Monday, May 11, 2009

Rahsia hati seorang ibu


RASANYA tidak terlewat bagi saya merakamkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada kaum ibu Malaysia yang disambut semalam.
Apakah persediaan anda untuk menyambut Hari Ibu kali ini? Sudah dibelikan hadiah istimewa untuk ibu tersayang atau cukup sekadar dakapan kasih dan ucapan penghargaan?
Saya pasti kebanyakan ibu tidak mengharapkan hadiah istimewa dan berharga daripada anak-anak, memadai ucapan dan kata-kata sayang, itu sudah menjadi penawar kepada sebuah kerinduan yang ditanggung oleh ibu.
Apa pun sambutan yang bakal anda raikan, satu perkara yang perlu kita ingat, sebesar mana sekalipun nilai hadiah yang anda berikan tidak akan sama dengan kasih sayang dan perhatian yang seorang ibu harapkan daripada anak-anaknya.
Letakkan wang ringgit menggunung, harta berbukit-bukit mahupun perhiasan yang berkelip-kelip, ia tidak akan semegah dengan kasih sayang yang anak-anak berikan.
Kasih sayang yang saya maksudkan adalah ketelusan anak-anak dalam menjaga dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Perhatian dan kasih sayang itulah yang sebenarnya berkurangan dalam diri anak-anak pada masa ini.
Di sebalik meraikan kedatangan Hari Ibu dengan majlis dan pesta makan-makan, apa kata kita renung sejenak, sudahkah kita sebagai anak benar-benar telah menjalankan tanggungjawab terhadap ibu dengan sebaik-baiknya?
Cukupkah perhatian, kasih sayang dan bantuan yang kita hulurkan untuk ibu agar dia dapat meneruskan kehidupannya sehingga ke hujung nyawa. Bagi yang tidak punya ibu lagi, sudahkah cukup bersedekah dan berdoa untuk kebahagiaan arwah ibu di alam baqa?
Saya tidak ada jawapan pasti yang boleh diberikan kerana sebagai anak saya yakin kebanyakan daripada kita tidak pernah terfikir untuk mengukur atau mahu mencatatnya sepertimana kita mengisi diari harian untuk memenuhi tanggungjawab yang sarat di pejabat, aktiviti dan lain-lain perkara sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.
Pernahkah kita bayangkan bagaimana setianya ibu menunggu kepulangan anak-anak yang tidak kunjung tiba kecuali musim cuti sekolah atau ada kematian dan kenduri-kendara. Juga berapa kerap kita bertanya keperluan ibu walaupun dia tidak pernah bersuara dan tidak pernah meminta-minta.
Malah kita langsung tidak pernah cuba mengorek rahsia hati ibu sendiri - tentang perasaannya menangani kerenah anak- anak yang pelbagai, hati seorang ibu yang sering tersenyum di sebalik derita dan hati yang terguris luka.
Seorang ibu yang menangis di kala gembira dan meratap di kala duka kerana anak-anak. Satu perkara yang nyata, apabila balik kampung untuk bertemu ibu, perkara pertama yang kebanyakan dilakukan oleh anak-anak meminta ibu memasak yang sedap-sedap.
Kononnya hendak bermanja tetapi kita lupa sebenarnya kita menyusahkan ibu. Dalam keletihan ibu bangun dan berusaha melakukan yang terbaik untuk menggembirakan anak-anak. Malah ada juga yang meletakkan anak-anak di bawah jagaan ibu.
Tidak pernah dia merungut, tidak pernah dia berkata tidak mahu. Juga tidak pernah dia membebel atau berpaling muka. Bukan untuk anaknya saja, tetapi juga untuk menantu dan cucu-cucu bagi mereka yang telah mendirikan rumah tangga. Wajarkah tindakan kita itu walaupun pada hakikatnya ibu yang beria-ia hendak melakukannya.
Berlainan pula ceritanya dengan kisah ibu yang sekadar mengharapkan anak-anak tetapi realitinya harapan hanya tinggal harapan kerana anak yang dinanti tidak muncul-muncul.
Sebabnya? Kerana anak-anak tidak menilai kasih sayang dan pengorbanan yang telah ibu mereka lakukan sejak mereka lahir, diasuh menjadi dewasa, berjaya dalam pendidikan, berjawatan tinggi tetapi pendek akal untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu.
Lebih menyusuk jiwa apabila ada di antara mereka lupa siapa yang mengandung dan mendidik mereka. Seorang wanita tua yang telah kering air mata menangisi mereka, seorang ibu yang bercekang mata menjaga mereka ketika tidur diganggu nyamuk yang mengganas.
Tapi adakah kita insaf pada pengorbanan itu? Adakah kita menganggap sebagai sejarah yang tidak perlu diingat lagi. Aduhai, sedihnya hati ibu jika demikianlah anggapan anak-anak.
Menyelami hati
Berdosa kita jika tidak menyelami hati seorang ibu, mereka yang dikurniakan fitrah sebagai insan istimewa yang punya nilai keibuan yang cukup tinggi, sarat dengan kasih sayang, penyayang dan prihatin.
Lalu teringat pada kisah zaman anak-anak di mana kebanyakan kita selalu ingkar kepada arahan ibu. Suruh itu ini kita tak mahu buat, kita membebel, marah-marah, bentak-bentak dan selalu hilang dari rumah. Kita rela bermain sehari suntuk daripada menolong ibu di rumah.
Meningkat remaja kita mula melawan cakap ibu. Sudah pandai berkawan lain pula perangainya. Bila ada pendidikan tinggi, lupa pula sejarah hidup dan kepayahan ibu bapa mendidik dan membesarkan kita. Dapat isteri atau suami, kasih terbahagi dua tapi kita tidak tahu menimbangnya dan menjaga hati ibu.
Cakap ibu tidak lagi dijadikan azimat tetapi sering dijadikan topik untuk bertikam lidah. Sampai ke tahap kita buat semua perkara tanpa pengetahuan ibu. Perkara yang kita suka tetapi tidak boleh diterima oleh ibu kita dahulukan.
Ada yang berfikiran waras, nasihat dan teguran diambil kira, sayang sekali bagi mereka yang hanya menurut kata hati, teguran ibu bagaikan belati menyusuk hati, hingga hilang jati diri.
Akibatnya bertindak ikut nafsu sehingga ibu makan hati. Namun anak tidak pernah merasainya, bagi mereka bahagia jika dapat apa yang dihajati. Kita lupa perbuatan kita melukai hati ibu. Namun dia tetap tersenyum. Itulah ibu! Tak pernah nak ambil hati dengan perangai anak-anak.
Seperti bapa, ibu juga adalah manusia yang punya hati dan perasaan ciptaan Allah SWT. Allah menuntut di dalam al-Quran supaya ibu dan bapa adalah orang yang paling perlu dikasihi dan dihormati setiap masa.
Kemewahan dan harta benda kini menjadi asas nilai kasih sayang sesama manusia termasuk kepada ibu bapa. Janganlah kerana pentingkan diri sendiri kita sanggup membunuh perasaan dan cinta kasih sayang kepada ibu.
Allah menzahirkan perasaan sayangnya-Nya kepada manusia melalui ibu yang mengandung, melahir dan mendidik kita . Sudah cukup derita yang mereka tanggung sebelum kita lahir ke dunia. Sifat kasih dan penyayang ibu ini bukan ciptaan dan lakonan tetapi realiti fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada si ibu.
Itulah sebabnya menderhaka kepada ibu bapa adalah salah satu dosa besar yang tidak boleh diampun kecuali oleh mereka sahaja dan balasannya akan diterima bukan sahaja di akhirat, malah di dunia.
Sehubungan itu, seperti yang saya katakan di awal catatan ini, sesekali elok kita cermin diri, kita renung dan berfikir, apakah cukup sudah pengorbanan dan jasa ibu yang kita balas?
Jawapannya tentu belum cukup. Sampai bila-bila pun tidak akan cukup. Tetapi masih ada ruang untuk kita menambah baik apa yang tertinggal, menebus kesilapan dan kekurangan. Masih belum terlambat sebelum ibu menutup mata.
Jika anda masih belum sedar dan leka dengan alam fantasi, jangan salahkan keadaan jika terjadi sesuatu yang bakal menjadikan kita sebagai anak yang akan menyesal seumur hidup.
Ketika itu, menangis dengan air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi. Ingatlah, doa seorang ibu paling mustajab, begitu juga sebaliknya. Jika pun mereka ada tersilap, jangan simpan di hati.
Emas yang setinggi gunung sekalipun tidak akan menjamin kebahagiaan di dunia, apatah lagi di akhirat jika melukai hati ibu. Sekalipun kita sedekahkan kesemua harta yang ada, ia tidak dapat menebus dosa kita terhadap ibu.
Dengan rasa rendah diri dan insaf, marilah kita cermin diri. Jangan hanya beria-ia untuk bersuka-suka dan menggembirakan hati ibu dengan acara glamor semata-mata tetapi fikirkanlah jariah yang boleh membawa kebahagiaan buat kita sehingga ke akhir hayat.
Doa saya buat semua ibu-ibu semoga anda semua sihat dan diberi kekuatan untuk terus menjadi pelindung kepada kesinambungan sebuah kehidupan buat buat zuriatmu.
Terima kasih atas segala pengorbanan dan jasa. Kepada mereka yang telah tersilap langkah meninggalkan rumah dan pernah melukai hati ibu atau apa-apa sahaja, pulanglah! Dan katakan maafkan saya ibu!
Istimewa buat wanita istimewa dalam hidup saya yang bernama Rona, terima kasih kerana sentiasa ada untuk berkongsi cerita. Sebagai anak, saya tahu kekosongan dan kerinduan mak kepada Kak Long. Sebenarnya kita semua sama-sama rindu mak!
Menutup kata, pesanan telus saya, wanita, isteri dan ibu ibarat matahari yang tidak pernah hilang, sentiasa bercahaya, panas dan membakar.
Salam.

No comments: