbuat baik dan berkhidmat kepada ibu bapa sementara mereka masih hidup. Jangan kita menyesal apabila mereka sudah tiada lagi di bumi ini.

Sunday, November 1, 2009

Neraka buat Abu Lahab, Ummu Jamil

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PADA suatu masa di Kota Mekah, di satu kawasan yang dikenali Shafa yang tidak berapa jauh dari Kaabah, tinggal sepasang suami isteri di sebuah rumah yang sentiasa dihias cantik dan lebih mewah berbanding jiran-jirannya yang lain.
Namun rumah pasangan ini sentiasa tertutup pintu dan tingkapnya yang memberikan gambaran penghuninya mempunyai sifat dengki, tamak haloba, sombong dan egoistik.
Pasangan suami isteri itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil.
Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza, putra tokoh Quraisy yang disegani, Abdul Mutalib yang juga saudara tokoh-tokoh yang disegani di kalangan kaum itu iaitu Abdullah, Abu Talib dan Abbas.
Akan tetapi, Abu Lahab memiliki sifat yang tidak sama dengan saudara-saudaranya itu, baik dalam hal kesopanan, keberanian mahupun yang lain. Abu Lahab (perkataan Arab yang bermakna mempunyai kulit yang putih dan cerah) mungkin kebetulan boleh disamakan dengan perkataan Melayu kita 'lahab.'
Ini kerana Abu Lahab memang terkenal sikap rakus dan tamak dalam banyak hal. Perbuatan beliau yang dianggap paling melampaui batas apabila Abu Lahab dikatakan pernah mencuri emas-emas yang terdapat di Kaabah.
Isterinya, Ummu Jamil juga seorang yang ego, suka berdengki dan pelbagai perangai buruk yang lain. Sifat-sifat buruk itu sebagai menutup kekurangan yang ada pada dirinya, iaitu sebelah daripada matanya, buta.
Cacat pada matanya itu membuatkannya selalu merasa iri kepada sesiapa sahaja.
Sehinggalah pada suatu Subuh yang hening, Ummu Jamil hampir-hampir bergaduh dengan suaminya apabila tidur mereka terganggu dek satu suara yang melaung-laung dan memanggil orang ramai untuk berkumpul.
Abu Lahab begitu memarahi isterinya kerana dia masih mahu tidur dan pening kerana mabuk.
"Celaka aku keranamu wahai perempuan jahat!" kata Abu Lahab terhadap isterinya itu.
Lalu dibalas juga oleh Ummu Jamil dengan kata-kata yang kesat. "Aku pun celaka kerana kau wahai pemalas yang suka tidur! Demi kebenaran berhala, jika kamu tidak memberitahuku (siapa yang melaung-laungkan suara itu) nescaya tidak akan ku biarkan kamu tidur dengan tenang walau sekejap!" katanya.
Akhirnya Abu Lahab bingkas bangun dan mahu menyertai perhimpunan setelah beliau dapat mengenalpasti suara yang memanggil-manggil itu iaitu tidak lain tidak bukan anak saudaranya sendiri, Nabi Muhammad.
"Pasti itu Muhammad yang memanggil kita kerana ada suatu hal yang penting," kata Abu Lahab.
"Barangkali ada harta yang akan diberi olehnya kepada kita," sampuk Ummu Jamil.
Abu Lahab pun segera menyertai anak saudaranya yang ketika itu telah berada di atas Bukit Safa dan menyeru kepada seluruh yang hadir.
"Apakah kamu akan percaya seandainya ku katakan kepadamu bahawa seekor keldai telah keluar dari kaki bukit ini?" teriak Nabi Muhammad kepada semua yang hadir.
"Kamu tidak pernah mendustai kami, kami mempercayai kamu!" ujar mereka hampir serentak.
Lalu Nabi Muhammad pun berkata; "Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan kepadamu sebelum kamu menghadapi azab yang pedih!"
Abu Lahab yang mendengar kata-kata anak saudaranya itu terus pergi meninggalkan kaki Bukit Safa itu dengan marah-marah.
Abu Lahab sangat marah lalu berteriak dengan suara yang nyaring; "Celakalah kamu untuk selama-lamanya. Hanya untuk itukah kamu kumpulkan kami di sini?".
Daripada peristiwa inilah, Allah mengutuk Abu Lahab kerana sikapnya yang degil dan begitu memusuhi Islam dengan diturunkan-NYA surah al-Masaad (Bernyala-nyala), ayat 1 hingga 5, bermaksud: Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan masuk ke dalam api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya (Ummu Jamil) seorang pemunggah kayu api. Dilehernya ada tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut.
(Sesetengah riwayat mengatakan ayat itu diturunkan sebagai mengecam tindakan Ummu Jamil yang suka menyakiti Rasulullah di kemuncak penentangan pasangan suami isteri ini terhadap baginda)
Setibanya di rumah, Abu Lahab disambut oleh isterinya yang kehairanan melihat kepulangan suaminya itu.
"Celakalah kamu wahai perempuan! Mengapa aku harus lama di sana. Kalau yang aku dapat hanyalah si Muhammad yang hendak mengajak kita semua supaya menerima ajaran baru dia itu," jawab Abu Lahab.
Mereka suami isteri semakin tidak senang duduk dengan perkembangan Islam yang semakin diterima oleh masyarakat Arab Quraisy. Mereka menjadi semakin dengki namun tahukah anda apakah faktor sebenarnya yang menjadikan mereka begitu benci kepada Islam?
Adakah semata-mata kerana menyembah berhala itu satu ajaran yang sangat mulia dan mesti dipertahankan?
Kata Abu Lahab kepada Ummu Jamil: "Kini kita perlu sedar setelah melihat kenyataan yang terjadi. Bahayanya mengenai Islam semakin diterima ramai apabila tidak akan ada lagi utusan atau orang Arab yang akan datang untuk mempersembahkan korban mereka kepada berhala-berhala kita.
"Kita tidak akan mendapat manfaat dengan seruan (Islam) Muhammad itu. Bukankah demikian wahai Ummu Jamil?" kata Abu Lahab.
Ternyata merekalah yang selama ini berkongsi hasil daripada penyembahan dan segala macam objek yang dijadikan korban kepada berhala-berhala.
Bukan kerana mempertahankan agama nenek moyang seperti yang selalu mereka laung-laungkan.
Sejak itu mereka suami isteri sentiasa berusaha untuk menyekat perkembangan Islam secara lebih serius.
Ini termasuklah Abu Lahab akan mengekori anak saudaranya yang keluar untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan kemudian akan memburuk-burukkan Nabi di hadapan orang ramai dengan pelbagai kata yang menghina dan menyakitkan hati.
Sementara apa yang dilakukan oleh Ummu Jamil adalah lebih dahsyat lagi. Setiap hari beliau akan keluar untuk mengumpulkan kayu-kayu yang tajam dan penuh duri untuk ditaburkan di hadapan rumah dan sepanjang jalan yang sering dilalui oleh Nabi Muhammad.
Dikatakan tidak ada ruang sedikit pun di permukaan jalan tersebut kecuali semua penuh dengan duri yang pelbagai bentuk yang menyebabkan tanpa baginda sedari, baginda akan terpijak dan melukakan kakinya.
Maka itulah yang dilakukan oleh Ummu Jamil setiap hari kerana dia merasakan satu kebahagiaan dan kepuasan yang luar biasa setiap kali meletakkan duri-duri itu dan menyakiti anak saudaranya itu.
Untuk bertindak lebih jahat, dia kemudiannya melaksanakan satu lagi misi terhadap Rasulullah dan kali ini melibatkan hubungan kedua-dua buah keluarga.
Ummu Jamil segera menemui anaknya, Uthbah yang mengahwini anak perempuan Rasulullah yang bernama Ruqayyah dan seorang lagi anaknya, Mukhtab yang juga berkahwin dengan seorang lagi anak perempuan baginda yang bernama Ummu Kalsum.
Benar, Abu Lahab dan isterinya itu selama ini bukan sahaja mempunyai hubungan bapa saudara dan anak saudara dengan Nabi Muhammad malah mereka sebenarnya adalah berbesan.
Dek kerana bencinya Ummu Jamil terhadap besannya itu, beliau kemudiannya memaksa anak-anak lelakinya itu supaya menceraikan isteri masing-masing. Sehingga ke tahap itu sekali sehingga sanggup memutuskan hubungan yang suci semata-mata memenuhi nafsu syaitannya itu.
Pastinya Uthbah dan Mukhtab tidak dapat memenuhi kehendak ibu mereka yang melampau itu kerana selama ini mereka tidak menghadapi sebarang masalah dan bahagia dengan pasangan hidup masing-masing.
"Baiklah, jika itu keputusan kalian ibu akan pergi Kaabah dan akan bersumpah di hadapan berhala-berhala yang ada di situ, bahawa kamu semua bukan anak ibu lagi kerana kamu telah derhaka!" ancam Ummu Jamil.
Walaupun terkejut namun demi seorang ibu, mereka terus menemui bapa mertua, Nabi Muhammad.
Lalu melafazkan di hadapan baginda; "Mulai saat ini, kami menceraikan puteri-puteri anda yang kami kahwini selama ini dan mula menentang agama yang anda cuba sebarkan demi maruah berhala-berhala yang mulia!"
Rasulullah yang terkejut dengan tindakan menantu-menantu baginda itu tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berdoa moga balasan yang setimpal ditimpakan terhadap keluarga Abu Lahab ini.
Ummu Jamil benar-benar bersorak kegembiraan atas tekanan demi tekanan yang beliau lakukan terhadap Rasulullah.
Namun semua itu masih tidak menghentikannya daripada terus menyakiti Rasulullah. Sehingga di akhir hayatnya, Ummu Jamil dalam usia lanjut akhirnya menemui ajal kerana keletihan menaburkan duri-duri di atas jalan bagi melukakan Nabi Muhammad itu.
Kisah Abu Lahab dan keluarganya ini merupakan kisah yang dikutip dari sebuah buku lama yang bertajuk Profil Di Balik Cadar - Kisah Wanita Dalam al Quran, karya Jabir Asy-syal (terbitan tahun 1986). Penulis memegang ijazah kedoktoran dalam Sastera Cum Laude dari Universiti Iskandariah Mesir, 1961
Walaupun pernah diceritakan mengenai kedua-dua mereka sebelum ini tetapi menerusi buku ini rasanya masih banyak mengenai Ummu Jamil dan Abu Lahab yang hendak dikongsi bersama.

Thursday, September 10, 2009

Hubungan 'benci tapi sayang'

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
APABILA memperkatakan perihal hubungan Malaysia-Indonesia, banyak maksud yang tersirat berbanding apa yang tersurat.
Sebab itu ramai yang merumuskan bahawa gembar-gembur berkaitan hubungan kedua- dua negara seperti yang tersurat kebelakangan ini tidak mencerminkan status sebenar jalinan silaturrahim Malaysia-Indonesia.
Hubungan unik dua negara berjiran yang berkongsi banyak persamaan itu juga disifatkan sebagai hubungan 'benci tapi sayang' (love-hate relationship). Dalam keadaan banyak pertentangan dan kekeruhan yang cuba ditimbulkan, Malaysia dan Indonesia tidak boleh berpisah.
Kedua-dua negara saling bergantung - malah ke satu peringkat lebih sejuta warga Indonesia bernaung di Malaysia, mencari rezeki atas sikap dan dasar memakmurkan jiran yang digenggam oleh kerajaan negara ini.
Kerajaan Indonesia pun mengambil sikap sedemikian. Biar pun rakyat Malaysia yang mendiami negara itu tidak sebesar angka rakyat Indonesia di sini, namun kerajaan republik itu tidak terpengaruh dengan cubaan rakyatnya untuk mencetuskan satu demi satu isu yang bersangkut dengan Malaysia.
Mereka tidak termakan dengan pelbagai cara untuk meniup api kebencian di antara penduduk kedua-dua negara. Kesemua isu yang ditimbulkan mampu dibendung biar pun ada kalanya menimbulkan sisa tidak puas hati di kalangan rakyat. Tiada provokasi di peringkat menteri-menteri di Indonesia yang cuba menyokong laungan api kebencian rakyatnya.
Barisan kepimpinan di Indonesia percaya, lontaran kemarahan rakyat negara itu bukan cerminan pendirian kerajaan. Ia sekadar luahan rasa marah kononnya kerana hak mereka disentuh oleh rakyat negara ini.
Rakyat Indonesia melahirkan rasa marah menerusi laungan "Ganyang Malaysia", membakar Jalur Gemilang, berdemonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta, membaling telur dan sebagainya.
Oleh kerana tiada layanan di peringkat kepimpinan maka luahan rasa tidak puas hati terhadap negara ini terhenti setakat itu, sehingga kelak timbul satu lagi isu yang mendorong mereka bertindak sedemikian.
Apatah lagi dalam keadaan kedua-dua negara berkenaan berkongsi induk yang sama iaitu ASEAN. Di situ termeterai persetujuan untuk mengamalkan dasar tidak campur tangan hal ehwal dalaman masing-masing.
Barisan pemimpin kedua-dua negara bersetuju hanya jika ada permintaan atau isu yang melibatkan Malaysia-Indonesia barulah mereka menyeberang sempadan.
Namun di sebalik usaha berterusan barisan kepimpinan kedua-dua negara memelihara hubungan baik, ada rasa tidak puas hati di kalangan rakyat sehingga mencalar luka hati mereka sekali gus memberi sedikit kesan kepada jalinan yang telah termeterai sejak sekian lama.
Memang benar apabila ada yang berkata, jangan dilayan desakan-desakan kumpulan kecil di Indonesia yang kononnya sedang bersiap untuk berperang dengan Malaysia.
Kata mereka, apa sangatlah angka 486 sukarelawan jika dibandingkan dengan berjuta-juta lagi penduduk Indonesia yang mungkin masih memelihara semangat setiakawan dengan rakyat negara ini.
Ada juga yang mahu supaya cubaan mengganyang Malaysia yang bermula sejak 1960-an itu dibiarkan lantaran ia cuma bertujuan meraih populariti dan menarik perhatian tentang apa sebenarnya yang dinamakan keunikan hubungan kedua-dua negara.
Persoalannya, bolehkah isu-isu kecil yang melibatkan tarian, lagu dan budaya itu dibiarkan sedemikian rupa? Bolehkah keduadua negara membiarkan dunia menyaksikan satu persatu perihal 'kegawatan' hubungan sehingga ke tahap rakyatnya menyimpan tanggapan bahawa akan berlaku peperangan semata-mata kerana isu tarian?
Mengapa ada tanggapan seburuk itu terhadap Malaysia sehingga mendorong penyelaras kempen anjuran kumpulan pemuda nasionalis Bendera, Mustar Bonaventura memberitahu media, kesemua sukarelawan itu telah menyimpan stok makanan, ubat-ubatan termasuk senjata seperti pedang samurai bagi menghadapi kemungkinan perang.
Adakah akan tercetus peperangan semata-mata kerana isu tarian pendet yang hakikatnya tidak melibatkan Malaysia dan telah diperakui oleh pihak berkenaan bahawa dokumentari itu adalah terbitan mereka selain salam kemaafan telah pun dihulurkan?
Jawapannya tentu tidak.
Tetapi membuat kesimpulan kononnya akan berlaku perang semata-mata kerana isu tarian sememangnya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja apatah lagi dalam keadaan barisan kepimpinan di Malaysia dan duta negara ini ke Indonesia telah berkali-kali tampil memberi penjelasan. Seolah-olah segelintir rakyat di sana memekakkan telinga, menutup mata dan menumpulkan otak daripada menerima penjelasan tersebut.
Lebih dibimbangkan apabila kenyataan ganas dan berunsur provokasi itu dengan mudah menyerap otak warga Indonesia yang lain dan menyakiti hati rakyat Malaysia sehingga satu hari kelak jika gagal dibendung boleh menyemarakkan api kebencian sehingga memburukkan lagi hubungan ''benci tapi sayang'' antara kedua-dua negara.
Sebab itu di pihak Malaysia sendiri, setiap isu yang bersangkutan dengan negara jiran (bukan Indonesia sahaja) akan cuba diselesaikan menerusi rundingan dan perbincangan biar pun hasilnya kadang-kadang dilihat tidak memihak kepada rakyat negara ini.
Perihal amah Indonesia misalnya cuba diselesaikan sebaik mungkin biar pun majikan di negara ini mempunyai tuntutan sendiri yang tidak dipenuhi hingga sekarang oleh pemerintah di negara jiran itu.
Bagi majikan di Malaysia, apabila kerajaan di sini mempersetujui syarat-syarat yang ditetapkan oleh Indonesia maka pemerintah di sana mesti juga bertolak ansur serta akur keperluan majikan yang bakal sebumbung dengan rakyat mereka.
Persefahaman seperti itu penting supaya jika rakyat Malaysia diuar-uarkan sebagai kejam kerana mendera amah rakyat Indonesia, mereka juga mesti ambil tahu apabila ada amah membunuh majikan atau bersubahat merompak majikan negara ini.
Kematangan dalam hubungan kedua-dua negara mesti ditonjolkan. Jangan hanya bertindak melenting, berteriak dan membakar bendera negara ini hanya kerana isu yang jika disemak susur galurnya salahnya bukan terbeban di bahu rakyat negara ini.
Sebaliknya mereka mesti akur banyak onar dan resah gelisah yang ditimbulkan oleh rakyat negara itu di sini sehingga ke satu peringkat orang Malaysia takut untuk berada di sesuatu kawasan kerana dibanjiri warga negara itu dan sarat pula dengan jenayah.
Tetapi demi menjaga hati, demi menghormati semangat serumpun, sebangsa dan seagama - kebanyakan rakyat negara ini rela menerima kesemuanya itu lantaran sedar kedua-dua negara saling bergantung terutama daripada segi keperluan tenaga buruh dan hubungan dagang sesama mereka.
Tidak ada tindakan membakar bendera Indonesia tatkala warga asing merusuh dan menimbulkan kekacauan di sini. Tiada juga tindakan melemparkan telur ke kedutaan negara itu di sini gara-gara tidak puas hati dengan pelbagai kerenah amah warga negara itu.
Kesemuanya itu kerana menyedari bahawa tanpa khidmat amah warga Indonesia, ramai wanita yang bekerja terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah. Tanpa buruh dari republik itu, tidak mustahil ekonomi Malaysia sedikit terjejas. Sebab itu kita bersungguh-sungguh menjaga hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan mengajar rakyat negara ini supaya tidak bertindak keterlaluan.
Dan perkembangan itu amat jelas - ketika Malaysia dicemuh segelintir rakyat negara itu, sukarelawan kita tidak putus-putus menghulurkan bantuan meringankan beban rakyat di situ.
Lantaran berkongsi terlalu banyak persamaan menyebabkan terbentuknya hubungan "benci tetapi sayang" yang jika tidak dijaga secara berhati-hati akan runtuh juga satu hari kelak.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Monday, September 7, 2009

Nuzul Quran

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SEPERTI yang dimaklumi, al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan al-Mubarak. Sebahagian ulama berpendapat ia diturunkan pada 17 Ramadan di Gua Hira'.
Imam al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: "Dalam beberapa hadis diterangkan bahawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Gua Hira' dan beribadat di tempat itu selama beberapa malam. Kemudian Baginda pulang ke rumah isterinya, Khadijah dan Baginda dibekalkan dengan bekalan yang cukup sehinggalah ke saat Baginda diturunkan wahyu.
Semasa Baginda berada di Gua Hira', malaikat Jibril a.s datang lalu berkata kepadanya: "Bacalah!". Lantas jawab Baginda: "Aku tidak tahu membaca."
Lalu Jibril a.s memegang Baginda dan memeluknya dengan erat sehingga Nabi berasa sukar bernafas. Kemudian Jibril melepaskan Baginda lalu berkata: "Bacalah!". Jawab Baginda lagi: "Aku tidak tahu membaca."
Jibril memegangnya lagi dan memeluknya hingga Baginda sekali lagi sukar bernafas. Lalu Jibril a.s membaca firman Allah SWT yang bermaksud:
"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Para perawi-perawi hadis menambah: Baginda segera kembali ke rumah dalam keadaan gementar ketakutan sambil bersabda: "Selimutlah aku! Selimutlah aku!". Baginda kemudiannya diselimutkan oleh Khadijah sehingga hilang rasa gementarnya.
Kemudian Baginda menceritakan segala yang berlaku kepada Khadijah, lalu bersabda: "Aku rasa bimbang akan diri sendiri".
Kata Khadijah untuk menyenangkan hati Rasulullah SAW: "Janganlah bersusah hati. Demi Allah! Allah tidak akan mengabaikan dirimu selamanya kerana dirimu selalu menjalinkan hubungan silaturrahim, tutur katamu jujur, suka memikul beban orang lain, menjamu tetamu dan membela kebenaran."
Kemudian Khadijah membawa Baginda ke rumah Waraqah Ibn Nawfal Ibn 'Asad bin Abdul 'Uzza iaitu sepupunya. Waraqah telah memeluk agama Nasrani sejak zaman jahiliah dan beliau banyak menulis dalam bahasa Arab dan telah menyalin kitab Injil ke bahasa Ibrani. Beliau menjadi buta setelah usia menginjak tua.
Kata Khadijah kepadanya: "Wahai sepupuku, dengarlah apa yang diceritakan oleh anak saudaramu ini."
Jawab Waraqah: "Apakah yang terjadi, wahai anak saudaraku?"
Rasulullah SAW terus menceritakan apa yang telah dilihatnya. Sahut Waraqah: "Itu adalah Namus yang turun kepada Nabi Isa a.s. Alangkah baiknya kalau aku masih muda dan masih hidup sewaktu kamu diusir oleh kaummu nanti."
Lantas Rasulullah SAW bertanya: "Apakah kaumku akan mengusirku?". Jawab Waraqah: "Ya! Tidak seorang pun yang membawa apa yang kamu bawa ini tidak dimusuhi. Jika aku masih hidup pada ketika itu, pasti aku akan menolongmu dengan sekuat tenagaku."
Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. - Hadis riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).
Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam Fiqh Sirah berkata, hadis permulaan penurunan wahyu itu merupakan masa utama yang memberi implikasi terhadap seluruh hakikat dan de facto akidah dan syariah Islamiah, memahami serta mempercayai dengan penuh yakin.
Ia merupakan titik permulaan dan pengenalan yang semestinya ke arah mempercayai segala apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Antaranya, perkhabaran ghaib dan suruhan syariat lantaran hakikat wahyu itu adalah jenis yang tunggal yang memisahkan di antara manusia yang berfikir dengan otak pemikiran yang bersifat serba kemanusiaan dengan manusia yang menyampaikan segala sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhannya tanpa menukar, menokok tambah dan sebagainya."
Tokoh terkenal, Fadhilatu Sheikh Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti pula menjelaskan, pelukan Jibril kepada Nabi SAW beberapa kali dan disuruh membaca, kemudian pelukan selepas itu bertambah kuat sebagai bukti dan dalil bahawa proses mendapat ilmu memerlukan mujahadah, kesabaran dan kesungguhan. Ini kerana sifatnya yang amat sukar untuk diperoleh di samping memerlukan pengorbanan yang besar."
Sementara itu, Sheikh Muhammad Abduh pula berkata, perintah membaca itu bukan sebagai beban tugas yang harus dilaksanakan sehingga menuntut satu-satu objek tetapi ia adalah perintah takwini yang mewujudkan kemampuan membaca secara umum.
Di sini jelas menunjukkan, kata iqra' digunakan dalam erti dan maksud membaca, mentelaah, menyampaikan dan sebagainya dan kerana objeknya bersifat umum, maka objek kata tersebut mencakupi segala yang dapat terjangkau sama ada bacaan suci bersumberkan Ilahi atau dari yang lain.
Begitu juga, berkenaan dengan ayat yang tertulis atau sebaliknya.
Walhasil, perintah iqra' , mencakupi mentelaah terhadap alam buana, masyarakat dan diri sendiri serta bacaan tertulis baik yang suci ataupun yang lainnya.
Sheikh al-Azhar iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya al-Quran fi Syarhi al-Quran menjelaskan, dengan kalimat iqra' bismi rabbik, al-Quran tidak sekadar memerintahkan untuk membaca, tetapi membaca adalah lambang dari segala apa yang dilakukan oleh manusia, baik yang sifatnya aktif mahupun pasif."
Kalimat tersebut dalam pengertian dan semangatnya ingin menyatakan "Bacalah demi Tuhanmu, bergeraklah demi Tuhanmu, bekerjalah demi Tuhanmu".
Demikian juga apabila anda berhenti bergerak atau berhenti melakukan sesuatu aktiviti, maka hendaklah hal tersebut juga didasarkan kepada bismi rabbik sehingga pada akhirnya ayat tersebut bererti: "Jadikanlah seluruh kehidupanmu, wujudmu, dalam cara dan tujuannya, kesemuanya demi kerana Allah SWT".
Menurut Sheikh al-Maraghi, perintah membaca itu diulang-ulang kerana membaca hanya dapat dicapai oleh seseorang dengan mengulang-ulang dan dibiasakan. Ulangan perintah ini menunjukkan perlunya apa yang dibaca itu diulangi berkali-kali.
"Jadi membaca menjadi bakat Nabi Muhammad SAW. Ayat ini menerangkan keutamaan membaca, menulis dan kepentingan ilmu pengetahuan."
Menurut Sheikh al-Maraghi lagi, dijadikan qalam sebagai alat yang dapat memberi kefahaman kepada sesama manusia meskipun berjauhan, sebagaimana memahamkan mereka dengan perantaraan lisan."
Qalam adalah benda yang tidak berjiwa dan tidak mempunyai kekuatan untuk memberikan pengertian.
Oleh sebab itu, apakah ada kesulitan bagi Tuhan yang membuat benda mati lagi diam menjadi alat untuk memberi pengertian dan penjelasan dan menjadikan kamu orang yang boleh membaca, menjelaskan serta mengajar kerana kamu telah menjadi manusia yang sempurna?
Sesungguhnya tanpa qalam, ilmu pengetahuan tidak akan terpelihara. Agama-agama akan hilang lenyap dan generasi kemudian tidak dapat mengenal generasi dahulu.
Aspek ilmu pengetahuan, penemuan-penemuan, kemahiran-kemahiran, sejarah baik buruk umat dahulu kala tidak akan tercatat. Pengetahuan mereka tidak akan menjadi penunjuk jalan kepada umat terkemudian untuk terus maju dalam bidang rekaan dan ciptaan.
Semoga semangat Nuzul al-Quran ini menjadikan kita golongan yang prihatin kepada ilmu dan minat membaca untuk mencapai seterusnya menjadi hamba-Nya yang benarbenar bertakwa. Amin
PENULIS ialah Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan

Monday, August 24, 2009

Lidah keras?

Oleh Suliati Asri

suliati@hmetro.com.my
KADANGKALA kita tidak faham, apa susah sangat belajar dan menguasai bahasa Inggeris sama ada dalam pertuturan atau penulisan?Pelajar sekolah sering mengeluh apabila mengikuti kelas bahasa Inggeris, seolah-olah ada 'hantu' yang menghalang mereka untuk memberi fokus terhadap pembelajaran berkenaan.
Di rumah, subjek bahasa Inggeris tidak dipedulikan. Ibu bapa pula tidak ambil tahu sama ada anak mereka belajar bahasa antarabangsa itu atau tidak.Hasilnya, keputusan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu merudum. Apabila memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) keadaan bertambah lebih teruk.Penguasaan bahasa Inggeris mereka 'hancus' padahal kebanyakan buku rujukan di IPT adalah dalam bahasa Inggeris.Ketika pelajar bangsa lain sibuk menguasai bahasa Inggeris, pelajar Melayu seperti berpuas hati dengan apa yang ada.Akibat kealpaan itu, apabila keluar dari IPT, mereka sukar mendapat kerja kerana tidak mahir berbahasa Inggeris. Dalam proses temuduga, pertuturan bahasa Inggeris anak Melayu tergagap-gagap seperti baru belajar bercakap.Apakah pelajar Melayu masih dalam kepompong yang sama, malu untuk bertutur bahasa Inggeris atau menganggap bahasa itu tidak penting?Jika alasan bahasa itu susah, mengapa pelajar Cina dan India boleh menguasainya dengan baik? Tidak guna kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk meningkat penguasaan pelajar Melayu dalam bahasa Inggeris jika mereka sendiri tidak sedar kepentingan bahasa itu. Ia ibarat mencurah air di daun keladi.Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata tidak semua pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris berbanding pelajar bukan Melayu.Beliau berkata, ada juga pelajar bukan Melayu gagal menguasai bahasa Inggeris, namun ia tidak ketara kerana bilangan pelajar Melayu lebih ramai."Saya tidak bersetuju dakwaan pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris berbanding pelajar bukan Melayu."Dari segi akademik dan keputusan peperiksaan bahasa Inggeris, mereka cemerlang dan keputusan mereka baik," katanya.Jika pelajar luar bandar dijadikan ukuran untuk melabelkan pelajar Melayu sukar untuk menguasai bahasa Inggeris, itu tidak adil."Sebagai pelajar luar bandar, kelengkapan pembelajaran mereka terutama bahasa Inggeris adalah terhad dan tidak secanggih pelajar di bandar."Selain itu, pergaulan serta persekitaran mereka juga sangat berbeza dengan pelajar di bandar," katanya.Dalam usaha menggalakkan pelajar menguasai bahasa Inggeris, Dr Aini berkata, isu siapa lebih menguasai bahasa Inggeris jangan digembar-gemburkan."Jangan ungkit isu perbezaan sebaliknya beri pendedahan dan cara yang betul untuk melaksanakan kaedah itu."Dengan pendedahan yang betul menggunakan peralatan yang lengkap dan tenaga pengajar yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran, ia membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan," katanya.Mengimbau sistem lama di sesetengah sekolah yang mendenda pelajar yang gagal bertutur bahasa Inggeris, Dr Aini berkata, cara itu mungkin boleh diamalkan semula."Pihak sekolah perlu kreatif dan berusaha untuk membantu serta menyediakan bahan yang sesuai dan lengkap."Pihak sekolah juga perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang menarik dan terkini bagi menanam minat mereka untuk membaca buku bahasa Inggeris," katanya.Di samping itu, penggunaan teknologi seperti televisyen dalam pembelajaran dapat membantu kerana ia lebih berkesan untuk menarik minat pelajar menguasai bahasa Inggeris."Apa yang paling penting, guru perlu menguasai bahasa itu serta menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar. Ada sesetengah guru bahasa Inggeris mengajar menggunakan dwibahasa."Keadaan itu menyebabkan pelajar tidak punya inisiatif memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mereka," katanya.Beliau setuju jika guru yang mengajar subjek itu dibawa dari luar negara."Ini boleh meningkatkan semangat pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami apa yang diajar guru terbabit," katanya.Sementara itu, guru bahasa Inggeris, Sapian Mamat, berkata pelajar Melayu sukar menguasai bahasa itu disebabkan latar belakang keluarga di samping cara pergaulan mereka.Menurutnya, jika ibu bapa menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi di rumah, masalah kegagalan menguasai bahasa berkenaan tidak timbul."Ibu bapa pelajar bukan Melayu, mereka berusaha bercakap bahasa Inggeris di rumah untuk membiasakan anak mereka dengan bahasa itu."Cara itu memberi pendedahan awal kepada anak terutama untuk bercakap menggunakan bahasa Inggeris walaupun tatabahasa yang digunakan tunggang terbalik."Pelajar juga mudah memahami ketika guru mengajar kerana perkataan yang digunakan pernah mereka gunakan di rumah," katanya.Bagi pelajar Melayu, menurut Sapian, hanya segelintir ibu bapa menggunakan bahasa Inggeris di rumah."Keadaan ini memberi kesukaran memahami dan bertutur bahasa Inggeris kerana mereka tidak dapat mempraktikkan apa yang dipelajari di sekolah ketika berada di rumah."Mereka boleh menerima dan mempelajari bahasa Inggeris, tetapi tidak dapat menguasai sepenuhnya kerana orang di sekeliling tidak bertutur bahasa itu," katanya.Satu lagi faktor menjadi punca pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris kerana mereka tidak melihat kepentingan bahasa itu."Ketika dalam kelas, pelajar bertutur bahasa Melayu. Jadi, mereka tidak melihat kepentingan bahasa itu kerana jika lulus bahasa Inggeris pun sudah memadai."Ia berlainan dengan pelajar bukan Melayu yang didedahkan kepentingan bahasa Inggeris bukan saja untuk peperiksaan, tetapi berkomunikasi," katanya.Sementara itu, ibu kepada tiga anak, Siti Aminah Kassim, berkata pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris kerana mereka malas berusaha dan menganggap bahasa itu tidak penting."Saban tahun, ada saja inisiatif baru yang dibuat kementerian pelajaran bagi membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris."Jika mereka menggunakan peluang itu, mereka mudah menguasainya kerana kebolehan pelajar Melayu tidak bezanya berbanding pelajar bangsa lain."Tetapi, jika malas berusaha, yang mudah pun menjadi susah," katanya.