Sunday, January 4, 2009

Banteras pesta songsang tahun baru


Persoalan pertama yang bermain di kepala siapa saja yang waras fikirannya ialah, "Kenapa perlu kita mengikut amalan buruk orang luar menyambut tahun baru?" Persoalan ini bertolak daripada laporan sambutan tahun baru yang tercemar dengan gelagat melampau hingga menganggu ketenteraman orang ramai.
Hampir setiap tahun ada laporan tentang pengguna jalan raya seperti penunggang motosikal atau kereta yang terperangkap dalam kesesakan yang dicipta oleh anak-anak muda yang kurang siuman, menyembur buih atau melontarkan tin-tin minuman kepada orang ramai.
Ini adalah gelagat gila anak-anak muda Malaysia, tidak kira Melayu, Cina atau India yang menganggap seolah-olah tahun baru adalah lesen untuk mereka melakukan apa saja termasuk menganggu orang lain. Biar pun pada perkiraan mereka gelagat melampau ini satu indikator modenisasi kerana ia dilakukan di kota-kota besar lain di dunia, sebenarnya mereka menjadi peniru yang buta dan tuli.
Apakah dengan wujudnya sekian banyak perlakuan yang menyimpang daripada norma-norma masyarakat pada sambutan tahun baru menunjukkan tahap kemajuan yang dikecapi? Apakah dengan membuat gelagat tidak waras dam sumbang di depan khalayak menunjukkan tahap kecemerlangan sebagai seorang warga di negara ini?
Inilah yang menuntut semua pihak memikirkan dengan serius tentang penerapan budaya yang tidak sesuai dari luar kepada masyarakat tempatan. Sambutan tahun baru boleh dijadikan salah satu premis untuk membedah sekian banyak konflik dan kesongsangan sosial yang berlaku khususnya kalangan warga di kota-kota besar.
Sambutan tahun baru 2009 yang lalu tentunya akan diingati dengan penangkapan 26 orang anak muda yang terlibat dalam pesta seks dan dadah di sebuah hotel di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur. Turut ditahan adalah mereka yang bertaraf "selebriti" sekaligus menjadi ikon kepada kalangan peminat-peminat hiburan. Kisah penangkapan anak-anak muda ini memang menjijikan. Tetapi kita kena realistik bahawa beginilah gaya sambutan tahun baru di bandar-bandar besar kita khususnya Kuala Lumpur.
Sebenarnya kontroversi pembaca berita dan artis yang turut ditahan dalam pesta seks dan dadah itu bukanlah cerita luar biasa. Maka kita tidak perlulah berpura-pura terkejut atau terkedu dengan penyelewengan moral yang begitu serius pada sambutan malam tahun baru di negara ini.
Pesta yang dianjurkan di sebuah bilik hotel di Jalan P. Ramlee itu hanya satu daripada sekian banyak lagi pesta yang serupa sama ada diadakan secara terbuka atau tertutup, sama ada secara sah (mendapat permit) atau secara haram. Sekitar kawasan Bukit Bintang, Jalan Telawi di Bangsar, Sri Hartamas, KLCC dan Dataran Merdeka memperlihatkan fenomena hampir serupa.
Hiburan dan seks
Bagi warga Kuala Lumpur, Jalan P. Ramlee atau Bukit Bintang dalam bahasa manisnya adalah "kawasan hiburan kelas tinggi" atau dalam pengertian popular adalah "red light area" yang banyak dikunjungi oleh pelancong asing yang mencari hiburan dan seks.
Kerana itu bukanlah suatu pemandangan yang luar biasa anak-anak muda mabuk di depan khalayak di sekitar Jalan P. Ramlee, Jalan Bukit Bintang atau Jalan Telawi di Bangsar. Malah bukan juga fenomena luar biasa arak dijual secara terbuka kerana seusai malam tahun baru, sekitar kawasan-kawasan berkenaan dipenuhi dengan tin-tin dan botol arak yang dibuang di merata-rata tempat. Pemandangan ini bukan saja sejak sepuluh tahun lalu malah lebih lama daripada itu dan pihak tertentu seperti terlepas pandang apabila ada kawasan yang sengaja ditutup daripada lali lintas untuk memberi peluang kepada warga kota menyambut tahun baru.
Sambutan tahun baru adalah ritual yang dilakukan di kota-kota besar d dunia pada setiap kali menjelang detik pukul 12 malam pada 31 Disember. Di sebalik percikan bunga api yang menyimbah cahaya ke dada langit, sambutan tahun baru sebenarnya tidak memberikan manfaat kecuali mereka yang memburu hiburan dan bersukaria secara melampau. Masyarakat di negara ini ternyata terikut-ikut dengan cara dan gaya sambutan tahun baru di negara luar yang melampau.
Sambutan tahun baru di Kuala Lumpur khususnya bukanlah konsert-konsert hiburan yang diadakan di Dataran Merdeka atau di taman KLCC. Penganjuran konsert begini tidak membimbangkan kerana khalayak penonton lebih terkawal dan isi kandungan persembahan selalunya tidak keterlaluan. Sebaliknya gelagat sesetengah warga kota yang membuatkan hampir setiap tahun sambutan tahun baru tercemar.
Perlukah diadakan sambutan tahun baru dan apa itu tahun baru? Tahun baru adalah perjalanan masa yang biasa, sama dengan perubahan hari dari Ahad kepada Isnin, daripada 31 Disember kepada 1 Januari. Secara fizikal dan spiritual ternyata tidak berubah apa-apa kecuali sesetengah daripada kita yang mencipta seolah-olah tahun baru suatu yang sangat penting dan diberi lesen untuk menjadi kurang ajar.
Sebenarnya sambutan tahun baru tidak diperlukan sama sekali dalam konteks pembinaan warga untuk mendepani cabaran-cabaran masa depan. Tetapi kita masih boleh bertolak ansur asalkan penganjuran tidak mencemarkan budaya hidup masyarakat negara ini walaupun saban tahun persembahannya hampir serupa. Tetapi apabila tahun baru menjadi sinomin dengan pesta seks, dadah dan gelagat gila di jalan-jalan di tengah bandar raya, ternyata sama sekali kita tidak memerlukan acara sambutan tahun baru.
Sambutan
Pada tahun 2004, malam tahun baru tidak diadakan acara sambutan seperti lazimnya yang dipenuhi dengan konsert hiburan dan pertunjukkan bunga api kerana mengenang tragedi tsunami pada 26 Disember 2004. Pada tahun berkenaan tidak kelihatan apa-apa kekurangan dengan ketiadaan acara "count down" di Dataran Merdeka walaupun ada acara sambutan yang dianjurkan berskala kecil. Sebenarnya tahun 2004 satu indikator yang membuktikan tanpa sambutan tahun baru tidak akan menjejaskan apa-apa kepada negara dan juga rakyat.
Tambahan pula warga Kuala Lumpur bukanlah terlalu terdesak kerana ketandusan acara hiburan kerana acara hiburan percuma bercambah di Kuala Lumpur. Jadi, kenapa perlu ditunggu tarikh 31 Disember untuk berhibur?
Cuma agak mendukacitakan apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah memejamkan mata dengan perhimpunan di Jalan Bukit Bintang atau Jalan Telawi pada saban tahun? Adakah PBT sudah hilang kuasa untuk memastikan Jalan Bukit Bintang misalnya tidak menjadi lokasi perhimpunan yang akhirnya menjadi lokasi gelagat liar?
Percayalah sekiranya kita menganjurkan pesta tahun baru sehebat mana sekali pun, kita memberikan kebebasan seluas mana sekali pun waima menganjurkan pesta seks dan dadah, semua itu bukanlah satu ukuran kecemerlangan negara yang bernama Malaysia ini. Sambutan tahun baru tidak boleh dijadikan pesta budak-budak nakal berkeliaran menganggu orang ramai. Malah tahun baru juga bukan satu malam yang menambah koleksi kisah-kisah jijik warga kota yang seolah-olah mendapat "lesen" untuk mempromosi gaya hidup yang menyimpang.

1 comment:

pepcoy said...

mungkin salah satu puncanya, terlalu ingin menunjukkan sikap sporting kita (org melayu)hinggakan pada hal yang wajib untuk tidak sporting pun kita nak sporting juga.Keduanya,mumgkin nak tunjuk yang kita pun terer setaraf org lain.ibarat budak sekolah yang isap rokok, tentu dia rasa dia la yang terer, pelajar lain tak berani buat mcm dia buat.just my 2 sen opinion.sori cikgu kalau BM saya tak ok nahunya.