Thursday, September 10, 2009

Hubungan 'benci tapi sayang'

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
APABILA memperkatakan perihal hubungan Malaysia-Indonesia, banyak maksud yang tersirat berbanding apa yang tersurat.
Sebab itu ramai yang merumuskan bahawa gembar-gembur berkaitan hubungan kedua- dua negara seperti yang tersurat kebelakangan ini tidak mencerminkan status sebenar jalinan silaturrahim Malaysia-Indonesia.
Hubungan unik dua negara berjiran yang berkongsi banyak persamaan itu juga disifatkan sebagai hubungan 'benci tapi sayang' (love-hate relationship). Dalam keadaan banyak pertentangan dan kekeruhan yang cuba ditimbulkan, Malaysia dan Indonesia tidak boleh berpisah.
Kedua-dua negara saling bergantung - malah ke satu peringkat lebih sejuta warga Indonesia bernaung di Malaysia, mencari rezeki atas sikap dan dasar memakmurkan jiran yang digenggam oleh kerajaan negara ini.
Kerajaan Indonesia pun mengambil sikap sedemikian. Biar pun rakyat Malaysia yang mendiami negara itu tidak sebesar angka rakyat Indonesia di sini, namun kerajaan republik itu tidak terpengaruh dengan cubaan rakyatnya untuk mencetuskan satu demi satu isu yang bersangkut dengan Malaysia.
Mereka tidak termakan dengan pelbagai cara untuk meniup api kebencian di antara penduduk kedua-dua negara. Kesemua isu yang ditimbulkan mampu dibendung biar pun ada kalanya menimbulkan sisa tidak puas hati di kalangan rakyat. Tiada provokasi di peringkat menteri-menteri di Indonesia yang cuba menyokong laungan api kebencian rakyatnya.
Barisan kepimpinan di Indonesia percaya, lontaran kemarahan rakyat negara itu bukan cerminan pendirian kerajaan. Ia sekadar luahan rasa marah kononnya kerana hak mereka disentuh oleh rakyat negara ini.
Rakyat Indonesia melahirkan rasa marah menerusi laungan "Ganyang Malaysia", membakar Jalur Gemilang, berdemonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta, membaling telur dan sebagainya.
Oleh kerana tiada layanan di peringkat kepimpinan maka luahan rasa tidak puas hati terhadap negara ini terhenti setakat itu, sehingga kelak timbul satu lagi isu yang mendorong mereka bertindak sedemikian.
Apatah lagi dalam keadaan kedua-dua negara berkenaan berkongsi induk yang sama iaitu ASEAN. Di situ termeterai persetujuan untuk mengamalkan dasar tidak campur tangan hal ehwal dalaman masing-masing.
Barisan pemimpin kedua-dua negara bersetuju hanya jika ada permintaan atau isu yang melibatkan Malaysia-Indonesia barulah mereka menyeberang sempadan.
Namun di sebalik usaha berterusan barisan kepimpinan kedua-dua negara memelihara hubungan baik, ada rasa tidak puas hati di kalangan rakyat sehingga mencalar luka hati mereka sekali gus memberi sedikit kesan kepada jalinan yang telah termeterai sejak sekian lama.
Memang benar apabila ada yang berkata, jangan dilayan desakan-desakan kumpulan kecil di Indonesia yang kononnya sedang bersiap untuk berperang dengan Malaysia.
Kata mereka, apa sangatlah angka 486 sukarelawan jika dibandingkan dengan berjuta-juta lagi penduduk Indonesia yang mungkin masih memelihara semangat setiakawan dengan rakyat negara ini.
Ada juga yang mahu supaya cubaan mengganyang Malaysia yang bermula sejak 1960-an itu dibiarkan lantaran ia cuma bertujuan meraih populariti dan menarik perhatian tentang apa sebenarnya yang dinamakan keunikan hubungan kedua-dua negara.
Persoalannya, bolehkah isu-isu kecil yang melibatkan tarian, lagu dan budaya itu dibiarkan sedemikian rupa? Bolehkah keduadua negara membiarkan dunia menyaksikan satu persatu perihal 'kegawatan' hubungan sehingga ke tahap rakyatnya menyimpan tanggapan bahawa akan berlaku peperangan semata-mata kerana isu tarian?
Mengapa ada tanggapan seburuk itu terhadap Malaysia sehingga mendorong penyelaras kempen anjuran kumpulan pemuda nasionalis Bendera, Mustar Bonaventura memberitahu media, kesemua sukarelawan itu telah menyimpan stok makanan, ubat-ubatan termasuk senjata seperti pedang samurai bagi menghadapi kemungkinan perang.
Adakah akan tercetus peperangan semata-mata kerana isu tarian pendet yang hakikatnya tidak melibatkan Malaysia dan telah diperakui oleh pihak berkenaan bahawa dokumentari itu adalah terbitan mereka selain salam kemaafan telah pun dihulurkan?
Jawapannya tentu tidak.
Tetapi membuat kesimpulan kononnya akan berlaku perang semata-mata kerana isu tarian sememangnya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja apatah lagi dalam keadaan barisan kepimpinan di Malaysia dan duta negara ini ke Indonesia telah berkali-kali tampil memberi penjelasan. Seolah-olah segelintir rakyat di sana memekakkan telinga, menutup mata dan menumpulkan otak daripada menerima penjelasan tersebut.
Lebih dibimbangkan apabila kenyataan ganas dan berunsur provokasi itu dengan mudah menyerap otak warga Indonesia yang lain dan menyakiti hati rakyat Malaysia sehingga satu hari kelak jika gagal dibendung boleh menyemarakkan api kebencian sehingga memburukkan lagi hubungan ''benci tapi sayang'' antara kedua-dua negara.
Sebab itu di pihak Malaysia sendiri, setiap isu yang bersangkutan dengan negara jiran (bukan Indonesia sahaja) akan cuba diselesaikan menerusi rundingan dan perbincangan biar pun hasilnya kadang-kadang dilihat tidak memihak kepada rakyat negara ini.
Perihal amah Indonesia misalnya cuba diselesaikan sebaik mungkin biar pun majikan di negara ini mempunyai tuntutan sendiri yang tidak dipenuhi hingga sekarang oleh pemerintah di negara jiran itu.
Bagi majikan di Malaysia, apabila kerajaan di sini mempersetujui syarat-syarat yang ditetapkan oleh Indonesia maka pemerintah di sana mesti juga bertolak ansur serta akur keperluan majikan yang bakal sebumbung dengan rakyat mereka.
Persefahaman seperti itu penting supaya jika rakyat Malaysia diuar-uarkan sebagai kejam kerana mendera amah rakyat Indonesia, mereka juga mesti ambil tahu apabila ada amah membunuh majikan atau bersubahat merompak majikan negara ini.
Kematangan dalam hubungan kedua-dua negara mesti ditonjolkan. Jangan hanya bertindak melenting, berteriak dan membakar bendera negara ini hanya kerana isu yang jika disemak susur galurnya salahnya bukan terbeban di bahu rakyat negara ini.
Sebaliknya mereka mesti akur banyak onar dan resah gelisah yang ditimbulkan oleh rakyat negara itu di sini sehingga ke satu peringkat orang Malaysia takut untuk berada di sesuatu kawasan kerana dibanjiri warga negara itu dan sarat pula dengan jenayah.
Tetapi demi menjaga hati, demi menghormati semangat serumpun, sebangsa dan seagama - kebanyakan rakyat negara ini rela menerima kesemuanya itu lantaran sedar kedua-dua negara saling bergantung terutama daripada segi keperluan tenaga buruh dan hubungan dagang sesama mereka.
Tidak ada tindakan membakar bendera Indonesia tatkala warga asing merusuh dan menimbulkan kekacauan di sini. Tiada juga tindakan melemparkan telur ke kedutaan negara itu di sini gara-gara tidak puas hati dengan pelbagai kerenah amah warga negara itu.
Kesemuanya itu kerana menyedari bahawa tanpa khidmat amah warga Indonesia, ramai wanita yang bekerja terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah. Tanpa buruh dari republik itu, tidak mustahil ekonomi Malaysia sedikit terjejas. Sebab itu kita bersungguh-sungguh menjaga hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan mengajar rakyat negara ini supaya tidak bertindak keterlaluan.
Dan perkembangan itu amat jelas - ketika Malaysia dicemuh segelintir rakyat negara itu, sukarelawan kita tidak putus-putus menghulurkan bantuan meringankan beban rakyat di situ.
Lantaran berkongsi terlalu banyak persamaan menyebabkan terbentuknya hubungan "benci tetapi sayang" yang jika tidak dijaga secara berhati-hati akan runtuh juga satu hari kelak.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

No comments: