Saturday, January 3, 2009

Kunyah gula-gula getah tingkat daya tumpuan?


Seringkali anak-anak kita tidak dapat menumpukan perhatian mereka kepada sesuatu perkara. Walaupun ini tidak dianggap sebagai sesuatu penyakit, namun ia cukup membimbangkan ibu bapa. Tiada guna sekiranya mereka dipukul atau dimarahi. Sebaliknya, kenapa tidak mencuba cara-cara yang dicadangkan oleh Pensyarah Fakulti Psikologi, Universiti Chung San, China, Profesor Gao Ting Kok.
Menurut Ting Kok, daya tumpuan kanak-kanak boleh mula dilatih sejak berumur satu hingga dua tahun. Misalnya apabila bercerita, ceritanya kenalah pendek, bahasa yang diguna harus berkaitan dengan ciri-ciri kanak-kanak dan gambar haruslah berwarna-warni.
Apabila berumur tiga hingga empat tahun, mulalah lakukan aktiviti mudah yang akan berterusan untuk jangka masa yang lebih panjang seperti mencantum jigsaw puzzle.
Bagi kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun, ibu bapa boleh menyuruh mereka melengkapkan sesuatu kerja dalam jangka waktu yang ditetapkan.
Misalnya, biar anak-anak mengulangi semula cerita yang lebih kompleks yang telah diceritakan kepada mereka.
Apabila telah memasuki bangku sekolah, latihan harus ditekankan kepada mempelajari matlamat pembelajaran yang lebih khusus dan memupuk minat yang lebih stabil. Oleh kerana membuat kerja rumah adalah aktiviti yang berobjektif, disedari dan meliputi proses permulaan dan penamatan, maka biarlah anak anda kerap melakukan kerja-kerja rumah kerana ia boleh membantu menguatkan daya tumpuan mereka.
Apabila tiba pada peringkat menengah rendah atau tinggi, anak-anak akan mengalami perubahan biologi dan psikologi, menyebabkan emosi mereka amat mudah terganggu. Oleh itu apabila ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak dapat menumpukan perhatian, janganlah dimarahi mereka dengan nada yang tinggi.
Sebaliknya, ibu bapa boleh melakukan aktiviti yang boleh membantu meningkatkan daya tumpuan mereka, seperti bermain ping pong dan badminton.
Menurut Ting Kok, berdasarkan kajian, bermain ping pong dan badminton membolehkan tumpuan difokuskan kepada objek yang bergerak untuk jangka masa yang panjang dan inilah cara yang baik untuk meningkatkan daya tumpuan secara berterusan.
Selain itu, sekiranya anak-anak tidak dapat menumpukan perhatian yang lama semasa pembelajaran, cara-cara berikut boleh dilakukan:
1. Melakukan beberapa aktiviti yang tidak saling bercanggahan; misalnya mempelajari perkataan bahasa Inggeris semasa menggosok gigi.
2. Pilihlah persekitaran yang lebih sunyi untuk tujuan pembelajaran.
3. Jika keadaan mengizinkan, kunyahlah gula-gula getah. Ini kerana mengikut kajian psikologi terbaru, mengunyah gula-gula getah boleh membantu meningkatkan daya tumpuan untuk jangka masa yang panjang.

No comments: