Friday, July 17, 2009

Gambar kaki Jacko disuntik ubat disiar


GAMBAR yang dirakamkan pada 2002 menunjukkan kedua-dua kaki Jacko mempunyai kecederaan yang dipercayai akibat suntikan jarum.

LOS ANGELES - Beberapa gambar yang mengejutkan disiarkan oleh rangkaian televisyen ABC di Amerika Syarikat (AS) semalam yang menunjukkan kedua-dua kaki Michael Jackson mempunyai luka seperti kena suntik dengan ubat.
Gambar-gambar itu menunjukkan terdapat luka, kesan kena suntikan dan kecederaan yang tidak pernah disiarkan sebelum ini.
Gambar-gambar itu disiarkan selepas polis di sini tidak menolak kemungkinan kematian Michael yang mesra dengan panggilan Jacko ketika dia masih hidup sebagai satu pembunuhan.
Pada mulanya gambar-gambar itu disiarkan bagi menunjukkan bahawa penyanyi yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu itu mempunyai panau yang kerap diakui oleh Jacko.
Namun, gambar-gambar itu mencetuskan pelbagai persoalan berhubung jenis ubat yang digunakan oleh penyanyi tersebut.
Seorang jurucakap Akademi Dermatologi Amerika, Dr. Debra Jaliman memberitahu stesen televisyen ABC: "Ia kelihatan seperti terdapat kesan benda tajam ke dalam saluran darah."
Dr. Debra berkata, menyuntik ubat di kaki jarang dilakukan.
Namun, ia boleh dilakukan jika tidak terdapat saluran darah di tubuh lain yang mampu menerima kemasukan ubat.
Jacko mengambil sejumlah ubat penahan sakit sebelum dia meninggal dunia dan dia selalu menggunakan pelbagai jenis ubat sejak rambutnya terbakar ketika dia menjalani penggambaran iklan Pepsi pada 1984.
Majalah Weekly di AS mendakwa mendapat imej rakaman video yang menunjukkan rambut Jacko terbakar. - Agensi

No comments: