Saturday, May 2, 2009

Kucing perlu layanan seperti kawan

Oleh SITI ZALEHA JORIMAI dan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

MEMELIHARA haiwan kesayangan seperti kucing memerlukan komitmen dan tanggung jawab seperti menjaga seorang manusia.
Apa tidaknya, penjagaan perlu meliputi banyak aspek termasuk pemakanan, merapi, membersih, menyediakan ruang selesa, kebersihan kotak pasir, pemeriksaan veterinar, meluangkan masa berkualiti dan banyak lagi.
Jadi tidak hairanlah apabila pemilik kucing berbelanja besar setiap bulan untuk memastikan kucing kesayangan sentiasa sihat dan cantik. Situasi ini turut mendorong kepada perkembangan pesat perniagaan berkaitan dengan khidmat pemeliharaan haiwan kesayangan.
Pakar bedah veterinar Petcare Enterprise Sdn. Bhd., Dr. Abraham George berkata, penjagaan kucing lebih daripada sekadar membeli seekor haiwan dan membawanya pulang.
‘‘Sebaik sahaja anda membawa pulang kucing itu, layani, penuhi kehendaknya seperti keluarga atau kawan baik dan berikan dia penjagaan sebaik-baiknya,’’ ujar beliau.
Bagaimanapun ramai masih keliru sama ada hendak memberi kucing peliharaan kebebasan kepadanya untuk merayau-rayau di luar atau mengurungnya di dalam rumah.
Katanya, pakar penjagaan haiwan kesayangan menyarankan agar kucing dibela dalam rumah supaya ia boleh hidup lama, kurang terdedah kepada kecederaan, penyakit dan anda juga tidak perlu bimbang mengenai keselamatan si comel itu.
Makanan premium
Menurut Dr. Abraham, kucing peliharaan juga cukup cerewet dalam bab makanan yang disukainya. Ini kerana, ia mampu mengesan kelazatan, kebersihan dan khasiat makanan tersebut.
Justeru pemilik kucing di Malaysia kini lebih bijak memilih makanan berkhasiat untuk haiwan peliharaan mereka.
Hasil kaji selidik yang dijalankan P&G Petcare mendapati, lebih 66 peratus responden mengenal pasti makanan haiwan jenis organik sebagai diet paling sesuai untuk anjing atau kucing mereka.
Malah pada masa ini, makanan jenis organik atau menggunakan bahan-bahan semula jadi merangkumi 30 hingga 40 peratus makanan haiwan di seluruh negara termasuk kedai haiwan peliharaan dan klinik veterinar.
‘‘Masyarakat tempatan lebih mengutamakan kesihatan haiwan peliharaan mereka berbanding masyarakat di negara maju seperti Australia dan Jepun,’’ katanya.
Ini disebabkan orang ramai mula menyedari kesan negatif akibat kandungan bahan pengawet dalam diet haiwan kesayangan mereka.
Katanya, bahan pengawet tiruan juga merupakan punca 40 peratus kes alahan membabitkan anjing dan kucing peliharaan di negara ini.
Iams Healthy Naturals
Penolong Pengurus Jenama Pet Care Asia, Jacob Christian De Leon berkata, produk makanan haiwan peliharaan terbaru daripada Iams dapat membantu mempertingkatkan kesihatan haiwan peliharaan dengan memperbaiki sistem imunisasi bagi mengelak serangan penyakit.
Iams Healthy Naturals diperkaya dengan antioksidan, beta karotin daripada sayuran dan buah-buahan serta langsung tidak mengandungi pewarna, perisa atau pengawet tiruan.
‘‘Healthy Naturals diperbuat daripada protein (asid amino) ayam, kambing atau ikan salmon yang berkualiti tinggi dan mudah dihadam.
‘‘Buah-buahan dan sayuran seperti kacang hijau, tomato, lobak merah pula merupakan sumber beta-karotin yang penting untuk kesihatan mata haiwan peliharaan,’’ jelasnya.
Ia didatangkan dalam lima variasi yang unik iaitu Iams Healthy Naturals with Wholesome Chicken, Natural Lamb & Rice (anak anjing dan anjing dewasa) juga Iams Healthy Naturals with Wholesome Chicken dan Atlantic Salmon (kucing dewasa).
Kelima-lima variasi Iams Healthy Natural boleh diperoleh di kedai dan veterinar terpilih. Pemilik haiwan peliharaan dijemput melayari laman web www.iamshealthynaturals.com.my bagi mendapatkan baucar diskaun RM15 untuk pek pertama anda.
Dalam pada itu bagi selebriti TV terkenal, Aishah Sinclair, dua ekor kucing tempatan jenis bulu pendek yang masing-masing diberi nama Salem dan Gebu dipelihara bagai anak sendiri.
“Salem adalah kucing jalanan yang saya temui di tepi longkang di Pejabat Pos di Bangsar ketika usianya baru beberapa hari.
“Sekarang sudah tiga tahun Salem bersama saya dan saya bela bagaikan anak sendiri. Sebagai kucing jantan karakter Salem agak agresif malah satu ketika tangan saya penuh dengan kesan calar akibat perbuatan Salem. Mulanya saya tak tahu nak buat apa tetapi tabiat suka mencakarnya berkurangan apabila saya ambil Gebu sebagai peneman.
“Gebu saya ambil daripada seorang rakan. Karakter Gebu bertentangan dengan Salem. Mungkin kerana ia kucing betina, Gebu lebih manja dan suka dibelai. Apa pun kehadiran Gebu dan Salem sedikit sebanyak menceriakan lagi hidup saya dan suami,” katanya.
Walaupun Aishah mempunyai alahan terhadap bulu kucing yang membuatkan dia kerap bersin, namun ia bukan menjadi halangan untuk dia menyayangi Gebu dan Salem.
Untuk kedua-dua ‘buah hatinya’ itu Aishah membelanjakan kira-kira RM100 bagi membeli kotak pasir dan makanan kucing.
Dia juga memilih makanan organik jenama Iams kerana dirasakan mempunyai segala khasiat yang diperlukan.

No comments: