Oleh Borhan Abu Saman
MANTAN Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri (kanan) ketika melawat Prita Mulyasari di penjara wanita di Tangerang pada Rabu lalu untuk menguruskan usaha membebaskan wanita itu daripada tahanan sementara menunggu perbicaraan berhubung tuduhan salah guna Internet. – AFP
PADA 7 Ogos 2008, Prita Mulyasari dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Antarabangsa Omni di Serpong, dekat Jakarta. Dia dikejarkan ke situ pada pukul 8.30 malam kerana demam panas selama tiga hari. Ujian darah menunjukkan dia menghidap demam denggi berdarah.
Prita dipindahkan ke sebuah hospital di Bintaro pada 12 Ogos setelah dia tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh Hospital Omni itu.
Wanita itu pada 15 Ogos mengirim surat elektronik atau emel kepada lima rakannya yang berjudul “Penipuan Hospital Antarabangsa Omni” dan surat berkenaan terus beredar di alam siber.
Pada 6 September dia disaman fitnah oleh dua orang doktor hospital tersebut dan Prita kalah dalam kes berkenaan serta diarahkan oleh mahkamah supaya membayar ganti rugi kira-kira RM70,000.
Tidak berhenti setakat itu kes berkenaan turut dilaporkan kepada polis dan oleh kerana Prita didapati telah melanggar UndangUndang Maklumat dan Transaksi Elektronik. Dia ditangkap pada 13 Mei lalu dan dipenjarakan sementara munggu perbicaraan.
Tetapi terbukti nilai-nilai kemanusiaan masih lagi hidup. Selepas tiga minggu di dalam penjara, dia dibebaskan. Perintah penjara diganti dengan larangan meninggalkan kota.
Semuanya kerana kira-kira 26,000 pengguna Facebook bersatu hati menyatakan sokongan kepada Prita.
Lantas Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, Naib Presiden Jusuf Kalla dan mantan Presiden, Megawati Soekarnoputri turut campur tangan.
Selepas keluar penjara, Prita, seorang suri rumah dan ibu kepada dua orang anak itu terus sujud syukur.
Sepanjang sidang akhbar dia tidak henti mengalirkan air mata dan mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT.
Menurut Prita, dia telah melihat kekuasaan Allah dan berdoa supaya Allah membuka hati mereka yang terlibat supaya menghentikan perbuatan yang menyeksa diri dan keluarganya itu.
Kes Prita berbeza dengan senario kes model jelita Manohara Odelio Pinot yang mendakwa didera oleh suaminya, Tengku Fakhry iaitu putera Sultan Kelantan.
Selepas berbulan-bulan ibunya, Daisy Fajarina mengadu nasib kepada pelbagai pihak, tiada campur tangan oleh Presiden atau pemimpin negara lain.
Sebabnya mudah sahaja. Daisy cuba menjadikan masalah rumah tangga anaknya itu sebagai masalah negara yang boleh mengeruhkan hubungan baik Malaysia dan Indonesia.
Manohara bagaimanapun akhirnya pulang ke tanah airnya pada 31 Mei lalu selepas adegan mencemaskan – lari dari suaminya ketika berada di Singapura. Dia kelihatan cukup gembira dan masih mampu tersenyum dan melambai-lambai kepada wartawan.
Sejak itu Manohara begitu sibuk memenuhi undangan stesen televisyen yang mahu menemuramah model berusia 17 tahun itu.
Wartawan pula sanggup ‘berkampung’ di luar rumahnya sehingga tengah malam semata-mata untuk mendapatkan wawancara eksklusif.
Melihat riaknya, Manohara tentunya seorang yang cukup ‘tabah’. Ini kerana wajahnya sedikitpun tidak menunjukkan tanda-tanda “kemurungan atau trauma”. Walaupun dia berulang kali mendakwa telah didera secara seksual, fizikal dan mental oleh suaminya.
Pengajaran yang boleh dikutip daripada kejadian pertama ialah jangan sekali-kali menghantar surat elektronik atau pesanan ringkas dengan sewenang-wenangnya kerana kesannya terlalu besar.
Selepas ini pastinya orang ramai lebih berhati-hati untuk menulis sesuatu kerana menyedari risiko yang bakal dihadapi dan yang pasti keputusan kes Prita ini akan dijadikan rujukan oleh pengamal undang-undang.
Dalam kes kedua pula seperkara yang jelas dilihat betapa bahayanya apabila media diberi lesen untuk berjalan, tetapi menggunakannya untuk berlari.
Bermakna media terus menghukum suami Manohara sebagai bersalah, semata-mata kerana si suami tidak mahu mendedahkan kisah rumah tangganya kepada umum.
Isu sedemikian pula jika diperbesarkan tanpa kawalan boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara.
Bayangkan Manohara selepas ini akan meneruskan hidupnya dan terus hilang daripada fikiran kebanyakan kita, tetapi Malaysia dan Indonesia akan terus berjiran sampai bila-bila.
Kesudahan kedua-dua kes yang disifatkan sebagai si jelata dan si jelita pasti menarik untuk diketahui dan apa juga pengakhirannya tentu banyak pengajaran yang boleh dipelajari.
No comments:
Post a Comment