Tuesday, December 16, 2008

Perang Kate, Camilla


DENGAN kemeriahan musim perayaan menjelang tiba, ada desas-desus menyatakan saingan semakin sengit berlaku di Istana Buckingham — sengketa diraja yang membabitkan Camilla, isteri Putera Charles dan Kate Middleton, kekasih Putera William.Dengan kedua-duanya berpotensi untuk menjadi bakal permaisuri bersama-sama pewaris takhta, Putera Charles dan anaknya, William, sumber yang rapat dengan istana berkata, Camilla dan Kate kini bersaing mengenai siapa terlebih dulu akan mendapat kunci Istana Buckingham.
.
Walaupun Camilla lebih hampir untuk terpilih menjadi permaisuri memandangkan Charles ada pada tangga teratas senarai pewaris takhta, namun rasa tidak puas hati rakyat Britain terhadapnya sungguh ketara.
.
Kajian pendapat yang diadakan baru-baru ini mendapati, jika pungutan suara diadakan mengenai siapa yang akan memerintah selepas Ratu Elizabeth — Charles dan Camilla atau William dan Kate — pasangan Kate dan William akan meraih kemenangan besar.
.
Kate tidak melakukan sebarang kesilapan sejak dia berkenalan dengan William di universiti di Scotland. Namun, apa yang bermula dengan khayalan untuk menjadi puteri kini menjadi matlamat sebenar.
.
Kate, 26, hanya mempunyai satu pekerjaan sejak menamatkan pengajiannya. Dia bekerja empat hari seminggu sebagai pembeli untuk sebuah rangkaian butik fesyen, Jigsaw.
.
Bagaimanapun, dia berhenti tidak sampai setahun selepas mula bekerja. Rancangan untuk bekerja di sebuah galeri lukisan juga ditangguh. Kini, dia mengumpul dan menyunting katalog untuk syarikat aksesori parti milik ibu bapanya.
.
Sumber istana berkata, Kate terlalu sibuk untuk bekerja kerana mahu merancang masa depannya dan memastikan dia tidak tersilap langkah sementara menanti William menamatkan latihan dengan Tentera Udara Diraja Britain.
.
Berulang kali dia mengadakan pertemuan empat mata dengan Ratu Elizabeth di Istana Buckingham dan juga Istana Windsor pada hujung minggu. Satu-satunya yang tidak kelihatan masa ini ialah cincin.
.
Sejak beberapa bulan lalu, Kate dilihat banyak tertumpu kepada perkahwinan.Sebelum ini, dia tidak mengendahkannya kerana Akta 1772 Peraturan Perkahwinan Diraja Britain menetapkan, adalah menjadi kesalahan bagi keluarga diraja bawah usia 25 tahun berkahwin tanpa kebenaran raja yang memerintah.
.
Undang-undang itu digunakan oleh Ratu Victoria terhadap beberapa kerabat diraja, termasuk menghalang percintaan Puteri Margaret dengan Kapten Tentera Udara Diraja Britain, Peter Townsend.Namun, pada usia 26 tahun, William kini sudah memperoleh lampu hijau untuk berkahwin dengan Kate.
.
Lebih-lebih lagi Kate sudah dapat menambat hati Ratu Elizabeth.“Jangan terpedaya. Kate bukan bodoh atau tidak kisah walaupun dia kelihatan seolah-olah tidak mengendahkan kedudukannya apabila berkahwin dengan William kelak. Dia tahu apa yang dihajatnya.“Dan apa yang dimahukannya ialah mentadbir Britain bersama William dan hidup bahagia sepanjang hayat,” kata seorang rakannya.“Dia memberi tumpuan terhadap keinginannya. Dia sedar dia dan William boleh membawa perubahan yang diperlukan bagi mengembalikan kegemilangan keluarga diraja Britain.“Mereka boleh menyelamatkan keluarga itu. Mereka masih muda, masih bertenaga dan menjadi sebahagian besar generasi abad ke-21,” kata rakannya.
.
Namun sumber yang rapat dengan Camilla berkata, isteri Charles itu juga bercita-cita menjadi pemaisuri. Dia dikatakan memberitahu Charles, dia tidak bersedia menerima sesuatu yang kurang daripada itu — lebih-lebih lagi setakat gelaran Puteri Diraja.“Dia terus mendesak untuk mendapat lebih banyak dan gelaran lebih tinggi,” kata seorang rakan rapatnya.
.
Menurutnya, Camilla yang dulunya senang bergaul dan ramah, kini mengambil sikap seperti diva sambil dia berusaha untuk menduduki takhta dengan gelaran Permaisuri.“Baru-baru ini, ketika ke luar negara, pembantu Camilla terlupa menyediakan kasut kegemarannya. Dia mengarahkan kasut berkenaan supaya diterbangkan dari London ke negara yang dilawatinya,” kata rakannya.Dengan Putera Charles — orang paling lama dalam sejarah Britain menanti untuk menjadi raja — menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 baru-baru ini, Camilla sedar dia mungkin tidak dapat melihat suaminya ditabal menjadi raja.Lebih buruk lagi, rakyat Britain dibenarkan mengundi untuk memilih raja dan permaisuri baru, dan ia mungkin menjadi bencana kepada Camilla.

No comments: