Sunday, August 9, 2009

Apabila kasih sudah beralih arah

Saya mula mengikuti kisah dalam DCCK ini sejak di sekolah menengah lagi, kini saya berusia 25 tahun. Saya membaca sekadar hobi, habis baca saya terus melupakan, kerana saya tak terfikir kejadian itu boleh berlaku dalam kehidupan keluarga saya.
''Bila saya membaca kisah Zukhene minggu lalu, terbuka pintu hati saya untuk berkongsi cerita, rupanya ada juga orang yang menghadapi masalah sama seperti ibu saya.
''Sebagai anak kedua saya masih tak boleh melupakan saat-saat kebahagian hidup emak dan ayah, mereka bagaikan loving couple. Dulu emak pernah bekerja, tapi berhenti sebab terpaksa ikut ayah posting setiap dua tahun, boleh dikatakan seluruh semenanjung kami dah jelajah. Emak tak pernah merungut walaupun penat.
''Emak juga pandai memasak, cakap aja apa nak makan besok lusa pasti tersedia. Kerana pandai masak emak mudah dapat kawan kerana meminati resipinya. Dan emak memang peramah, berbanding ayah agak sedikit pendiam.
''Emak juga pandai buat kek, pendek kata kalau hari lahir kami sekeluarga tak pernah beli kek, bila balik rumah semuanya sudah tersedia selain pelbagai jenis juadah yang enak-enak, semua emak buat sendiri. Begitu juga kalau ada ipar duai yang meminta buatkan kek, emak tak pernah lokek dia akan buat dan beri percuma.
''Semasa kami kecil rumah kami sering ada majlis hari jadi. Bukan untuk kami saja. Bahkan untuk meraikan adik beradik dan saudara ayah. Tak tahu macam mana emak tahu tarikh lahir mereka. Yang bestnya emak yang buat kek-kek itu.
''Begitulah kehidupan kami bertahun-tahun dalam kegembiraan, walaupun ada pergaduhan kecil antara kami adik beradik, itu perkara biasa, budak-bukan namanya. Tetapi malangnya sejak tiga tahun lepas keadaannya sudah berubah.
''Berpunca bila ayah mula tak balik rumah. Bila ibu dan kami tanya, ayah kata ada kerja. Saya melihat perubahan itu. Saya merasa curiga. Tapi kerana ayah tak pernah buat hal. lagipun sememangnya ayah kuat berkerja, kami percaya ayah. Namun saya merasakan ada sesuatu yang ayah sembunyikan.
''Emak sering tak tidur malam. Sayalah temankan mak, kasihan emak badannya semangkin susut dan cengkung. Saya hairan, emak tak marah-marah bila ayah balik lewat, dia macam biasa siapkan makan. Kalau ayah balik pagi emak buatkan sarapan. Lepas tu ayah mandi dan terus bersiap-siap pergi kerja. Emak tetap layan ayah dengan baik. Tak pernah masam muka. Ibu hantar ayah ke keretanya dan salam ayah.
''Begitulah keadaan ayah sejak kebelakangan ini, sering pulang jauh-jauh malam, kalau takat jam 2 pagi dah jadi perkara biasa, emak akan tunggu ayah, bukakan pintu dan tanya ayah kalau belum makan emak akan siapkan, tanpa banyak soal.
''Tetapi sepandai-pandai tupai melompat sesekali jatuh ke tanah juga, begitulah ayah, peristiwa saya terjumpa ayah memang memalukan, satu hari ketika saya ke supermarket dengan kawan, tiba-tiba saya terlihat ayah sedang sibuk membeli belah dengan seorang perempuan. Kawan saya pun nampak. Ya Allah malunya.
''Bila tiba di pejabat saya telefon emak bertanya ayah ke mana, dengan jujur emak kata ayah kerja luar daerah, sehari dua baru balik, ada kerja katanya. Ya Allah jujurnya emak, tak terlintas pun di hatinya bahawa ayah ada perempuan lain. Tetapi sebagai anak tak kan saya nak berdiam diri. Beberapa minggu kemudian baru saya berani bercerita dengan emak tentang peristiwa di supermarket itu.
menceraikan
''Malangnya sejak tembelang ayah pecah, dia jadi tak tentu arah, entah macam mana dia boleh bertindak menceraikan emak. Emak terkejut, kami adik beradik amat terkilan dengan perbuatan ayah. Tak berapa lama selepas itu kami dapat tahu ayah kami telah berkahwin dengan perempuan itu. Ayah amat kejam.
''Emak menerimanya dengan tangisan, tanpa banyak bicara selain meminta maaf kalau dia ada tersalah atau terkasar, dan memohon ampun jika tidak dapat melayan ayah seperti yang ayah kehendaki, kerana kini emak sudah 50 tahun.
''Hingga kini emak tetap emak sikapnya tak berubah langsung terhadap ayah. Malah emak nasihatkan kami jangan biadap dengan ayah. Walaupun emak tahu kami adik beradik amat marah dengan ayah. Masalahnya kami amat kasihankan emak.
''Malangnya, di satu pihak ayah memburuk-burukkan emak pada orang, kata ayah emak tak pernah menjaga kebajikannya. Emak tak jaga anak-anak. Emak malas dan emak isteri yang derhaka! Oh Tuhan. Apa dah jadi dengan ayah kami ini?
''Ayah marah abang, ketika abang cuba bersemuka dan bertanya kepada ayah apa yang terjadi, kata ayah abang dengar cerita sebelah emak sahaja yang banyak berbohong. Bila abang bercerita lebih lanjut, ayah kata kami adik beradik menyusahkan hidupnya.
''Kami empat beradik ini sudah dewasa, kami nampak dan kami kaji, kami tahu siapa yang membuat onar. Namun kasih emak pada ayah semakin tebal, emak nasihatkan kami jangan menderhaka kepada ayah.
''Malangnya semakin emak berdiam diri, cerita pembohongan ayah memburukkan emak menjadi-jadi dan sampai ke telinga saya. Kata ayah pada kawan-kawan dan adik-beradiknya, konon emak queen control, emak pentingkan diri sendiri, tak menjalankan tugas sebagai suri rumah apalagi sebagai isteri. Ya Allah, saya terkedu seperti orang yang dipukau saya tak dapat menjawab apa-apa pun selain daripada menangis.
''Namun saya mengaku, saya pernah menghubungi perempuan itu cuba menceritakan keadaan sebenar, bahawa emak bukan seperti yang dia ceritakan dan sebarkan. Malang sungguh ayah mengamuk dan memaki hamun marahkan saya. Kata ayah saya tak tahu apa-apa tentang emak jadi jangan masuk campur.
''Tapi saya puji, emak tak lekang dari tikar sembahyang. Masih minta kami hormat ayah. Saya ada banyak bukti tentang perbuatan buruk ayah. Tapi terlalu perit untuk bercerita pada emak. Maaf ayah saya tak dapat nak hormat ayah! Saya amat kesal orang yang saya hormati satu ketika dulu telah mengkhianati kami.
''Abang memang ambil berat tentang ayah. Dia mencari jalan membantu ayah kembali kepada emak. Tapi kerana tiada pengalaman abang gagal selamatkan perkahwinan ayah dan emak. Namun emak tetap reda dengan apa yang terjadi padanya.
"Pada Zukhene awak beruntung kerana ayah awak belum berkahwin. Itu tandanya dia masih sayangkan awak sekeluarga, tetapi ayah saya sudah tidak sayangkan kami lagi.
''Kepada ayah kami nak tanya adakah perempuan itu telah ayah uji cintanya seperti ibu? Kami harap janganlah dia cuma cintakan ayah kerana kedudukan dan duit ringgit ayah. Pada kami, hati, cinta dan kasih ibu terhadap ayah terlalu tinggi hingga kini. Saya mohon ayah jangan fitnah emak lagi dengan kata-kata yang ayah sendiri tahu tidak benar.
''Namun seperti ibu, jauh di sudut hati ini saya memohon kepada Allah agar ayah kembali pada kami. Kami rindukan ayah seperti dulu suka gelak ketawa, dan terlalu sayangkan keluarga, semoga Allah makbulkan doa kami". Demikian cerita Bismi tentang ayahnya yang sudah bertukar corak dan bertukar kasih.
Setelah membaca kisah Bismi tentu pembaca boleh membuat kesimpulan. Adakah isteri telah membuat salah maka hukumannya dia diceraikan, ataupun cerai sudah menjadi perkara biasa bila kasih sudah beralih arah.

No comments: