Friday, December 19, 2008

Belasungkawa Nasir P Ramlee (1953-2008): Perginya warisan P Ramlee


Jika P Ramlee meninggal dunia pada usia muda iaitu 44 tahun, Nasir pula menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.10 petang, kelmarin di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung dan kencing manis pada usia 55 tahun. Jenazahnya selamat dikebumikan jam 11 pagi keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kampung Baru. Nasir meninggalkan balu, Suria Bakar, 55, dan tujuh anak termasuk daripada dua perkahwinannya terdahulu. Bersama Suria, Nasir mempunyai dua anak, Zaidi, 17, dan Zakaria, 16, manakala bersama isteri pertamanya, Mariati Abd Rahman, 55, mereka mempunyai tiga anak, Gunina, 37, Gunawan, 35, dan Gurnarisasca, 31. Bersama isteri keduanya, Rashidah Jaafar (Gee), Nasir mempunyai dua anak, Natasya, 23, dan Najwa, 22. Seperti Badim dan Sazali, Nasir juga anak kesayangan P Ramlee. Nasir yang dilahirkan di Singapura pada tanggal 23 November 1953 adalah anak P Ramlee bersama isteri pertama, Junaidah Harris.Junaidah adalah pelakon berasal dari Indonesia dan anak kepada pelawak D Harris. Nasir membesar di Jalan Boon Teck yang juga kediaman ramai pelakon Studio Jalan Ampas. Nasir tidak bertemu ibunya sejak usia enam tahun. Hanya selepas P Ramlee meninggal dunia, Nasir bertemu semula dengan ibu kandungnya di Jalan Martapura, Jakarta.Selepas bercerai dengan Junaidah, P Ramlee mengahwini Norizan dan kemudian Saloma. Justeru, Nasir juga membesar di bawah Norizan yang ketat menjaga disiplinnya tetapi banyak membentuk karakternya. Mengimbas latarbelakangnya pula, Nasir memulakan kerjayanya sebagai pemuzik di kelab malam sebelum menyertai EMI sebagai penggubah muzik. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai penyelaras muzik kombo Istana Budaya (IB) sejak April 2002 sehingga sekarang. Nasir pernah bergandingan bersama Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarham Normadiah, Allahyarham Aziz Jaafar dan Datuk Aziz Satar untuk album Panca Sitara.
Beliau pernah menghasilkan lagu untuk Herman Tino, Rosemaria Abdul Hamid dan Aman Shah. Antara lagu popularnya ialah Rindu Bayangan dendangan Carefree.
Sepanjang berkhidmat di IB, Nasir banyak terbabit dalam persembahan anjuran kerajaan dan di peringkat antarabangsa.Antara pementasan yang pernah diarahkannya di IB ialah Suzana 60 dan Bonnie M Live In Kuala Lumpur pada 2006.Sekalipun, nama Nasir tidak segah bapanya, namun tidak dinafikan, beliau juga memberi sumbangan tersendiri dalam memartabatkan industri seni tanah air.Ketika hayatnya, Nasir sempat menghasilkan Buku Bapaku P Ramlee yang dilancarkan Presiden Badan Warisan Malaysia, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, 29 Mei lalu. Buku yang dihasilkan selepas 34 tahun bapanya meninggal dunia itu dianggap buku kenangan peribadi Nasir kepada bapanya yang menyingkap kisah suka duka sebagai anak kepada seniman agung tanah air.Dalam buku itu, Nasir juga menceritakan dia tidak lahir dalam 'dulang emas', sebaliknya dibayangi bayang-bayang kehebatan bapa dan nama besar keluarganya. Sekalipun kesihatannya tidak mengizinkan, Nasir sempat menjayakan persembahan penghargaan buat P Ramlee bertemakan Air Mata di Kuala Lumpur di Panggung Eksperimen (ET), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang berlangsung dua hari bermula 15 Julai lalu bersama anaknya, Najwa.Buat pertama kali, Nasir juga berkongsi pentas bersama anaknya mendendangkan lagu Senandung Kasih dicipta dan didendangkan bapanya dulu.Band pimpinannya, Nasir & The Melodies juga mengiringi persembahan artis seperti R Ismail, Datuk Aziz Satar, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Amy Search dan Sara Loo di Laman Santai IB sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan, baru-baru ini.Beliau juga pernah tampil dengan album komedi, Nasir Tan Sri P Ramlee & Mamu Maidin yang mengembalikan nostalgia peminat mereka pada tahun lalu.Bakat seninya turut diwarisi anaknya yang juga cucu P Ramlee, Natasya dan Najwa yang mengikuti pengajian dalam jurusan seni di Aswara.

No comments: