Oleh NOOR HASLIZA NUSIhasliza.nusi@kosmo.com.my
SUKAR bagi salah seorang pasangan kekasih melafazkan kata putus tanpa sebab yang munasabah. Lebih-lebih lagi, ikatan cinta yang dijalin itu sudah bertahun-tahun lamanya.
Takut sekiranya hati pasangan terguris akibat panahan kata-kata yang terkeluar dari mulut anda, maka anda mula melakukan pelbagai perkara yang menjadi isyarat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan.
Seandainya anda bijak dan mula menghidu tanda-tanda si dia ingin membebaskan dirinya daripada anda, apa yang perlu anda lakukan adalah bersiap sedia menghadapi saat keperitan itu. Isyarat itu juga boleh digunakan untuk 'merawat' hubungan daripada terus putus.
Perhatikan tanda-tanda yang si dia mula mencari punca pertengkaran sehingga menjadi alasan untuknya memutuskan ikatan cinta atau mencari pelbagai kesalahan untuk menyatakan bahawa anda tidak lagi serasi.
Berikut adalah lima isyarat utama yang menandakan si dia tidak lagi berminat untuk meneruskan hubungan cintanya walaupun anda sukar menerima kenyataan sebenar.
1 Sentiasa timbul masalah
CINTA sejati tidak bermakna anda harus akur dengan setiap kata-katanya pada setiap masa. Konflik yang berlaku secara kecil-kecilan sebenarnya baik untuk perhubungan.
Namun, jika pasangan menjadi sangat sensitif dengan masalah-masalah kecil, misalnya tentang pemilihan pakaian, tempat makan ataupun cara percakapan anda, mungkin itulah tanda-tanda awal bahawa si dia sedang mencari alasan untuk keluar daripada hubungan kamu berdua.
2 Kurang berhubung
SEBELUM ini, si dia tidak pernah gagal menelefon anda pada setiap saat semata-mata untuk bertanyakan khabar atau hanya ingin mengucapkan 'aku rindu kamu'. Tetapi kini, deringan telefon daripadanya tidak lagi kedengaran, bahkan tiga jam sekali barulah anda menerima mesej yang pendek daripadanya.
Jika si dia tidak lagi melakukan tindakan yang biasa dilakukannya sebelum ini, itu tandanya si dia sedang berusaha menjauhkan diri dari anda.
3 Penampilan tidak seperti biasa
DENGAN tiba-tiba, si dia mengubah cara penampilannya. Mungkin si dia ingin mencari sesuatu yang baru dalam hidupnya tetapi itu membuatkan anda tertanya-tanya apakah punca sebenar perubahan dirinya itu.
Jika si dia mengubah penampilan diri dengan melakukan satu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini, mungkin dia sedang berfikir untuk memutuskan hubungan kerana ada wanita lain dalam hidupnya.
4 Mengkritik
JIKA si dia tidak lagi mempunyai perasaan terhadap anda, jangan terkejut sekiranya dia kurang bertoleransi atau sentiasa mencari kesalahan diri anda. Daripada cara anda bergaul, makan sehinggalah bau minyak wangi, ada sahaja hal yang tidak kena. Si dia sentiasa mengkritik segala perkara yang anda lakukan. Itu sudah jelas menunjukkan bahawa si dia semakin kurang berminat untuk meneruskan hubungan cinta dengan anda lagi.
5 Hilang kemesraan
JIKA kemesraannya semakin luntur terhadap anda, kemungkinan besar si dia tidak lagi tertarik dengan anda atau sudah bosan dengan anda. Si dia juga akan mencari alasan untuk tidak mahu berjumpa anda. Cuba fikirkan cara lain untuk membuatkan si dia kembali bersemangat dengan cinta anda. Misalnya, melakukan perkara yang si dia minati bersama.
Besar kemungkinan, tanda-tanda ini tidak selalunya menunjukkan 'isyarat pasti' bahawa si dia ingin memutuskan hubungan. Namun, kadangkala kombinasi tanda-tanda inilah yang akan membuatkan si dia benar-benar ingin memutuskan hubungan cinta dengan anda. Untuk memastikannya, jangan panik dan bincang dari hati ke hati. Adakah hubungan ini masih boleh dipertahankan atau lebih baik berpisah? Sekiranya isyarat tersebut menunjukkan petanda bahawa hubungan boleh diperbaiki maka anda harus meneruskan perjuangan ke arah itu. Jangan putus asa.
No comments:
Post a Comment