Sunday, June 14, 2009

Lebih baik daripada ibu kandung



RATA-rata ramai yang bersetuju perjuangan mendapatkan nafkah untuk anak bukan mudah. Tidak keterlaluan jika dikatakan masalah wang boleh memusnahkan masa depan anak-anak kerana tidak mendapat pembelaan daripada seorang ayah. Kerana itu ramai pembaca setuju tindakan puan Elyza (DCCK minggu lalu) menyerahkan anak-anaknya kepada bekas suaminya.
Menurut Puan Rina dalam e-melnya daripada bergaduh, membazirkan duit, masa dan tenaga meminta nafkah dari bekas suami yang lalai lebih baik serahkan anak kepada ayahnya. Lagi pun anak-anak zaman ini bukan hidup dalam era zaman bawang putih bawang merah, menangis bila dipukul dan didera, anak-anak teknologi kini mereka tahu bertindak jika dianiaya.
''Ramai suami kini bersikap lepas tangan dan mengambil kesempatan dari kelemahan system mahkamah syariah sekarang. Oleh itu saya cadangkan ibu-ibu tunggal yang tak pernah dapat nafkah dari bekas suami, serahkan aja anak-anak pada ayahnya. Dan anda boleh ambil mereka pada hujung minggu kalau ada kesempatan. Biar mereka tanggung pula kerenah anak-anak dengan makan minum, duit saku, buku sekolah, pakaian seragam, tusyen dan sebagainya.
''Namun bekalkan anak-anak dengan pengalaman yang luas, semangat kental, rajin belajar, selain memperkasakan mereka supaya tidak lembik dan pasif menghadapi kemungkinan leteran ayah dan ibu tirinya. Tetapi jangan pula hilang hormat kepada orang tua,'' demikian kata Rina.
Berlainan pula dengan pandangan Puan Khuzaimah yang berpendapat beliau juga pernah jadi ibu tunggal dengan menanggung anaknya seorang diri. 'Bukan saya tak mahu minta nafkah, tapi dah naik benci, akhirnya saya tanggung anak sendiri. Agaknya suami ni bila dah bercerai dia memang tak pedulikan anak-anak, tambah-tambah bila dah dapat anak baru.
''Saya hairan, apakah para suami kini tak faham tanggungjawab mereka? Yang bercerai adalah antara suami isteri, anak-anak tetap miliknya, lainlah kalau anak-anak itu pun bertukar bin atau binti bolehlah dikatakan dia menceraikan anaknya. Tetapi rata-rata memang ramai ayah lepas bercerai tak mahu beri nafkah. Kenapa? Masalah ini kenalah tanya suami sendiri, ibu bapanya, mahkamah syariah dan ustaz-ustaz yang kurang sangat berceramah pasal nafkah.
''Dari pengalaman sendiri, saya dah malas nak minta nafkah, buang masa aja, malah membuatkan kita lebih sakit hati. Selama 10 tahun saya jadi ibu tunggal hingga anak saya berusia belasan tahun. Adalah dua kali anak saya dapat nafkah dari ayahnya, agaknya dia terkejut tengok anaknya dah besar. Tapi lepas tu hilang. Semua belanja hidup saya pikul, nasib baik seorang dan saya bekerja! Kerana itu saya cukup hati-hati bila ada lelaki nak melamar. Saya takut nak kahwin lagi.
''Niat saya nak didik anak selagi mampu dan saya bersyukur dia dapat tawaran sekolah berasrama penuh. Walaupun sayang tetapi saya terpaksa lepaskan demi masa depannya, dan niat saya supaya dia mendapat didikan sebaik mungkin di dunia dan akhirat.
''Bila dah tak ada anak di sisi semakin ramai lelaki yang berminat. Salah seorang daripadanya seorang duda beranak lima. Hazrami namanya. Katanya perkahwinannya hancur kerana kecurangan isterinya yang berlaku di depan matanya sendiri. Jadi kerana itu mereka bercerai. Dialah yang mendidik dan membesarkan empat dari lima orang anaknya sementara bekas isterinya memelihara anak bungsunya yang masih kecil.
''Waktu itu, saya memang tahu perkembangan hidupnya dan keluarganya kerana kami tinggal dalam satu taman perumahan. Melalui jiran dan kawan-kawan dia pernah menyuarakan hasratnya melamar saya. Tetapi saya tolak dengan baik dengan alasan belum bersedia. Saya sendiri tidak yakin mampu menjadi ibu kepada anak-anaknya yang ramai tu.
''Agaknya dek kerana kesunyian dan anak-anak masih kecil dia berkahwin dengan gadis yang hampir sebaya dengannya. Tapi jodoh mereka tidak panjang hanya bertahan lima tahun sahaja.
''Saya pernah dengar rungutan orang-orang di kawasan perumahan kami, yang dia amat menderita lantaran isteri barunya itu tidak berapa suka dengan anak-anaknya, dia juga tidak ambil berat untuk menguruskan makan pakai suami dan anak-anaknya. Jauh di sudut hati saya amat bersimpati. Saya tahu dia baik dan penyabar orangnya.
''Masuk tahun kelima perkahwinan mereka, merupakan kemuncak masalah dan penderitaannya, mereka akhirnya bercerai. Dia bertindak sedemikian kerana memikirkan masa depan dan kehidupan anak-anaknya yang tidak berurus dan tidak lagi selesa.
''Tidak lama selepas bercerai dia beralih semula kepada saya, oleh kerana saya masih belum berkahwin, dia melamar saya untuk kali keduanya. Katanya dia bercerai kerana bekas isteri tidak pernah ada anak sendiri, jadi tak sesuai, oleh kerana saya ada anak sendiri, mungkin saya lebih faham masalahnya mempunyai anak ramai.
''Katanya, walaupun bekas isterinya sebaya usianya, tetapi kurang mengalaman mengurus anak, sebab itu jodohnya tak panjang. Namun dia berusaha keras untuk mempertahankan dengan pelbagai cara, tetapi usahanya gagal.
''Setelah berfikir panjang dan mungkin juga kerana rasa simpati yang tebal dan melihatkan perubahan hidupnya yang tidak keharuan, maka saya terima lamarannya. Niat saya ketika itu ingin membantunya di tambah pula waktu itu saya tinggal di rumah sendirian.
''Mungkin juga ketika itu sudah menjadi tentuan Allah juga maka saya ditakdirkan menjadi isterinya dan ibu tiri kepada empat orang anaknya. Selepas berkahwin Hazrami dan empat orang anak-anaknya berpindah masuk ke rumah saya.
''Pada awalnya memang anak lelaki saya menentang keras perkahwinan saya. Dia mendakwa hidup saya akan lebih susah lagi berbanding ketika saya jadi ibu tunggal. Katanya dah senang hidup sendirian, mengapa mesti menanggung keluarga baru yang akan lebih menyusahkan.
''Tetapi saya berjaya pujuk dia perlahan-lahan, dan Hazrami dengan kelebihannya sebagai ayah yang bertanggungjawab, dia cepat dapat menarik perhatian dan mendekatkan diri dengan anak saya. Hasilnya beberapa bulan kemudian saya lihat anak saya sudah mesra dengan Hazrami. Harapan saya kami boleh hidup bahagia dalam sebuah keluarga besar nanti.
''Nak jadikan cerita selepas beberapa bulan berkahwin, bekas isteri pertamanya mula jalankan jarumnya mengganggu rumah tangga kami. Semuanya bermula bila semua anak-anaknya berhari raya di rumah saya. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya dan suami kerana marahkan anaknya tidak berhari raya di rumahnya.
''Sebenarnya saya tak pernah paksa Hazrami supaya menyuruh anak-anaknya beraya di rumah saya, mereka dah besar, mereka boleh buat pilihan sendiri. Jadi mengapa salahkan saya. Nak buat macam mana kalau mereka lebih selesa tinggal di rumah saya.
''Walaupun gaji saya lebih besar daripada Hazrami, tetapi saya redha. Saya hanya inginkan kebahagiaan untuk saya dan anak saya. Saya tidak mengaku yang saya baik, tetapi para pembaca boleh nilai sendiri mengapa anak-anak tiri saya lebih rapat dengan saya berbanding ibu mereka sendiri. Mereka dah besar dah boleh berfikir tak perlu dihasut dan difitnah.
''Mereka tahu duduk di mana lebih selesa, dan di mana pulak tidak, saya tak memuji diri, tetapi anak-anak tiri saya lebih selesa duduk di rumah saya daripada duduk di rumah ibu mereka sendiri. Hei! hati budak-budak tak boleh paksa tau!
''Walau bagaimana pun, sebagai orang Islam saya rasa bertanggungjawab sebab itu saya nasihatkan mereka pergi ke rumah ibu mereka sendiri, saya rasa itu tugas saya untuk menyatukan anak-anak dengan ibunya. Saya tak pernah menghasut mereka membenci ibunya sendiri, sebaliknya saya galakkan mereka menyayangi ibu mereka.
''Walaupun hati saya sakit dengan perbuatan ibu mereka, namun saya gembira dan bahagia kerana setiap kali hari ulangtahun perkahwinan, hari lahir saya, hari ibu dan hari guru, mereka selalu mengirim ucapan kepada saya. Pada saya, itu sudah cukup untuk membuat saya rasa bahagia. Apa lagi mempunyai seorang suami yang baik, penyabar dan bertanggung jawab.
''Kepada kedua-dua bekas isteri suami saya cukup-cukuplah menyakiti hati suami saya. Ingatlah pembalasan Allah kerana anda berdua pernah menjadi isteri yang derhaka. Bertaubatlah, semoga Allah mengampunkan anda.
''Kepada anak-anak, walau sejahat manapun ibu kita, dia tetap ibu dunia dan akhirat, janganlah menderhaka kepada mereka. Jaga hati ibu dan juga ayah. Allah bersama orang yang benar. Kepada bekas suami saya, ingatlah anda masih ada anak, kalau mampu kirimlah nafkah.'' Demikian cerita Khuzaimah dari pengalamannya sebagai ibu tunggal dan ibu tiri yang disayangi oleh anak-anak tirinya.
Memang benar tak ada gunanya jadi ibu tiri jahat, kalau berbuat baik, banyak faedahnya manalah tahu bila sakit pening semasa tua nanti ramai anak-anak datang membantu dan menziarah. Budi baik tidak akan dibalas jahat. Kalau tidak semua, salah seorang anak tiri tetap akan sayangkan anda juga. Kerana mereka tahu membuat penilaian.

No comments: