Friday, June 5, 2009

Mencandat Sotong







Aktiviti mencandat sotong amat sinonim dengan perairan negeri Terengganu dan lazimnya apabila menjelang akhir bulan April hingga Julai, pasti ramai datang berkunjung untuk merasai sendiri pengalaman itu.Bagi mereka yang pertama kali mencuba aktiviti ini akan terasa teruja lebih-lebih lagi apabila terbayangkan hasil tangkapan yang mampu mencecah sehingga puluhan malahan ratusan dalam satu malam jika terkena pada kandangnya.Itu pun jika seseorang itu tidak mendapat mabuk dek buaian bot yang berhayun mengikut alunan ombak terutama apabila sauh bot diturunkan.Oleh itu, bagi mereka yang kurang biasa melakukan aktiviti candat ini, pastikan anda mengambil ubat penahan mabuk laut terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada berputih mata dan makan hati apabila melihat rakan lain seronok menaikkan seekor demi seekor hasil tangkapan.Malah ada juga pelbagai petua dikatakan dapat menghalang daripada mabuk lauk yang turut diperturunkan termasuk menghidu kulit limau dan merasa sedikit air laut sebaik menaiki bot.

BERMULA MATAHARI TERBENAM


Namun, apa petua sekalipun jika tidak biasa dilambung ombak, mungkin seseorang itu terpaksa menggantikan aktiviti yang sepatutnya menjadi aktiviti mencandat sotong kepada aktiviti memberi "makan sotong" sehingga tiada lagi sisa-sisa dalam perut yang mampu dikeluarkan. Berbekalkan candat, tekong bot yang berpengalaman akan membawa peserta ke kawasan yang dikenalpasti menjadi lubuk atau kandang sotong kerana di sinilah kawasan utama haiwan ini mengawan dan bertelur.Lazimnya, kegiatan ini akan bermula ketika waktu matahari terbenam sehingga fajar menyinsing kerana sotong akan mula berkumpul dan bermain di sekitar kawasan bot disebabkan tertarik dengan cahaya lampu yang dipasang. Kerana itulah di pesisiran laut di seluruh negeri Terengganu bermula Kemaman sehinggalah ke Besut terutama perairan Pulau Redang, Pulau Kapas, dan Pulau Bidong pada waktu itu, kelihatan bagaikan ada pesta di tengah laut apabila diterangi dengan sinaran lampu yang ada pada bot-bot nelayan ini. Antara candat yang sering digunakan ialah candat jenis twist, udang, umpan, buntai dan pelbagai jenis candat yang mempunyai kail melebihi sepuluh mata yang dilekatkan pada timah dan dibaluti dengan kain yang berwarna-warni.

UMPAN TIRUAN


Namun kini, mata-mata kail berkenaan dihiasi pada umpan tiruan berbentuk anak ikan atau udang plastik yang berkilat. Cara untuk menggunakan alat ini pula ialah dengan melepaskan candat ke laut sehingga sampai ke dasar dan kemudian mengangkatnya kira-kira sejengkal dari dasar laut. Kemudian tanpa menggunakan banyak tenaga, peserta hanya perlu bermain dengan candat itu dengan `menarik melepasnya' bagi menampakkan seolah-olah candat itu hidup bagi menarik perhatian sotong untuk mendekati candat itu.Jika bernasib baik dan terkena pada kandangnya, candat belum sampai ke dasarpun, sotong telah tersangkut pada candat. Apabila terasa berat, segeralah menariknya ke atas bot untuk mengelakkan sotong itu terlepas dan dikhuatiri hanya janggut sotong yang terlekat pada mata kail candat itu.Tetapi awas! ketika menaikkan sotong, perlulah berhati-hati kerana dikhuatiri terkena dengan pancutan air atau dakwat sotong.

No comments: