Puan Hasanah dalam e-melnya melahirkan rasa kecewa kerana sikap ibunya yang dianggapnya tidak berperikemanusiaan dan kejam terhadapnya, semuanya kerana dia tidak dibesarkan oleh ibunya. Sebaliknya diserahkan kepada nenek untuk dibesarkan, sejak dia berusia tiga bulan, kerana ibunya mendakwa kelahirannya punca rumah tangga ibunya hancur.
''Lepas nenek meninggal dunia, mak layan saya macam anak tiri. Mak selalu cari kesalahan saya. Dituduhnya saya hati batu, dengki, degil dan lain-lain. Saya sering tertanya apa dosa saya hingga setiap percakapan dan perbuatan saya asyik tak kena di mata mak. Macam-macam benda saya buat untuk ambil hati emak. Tetapi semua dia tak suka.
''Bila saya fikirkan masalah saya ini, saya rasa semuanya kerana saya tidak tidak dipelihara oleh mak dan ayah kandung sendiri. Terlalu berat dugaan yang Allah berikan kepada saya. Saya dibesarkan oleh nenek dan datuk di kampung setelah emak bercerai. Mak kata saya anak jahat sejak dalam perut, masa kecil dulu saya tak faham maksudnya, dah semakin besar saya cuba mencari ertinya yang sebenar.
''Kerana hidup sunyi duduk dengan nenek akhbar Utusan Malaysia jadi kawan baik saya terutama Mingguan Malaysia, dan saya mula kenal dengan DCCK sejak tahun 1980-an lagi ketika saya berusia 12 tahun.
''Kalau tak dapat baca Pancaindera ketika itu saya jadi ketagih, saya jadi taksuk dengan cerita dan kisah pahit manis alam perkahwinan, terutama setelah memikirkan diri yang dipelihara oleh nenek setelah emak dan ayah bercerai.
''Namun saya masih terdengar kata-kata nenek ketika saya di sekolah menengah dulu, katanya, ''Bilo nenek dah mati sok, tak taulah apo nak jadi dongan kau! Ontah apolah orang nak buek kat kau? (nenek saya orang Negeri). Tepat seperti kata-kata nenek, sejak nenek meninggal hinggalah saya berkahwin, saya tidak pernah disukai oleh ibu saya sendiri.
''Kini sudah empat tahun saya tak jumpa emak. Namun tak pernah terniat dihati jadi anak derhaka, tapi apalah maknanya kami berjumpa kalau hati mak ak pernah ikhlas menerima saya, malah menganggap saya sudah mati.
''Kisahnya bermula bila saya sekeluarga pindah ke rumah baru, dengan ikhlas hati saya ajak emak tinggal dengan saya. Sebab saya kesian emak duduk berhimpit-himpit dengan keluarga kakak yang ramai anak, lepas tu terpaksa turun naik flat empat tingkat. Kesian emak kena jaga kesihatan, umur semakin tua, jadi biarlah saya jaga emak pulak.
''Walaupun rumah kakak ada tiga bilik tapi yang satu tu kecil jadi tentu mak duduk tak selesa. Bila adik beradik datang rumah tu sesak bukan saja padat dengan orang, tetapi juga dengan perabut. Sampaikan nak tengok tv pun berhimpit-himpit.
''Mulanya mak macam berat hati nak ikut tapi lepas saya dan suami pujuk akhirnya dia setuju. saya ingat lagi, masa tu saya tengah sarat mengandung lapan bulan anak keempat. Tiba harinya, suami ditemani kawannya, menyewa van pergi ke selatan ambil emak bersama barang-barangnya. Pagi lagi dia bertolak supaya dapat balik hari yang sama.
''Baru tiga bulan sebumbung ada cuti umum panjang suami ajak saya balik ke kampungnya, kami ajak emak ikut sama. Tetapi dia menolak sebaliknya minta hantarkan ke rumah adiknya di Melaka. Kami ikut sahaja kehendak emak. Kerana itu pilihannya.
''Tetapi peliknya malam sebelum kami bertolak ke kampung suami mak panggil suami saya dan dia beri 'kuliah panjang'. Mulanya saya ingat mereka berbual, tetapi suara emak sahaja yang bercakap. Keras bunyinya. Saya ambil kesempatan 'pasang telinga'.
''Saya dengar emak bercerita pasal saya dari kecil dan kenapa dia serahkan saya kepada nenek dan datuk. Malam itu baru saya dapat jawapan yang saya cari-cari selama ini apa sebenarnya makna tuduhan dan sindiran emak kepada saya sejak saya kecil bahawa saya ''anak jahat sejak dalam perut." Sungguh saya tak sangka emak kata saya jahat sejak dalam perutnya lagi.
''Bila teringatkan kata-kata emak baru saya teringat dulu nenek pernah bercerita sejak emak mengandungkan saya emak sering bergadung dengan ayah saya, emak kata ayah main kayu tiga. Mereka bergaduh siap tolak-menolak. sekejap mak tersandar ke dinding, sekejap ayah pula tersasar. Mak saya panas baran ayah pulak cool.
''Disebabkan selalu 'berperang' dan tension, apatah lagi emak tengah mengandung, mak selalu hangin, sampai emak pernah cuba bunuh diri dilanggar kereta, nasib baik ada orang selamatkan.
''Kerana selalu sangat bergaduh tak kira siang malam, saya yang dalam perut emak, turut rasa 'terseksa'. Sebab tu saya dilahirkan ketika 7 bulan. Kerana itu emak anggap saya anak sial. Ye la, kerana mengandungkan saya emak bercerai. Jadi saya ni pembawa malang dan dikatakan 'anak jahat dari dalam perut'' jadi punca dia bercerai. Tapi emak lupa bahawa hidup mati, rezeki, jodoh itu semua adalah ketentuan Allah jua.
''Namun itulah kenyataan dan punca saya dilayan macam anak tiri bukan sebagai darah daging sendiri. Selepas mendengar penjelasan emak apa makna 'anak jahat sejak dalam perut,' saya jadi sedih teramat sangat sampai nak tengok muka emak pun tak sanggup.
''Saya rasa kecewa kerana dari saya kecil hinggalah saya berusia lebih 30 tahun ini emak masih tak puas hati tuduh saya anak sial punca dia diceraikan, emak tak pernah berfikir bahawa jodoh pertemuan adalam ketentuan Allah, saya tak tahulah apakah kerana emak terlalu sayangkan ayah atau kerana tak dapat nak kawal pergerakan ayah kerana ketika itu dia mengandung.
''Mungkin fikirnya kerana dia mengandung maka dia tidak disukai ayah dan punca ayah cari wanita lain. Apakah itu salah saya yang ada dalam kandungannya?
''Kerana sedih dengar tuduhan emak, saya jadi sugul dan tak mahu bercakap dengan emak, sebab saya takut keadaan jadi lebih gawat. Akhirnya emak minta dihantar balik ke rumah kakak.
''Tak sudah di situ emak minta balik duit yang dia beri kat saya untuk buat kabinet dapur sebanyak RM2,000. Manalah saya nak cari duit sebanyak itu dalam masa singkat, lagi pun saya tak pernah minta, emak yang nak sangat buat kabinet tersebut.
''Kerana tak mahu gaduh panjang saya pinjam duit kawan RM500 bagi pada emak sebagai ansuran. Janji saya bakinya akan saya bayar kemudian. Semasa menghantar emak ke rumah kakak kami suami isteri tak ikut, kami sewakan van kawan minta tolong hantarkan. Semasa dalam perjalanan, saya jadi bahan cacian emak kepada kawan suami saya dan isterinya.
''Malunya tak boleh nak cerita, kerana emak mengadakan cerita tak betul, kerana saya tak lama tinggal dengan emak, sebab saya dibesarkan oleh nenek dan datuk, jadi mana emak tahu keburukan saya. Takkan punca emak bercerai kerana saya duduk dalam perutnya.
''Jadi mulai hari itu hingga kini, saya tak sanggup nak menziarahi mak. Hancur hati saya kerana dituduhan anak sial. Tiga bulan bersama emak bagaikan tiga tahun saya rasakan tekanan perasaan. Niat saya mengambil emak untuk menjaga sakit peningnya hingga ajal menjemput, rupanya tidak diizinkan Allah. Namun saya redha dan saya tetap berdoa kepada Allah agar emak diberikan kesihatan yang baik.
''Kepada pembaca yang baca kisah saya ini tak perlulah nasihatkan saya pergi menjengok emak. Tidak ada apa gunanya, kerana saya kenal benar perangai emak, dia terlalu keras hati, sekali dia benci dia akan benci selamanya. Apa yang boleh saya lakukan hanya berdoa untuk melapangkan hidupnya di dunia dan akhirat.
''Baginya dirinya sahaja betul, orang lain salah. Semasa saya bersengketa dengan emak, tiada seorang pun saudara mara mak tampil untuk memulihkan keadaan. Cuma selepas tiga tahun barulah adik lelaki mak telefon mau nasihatkan saya. Untuk apa? Peristiwa itu sudah lama berlalu. Saya tak mahu ceritanya dikorek semula, takut parut lama berdarah kembali.
''Namun saya bersyukur, sekurang-kurangnya hingga kini, saya masih jadi isteri orang, walaupun emak mengharapkan saya jadi janda, itu nasihatnya pada suami saya. Kerana katanya saya pembawa sial. Tapi hingga kini kami masih sebumbung dikurniakan anak-anak yang sihat dan comel-comel. Inilah kebahagian yang saya impikan selama ini, hidup di samping suami yang amat penyayang dan dilimpahkan rezeki seadanya.
''Walaupun sudah lama saya tak jumpa emak, tetapi saya sentiasa mendoakannya sihat sejahtera dan melalui hidup ini dengan penuh keinsafan, ingatkan Allah dan lupakan saya sebagai anak sial yang didakwa telah menghancurkan hidupnya.'' Demikian cerita Hasanah panjang lebar yang kecewa didakwa sebagai anak sial.
Sebenarnya ramai yang suka menyalahkan orang lain daripada mencermin diri sendiri. Terutama apabila gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati. Kerana itukan lebih mudah.
No comments:
Post a Comment