Monday, July 13, 2009

Kakak Jacko tahu siapa bunuh adiknya


GAMBAR fail menunjukkan Jacko ketika dibawa ke pusat Perubatan UCLA, Los Angeles pada 25 Jun lalu.
GAMBAR fail menunjukkan La Toya bersama Jacko.

LOS ANGELES - Kakak Michael Jackson, La Toya mendakwa dia mengetahui siapakah yang membunuh penyanyi terkenal itu, lapor sebuah akhbar semalam.
La Toya yang pernah berbogel untuk majalah Playboy menyatakan adiknya dibunuh dengan tujuan untuk memperoleh kekayaan Michael yang berjumlah lebih AS$1 bilion (RM3.58 bilion).
"Saya tahu siapakah yang membunuhnya. Saya tidak akan berehat sehingga saya dapat menangkapnya," katanya.
Menurutnya, dia dan ahli keluarganya yang lain tidak menganggap hanya seorang individu yang terlibat dalam pembunuhannya.
"Ia merupakan konspirasi untuk mendapatkan wang Michael," katanya. Kenyataan La Toya itu dibuat tiga hari selepas ketua polis Los Angeles mengaku pihaknya sedang menyiasat kemungkinan Jacko mati akibat pembunuhan.
Michael yang mesra dengan panggilan Jacko meninggal dunia pada 25 Jun lalu di rumah yang disewanya setelah degupan jantungnya terhenti.
Laporan bedah siasat rasmi mayat Jacko masih belum dikeluarkan dan dijangka didedahkan dalam tempoh hampir dua minggu lagi. Namun, La Toya yang amat rapat dengan adiknya itu sudah mengetahui keputusan ujian toksikologi yang dilakukan ke atas mayat Jacko.
"Saya berpendapat semua orang akan terkejut apabila keputusan itu diumumkan," katanya.
"Saya tidak akan membincangkannya dengan lebih lanjut kerana polis masih melakukan siasatan. Namun, apa yang saya dapat katakan ialah laporan akhbar bahawa terdapat bahan metadon dalam tubuhnya adalah tidak tepat," tambahnya.
Menurut La Toya, beberapa tahun lalu, Jacko pernah memberitahunya bahawa dia bimbang terdapat orang yang mahu membunuhnya untuk mendapatkan katalog yang menjadi miliknya.
Dia berkata, Jacko mempunyai kekayaan melebihi AS$1 bilion menerusi aset-aset penerbitan muziknya dan terdapat seseorang yang mahu membunuhnya.
"Nilainya akan meningkat apabila Jacko meninggal dunia," katanya.
La Toya berkata, pihak yang merancang perbuatan itu turut cuba memastikan keluarganya tidak mendekati penyanyi tersebut. "Michael seperti berada dalam kawalan. Bapanya, Joe cuba untuk mendekatinya," katanya.
La Toya mendedahkan bahawa wang tunai dan barangan kemas bernilai AS$2 juta (RM7.16 bilion) milik Jacko didapati hilang dari rumahnya itu pada hari kematiannya. Menurutnya, pada kebiasaannya Jacko menyimpan kira-kira AS$2 juta di rumahnya yang akan digunakan untuk membeli barangan.
"Apabila saya pergi ke rumah itu, saya tidak menemui wang dan barangan kemas. "Terdapat seseorang yang sudah pergi ke sana dan melakukan tugas yang baik (mengambil wang dan barangan kemas). Ia amat ganjil," katanya. - Agensi

No comments: