Sunday, May 17, 2009

Suamiku Penagih Dadah

DALAM pertemuan saya baru-baru ini dengan Norshahira di sebuah restoran di ibu kota, saya jadi kagum dengan kekuatan semangat, keazaman serta rasa tanggungjawab yang ditunjukkan oleh Norsahira demi mengembalikan keharmonian dan kasih sayang dalam keluarganya, walaupun dia tahu dia tidak akan mendapat kerjasama dari suaminya.
''Saya tahu saya perlu banyak bersabar. Dalam masa yang sama saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dilakukan oleh suami saya Bad kerana dia suka berbohong. Perbuatan yang menjadi kebencian saya. Berbanding saya suka kejujuran dan workaholic. Kerana kuat kerjalah saya terlewat berkahwin.
''Namun Allah menemukan saya dengan Bad melalui seorang kawan. Walaupun dia ada menceritakan siapa Bad sebenarnya, tetapi entah macam mana perasaan saya bertukar jadi suka kepadanya, mungkin kerana perasaan kasihan agaknya.
''Dalam masa tak sampai empat bulan saya membuat keputusan untuk bertunang dan berkahwin, walaupun saya tahu latar belakang hitam Bad yang sering keluar masuk pusat dan penjara.
''Saya dapati Bad baik hati, ikhlas, dan dia memang berusaha untuk memulihkan dirinya, dan sebagai pegawai atasan ketika itu saya dapat lihat dia memang mahu berubah, cuma dia tidak ada kekuatan untuk menahan ombak dan badai, tanpa seseorang di belakangnya. Dan saya juga berpendapat semua orang harus diberi peluang untuk berubah.
''Untuk mencapai hasrat itu saya berharap selepas setahun berkahwin saya mesti letak jawatan untuk sentiasa di sampingnya, kerana dia tidak boleh bersendirian. Di samping itu saya mesti meminggirkan ramai kawan-kawan saya, kerana saya perlu beri perhatian kepada Bad.
''Bad juga mesti buang kawan-kawan lamanya, kerana kita sedia maklum orang sepertinya, biasanya hancur atau mudah terpesong jatuh kembali ke lubuk lamanya kalau terjumpa kawan-kawan yang tak betul.
''Tetapi entah macam mana, walaupun duduk serumah, tetapi saya dapat rasakan hubungan kami tidak begitu rapat. Jiwa saya terasa kosong. Tak seperti kami mula berkahwin dulu. Bad balik ke rumah tetapi dia sentiasa cuba menjauhkan dirinya dari saya, dia sering memberi alasan penat dan tertidur kerana keletihan dan macam-macam. Dia tak mahu berbual seperti dulu.
''Nak jadikan cerita satu hari saya diarahkan menghadiri mesyuarat di luar daerah selama tiga hari, tetapi masuk hari kedua saya terima berita yang amat mengejutkan Bad kena tangkap ketika sedang menagih. Terkejut saya, sebab sebelumnya dan selepas berkahwin, Bad menunjukkan tanda-tanda dia sudah pulih dari menagih.
''Habis meeting, saya berkejar balik untuk menjamin dia. Ketika itu jualah saya ambil keputusan segera berhenti kerja. Permohonan diluluskan. Saya balik ke KL, mungkin di tempat baru yang jauh dari tempat asalnya mungkin Bad tidak terjebak. Lagi pun setelah berhenti kerja saya boleh bersamanya dan buat kerja bersama, mungkin dia boleh berubah.
''Tak lama di KL saya hamil. Semasa di hospital dan dalam pantang Bad banyak membantu saya, menyediakan air panas untuk mandikan baby, masak makanan khas saya, menjaga baby semasa saya berurut.
''Walaupun tak bekerja, tetapi saya reda, mungkin inilah ujian yang diberi Allah kepada saya untuk memberi saya banyak pahala lagi. Dan mungkin ada rahmatnya kepada saya nanti.
''Dalam pada itu dia banyak membantu saya membuat banyak kerja yang saya lakukan dari rumah yang membawa banyak pendapatan kepada kami suami isteri, Entah macam mana dalam pada membantu saya bekerja inilah dia berkenalan dengan seorang lelaki yang kononnya boleh membantu dia berdikari.
''Oleh kerana niatnya baik saya izinkan. Tetapi setelah dia bekerja dengan kawannya ini, langkahnya semakin jauh dari saya. Alasannya kerana tugas, balik subuh sudah jadi perkara biasa.
''Dalam pada itu saya mengandung kali kedua, ketika itu anak yang tua sudah berusia tiga tahun. Dia amat bijak, berbanding usianya. Saya terasa amat bahagia. Tetapi semasa mengandung lima bulan perubahan Bad jadi amat ketara. Hobinya suka tengok benda-benda lucah dalam internet. Lagi pelik dia tidak pernah tidur dengan saya sehingga saya habis pantang. Mana dia lepaskan nafsunya setelah melihat benda-benda lucah tu? Satu persoalan yang mengganggu fikiran saya.
''Satu kelemahan saya terlalu sayang dan percayakan suami, akibatnya banyaklah bil-bil yang tak selesai dibayar. Hati saya mula mengesyaki perkara yang tak baik, dalam diam saya buat kajian tentang dadah, saya bertanya mereka yang tahu pasal dadah dan saya layari internet mencari bukti mengenal mereka yang menagih dadah, dan jenis-jenis dadah yang popular kini dan kesannya kepada orang yang mengambilnya.
''Sebenarnya dadah zaman sekarang sukar nak kesan orang yang menaih. Kalau dulu heroin orang yang menagih nampak haggard, leleh dan lentok, tetapi dadah moden sekarang seperti syabu, ice, pil kuda, morfin dan banyak lagi, ia akan membuat seseorang itu hyperaktif, tak tidur, segar bugar, dan tak mengantuk. Badan tak kurus sebaliknya elok macam biasa.
''Sikap seperti ini tahan dua atau tiga hari, lepas itu kena ambil lagi kalau nak segar. Kalau tidak ambil dadah lagi dia akan mengantuk dan lemah. Tetapi lama kelamaan ia akan membunuh nerve penagihnya secara tidak disedari.
''Kerana bimbangkan dirinya, saya sering bertanya mengapa dia lambat balik, jawapan yang diterima tak macam dulu, suara mula meninggi, ketakutan mula menguasai diri saya, sebab saya tak tahu dirinya di bawah kuasa dadah jenis apa, saya bimbangkan keselamatan diri dan anak-anak. Manalah tahu kalau dia naik angin, kami bakal menjadi mangsanya pulak.
''Kerana selalu bertanya dia mula mengubah cara tidak lagi balik malam, tetapi keluar pagi dan balik malam. Tetapi bila ada di rumah dia adalah suami yang baik, banyak membantu saya buat kerja rumah seperti mencuci pakaian, melipat, cuci pinggan mangkuk, kalau malam dialah yang bagi susu anak. Lebih baik semasa saya dalam pantang anak kedua, dialah jadi pembantu saya.
''Tetapi selepas habis kerja rumah dia akan keluar dan malam baru balik. Bila ditanya katanya ada kerja, tolong kawan alasannya nak cari sedikit duit paling tidak untuk beli susu anak. Alasannya memang baik membuat mulut saya tertutup.
''Satu lagi tabiat buruknya, sebaik sahaja dia keluar rumah, saya tidak dapat menghubunginya, telefon dia tutup ataupun tidak mahu dijawab. Kalau berlaku sesuatu yang buruk ada kemalangan, kematian, atau apa sahaja saya tidak akan dapat hubunginya, dan dia tidak akan tahu hinggalah dia balik ke rumah malam nanti.
''Puas saya nasihatkan supaya jawab panggilan telefon, tapi dia tidak menjawab. Paling tidak dia beritahu telefon tertinggal dalam kereta, tak terdengar dan macam-macam alasannya.
''Saya telefon hanya untuk memastikan dia tidak terjebak kepada perkara-perkara tak baik, tetapi dia tak peduli. Sebaliknya menganggap saya mengganggu hidupnya. Kerana itu saya dapatkan khidmat Friend Finders melaluinya, saya boleh mengesan ke mana dia pergi dan berapa lama dia berada di satu-satu tempat itu. Kerana kalau tertangkap saya jugak yang susah.
''Perkhidmatan ini tidak memakan belanja yang banyak, saya mampu, dan lebih penting saya boleh tahu sama ada dia berbohong bila memberitahu saya bila balik ke rumah nanti. Selalunya dia memang berbohong. Katanya pergi ke tempat A, tetapi sebenarnya di tempat E. Kadang-kadang dia kata tolong hantar kawan ke B sedangkan dia duduk empat jam di tempat G. Tak pernah satu pun soalan saya dia jawab betul, semuanya bohong belaka.
''Walaupun saya tahu dia berbohong, tetapi saya tak pernah tempelak dia. Saya nak tengok berapa lama dia nak berbohong. Friend Finders tak pernah berbohong, dia akan beritahu lokasi Bad berada dengan tepat. Lengkap dengan masa dan lokasinya secara detail.
''Walaupun kami baru enam tahun berkahwin, tetapi kelakuannya suka berjudi dan mengambil dadah amat menakutkan saya. Saya bimbang barang-barang hiasan dalam rumah kami juga bakal jadi mangsa curi dan gadaiannya satu hari nanti.
''Terbaru saya dapat tahu dia gadaikan barang kemas emaknya alasannya dia terpaksa kerana nak beli susu anak kami yang baru lahir. Sedangkan saya tak tahu hal tersebut, hinggalah satu hari adiknya datang bercerita. Mana muka saya nak sorok.
''Kini, saya tak tahu apa harus saya lakukan, nak tanya berdepan dan berterus terang saya takut tindakan aggeresifnya yang dikawal dadah tu. Saya juga takut dia terlibat dengan sindiket haram seperti dadah atau perempuan. Kerana saya tahu dia mungkin ada duit kerana mampu beli nombor ekor lebih seratus ringgit sehari. Tetapi dalam masa yang sama dia masih mengambil duit saya bila terluang.
''Saya luahkan perasaan hati saya ini kerana ingin mendapatkan pandangan pembaca apa patut saya lakukan, nak tunggu dia tinggalkan dadah tak mungkin terjadi, kalau nak suruh saya bersabar berapa lama lagi? Saya tak mahu anak-anak dan saya menjadi mangsanya".

2 comments:

Anonymous said...

hantar la suami puan ke persada sungai besi .. beri kata 2 kepadanya tinggalkan dadah atau puan boleh minta fasakh ... buatlah yg terbaik untuk diri sendiri tidak perlu berkorban kerana dia mmg x akan menghargai .. saya senasib dgn puan .. suami sy di persada sekarang .. peluang terakhir untuk dia memulihkan diri ..

Anonymous said...

saya juga senasib dengan puan, anak baru seorang, umur 6 tahun..sikap suami saya sma seperti suami puan...dan sekarang syaa mengambil keputusan untuk berpisah atas persetujuan bersama..suami tidak rasa bersalah kerana sentiasa menganggap dia betul..menunggu pun boleh tapi fasakh pun boleh, pilih mana yang akan lebih mendekatkan diri pada sang pencipta...