Saturday, August 8, 2009

Lampu sahkan not RM50 tulen

Oleh NUR AISHAH MOHD AMIN
Wang kertas palsu bernilai RM50 dan RM100 dikesan kerap ‘berlegar’ di pasar malam. Bagaimanapun, kecanggihan teknologi dapat mengurangkan risiko itu.

KITA biasa melihat lampu-lampu putih atau lampu mentol oren digantung di premis-premis peniaga pasar, tetapi mengapa lampu itu perlu digantung di situ?
"Untuk mengesan ketulenan wang kertas." Inilah jawapan yang diberi peniaga kepada penulis ketika diajukan persoalan mengenai tujuan lampu atau mentol digantung dalam premis mereka.
Begitulah seriusnya usaha peniaga-peniaga bagi mengelak menerima wang palsu daripada pelanggan.
"Kita tidak pasang suka-suka lampu ini. Kami pasang sebab mudah untuk kami kesan duit palsu dalam kesibukan melayan pelanggan di sini.
"Paling-paling tidak, kami dapat nampak potret Yang di-Pertuan Agong pun cukup, terutama bagi wang kertas RM50 dan RM100," kata Mohd. Isa Chik, 32, seorang peniaga sayur di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.
Sebagai seorang peniaga yang pernah mempunyai pengalaman ditipu pelanggan membayar menggunakan wang palsu tahun lalu, Isa akui berlaku kerugian pada jualannya.
"Bayangkanlah, dia bayar kita duit palsu yang kita tidak boleh guna untuk apa-apa. Sedangkan dia pula dapat wang baki dari wang yang tulen dan dapat barang pula," ujar Isa kesal dan kini mengamalkan sikap berhati-hati dengan setiap wang yang dihulur pelanggan.
Pengalaman sama turut dilalui oleh Ahmad Saliban, 59, atau lebih mesra disapa sebagai Wak seorang penjual daging lembu yang mempunyai 30 tahun pengalaman berniaga di pasar.
"Sekarang, kami lebih berhati-hati. Sepanjang saya berniaga, banyak kali tertipu dengan wang kertas palsu, terutama not RM50.
"Mereka ini sangat licik, datang dalam keadaan kelam-kabut, beli banyak-banyak dan pergi cepat-cepat hingga Wak sendiri susah nak cari semula kelibat dia," kata Wak sambil memberitahu kali terakhir menerima wang kertas palsu ialah kira-kira dua bulan lalu.
Lebih membingungkan Wak, rata-rata pelanggan yang dikesan membayar menggunakan wang palsu adalah kalangan remaja.
"Wak rasa macam ada sindiket, sebab itu mereka ini licik," kata Wak yang mengakui buntu untuk mencari penyelesaian masalah wang palsu itu.
Sukar dikesan
Bagi Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Pudu, Kuala Lumpur, Jeff Tan, transaksi jual beli menggunakan wang palsu di pasar sukar untuk ditangani.
Kesukaran itu kerana jual beli berlaku pada waktu awal pagi sebelum hari cerah.
"Banyak aduan yang kami terima mengenai wang palsu RM50 khususnya. Boleh dianggarkan, dalam masa sehari dua atau tiga keping wang kertas palsu RM50 akan dikesan oleh peniaga sebelum membuat aduan kepada persatuan," ujarnya kesal.
Namun sebagai wakil kepada lebih 200 peniaga di Pasar Pudu, Tan tidak akan membiarkan dilema itu terus menghantui peniaga dan merosakkan perniagaan ahlinya, sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa sebagai langkah berjaga-jaga.

Transformasi wang kertas

Mungkin wang kertas not RM50 biasa di mata, di tangan dan di dalam dompet kita. Namun berapa ramaikah dalam kalangan kita yang tahu bahawa wang kertas itu sebenarnya diperbuat daripada kapas?
Bunyi macam pelik, tapi itulah faktanya. Tetapi tahukah anda, ini juga merupakan faktor utama yang membezakan wang kertas tulen dengan yang palsu.
Justeru, jurucakap Bank Negara Malaysis (BNM) memberitahu, perubahan siri wang kertas negara ini berlaku sejak tahun 1967 hingga kini dengan purata masa perubahan di antara 12 ke 15 tahun.
"Perubahan wang kertas bergantung sepenuhnya kepada teknologi percetakan. Apabila ada teknologi terbaru yang boleh meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan pada wang kertas kita akan mula membuat perbincangan menukarnya.
"Perubahan itu juga meliputi reka bentuk, corak dan ciri keselamatan yang lebih baik berbanding edaran wang kertas sebelumnya," kata jurucakap BNM memulakan bicara ketika ditemui di Bank Negara Malaysia, Jalan Dato Onn baru-baru ini.
Sambil menunjukkan koleksi wang kertas RM50 siri pertama hingga keempat, jurucakap BNM menjelaskan, beberapa perubahan telah berlaku pada wang kertas RM50 negara kita.
Secara kasarnya, perubahan itu nampak jelas apabila ditunjukkan keempat-empat siri wang kertas not RM50 di depan mata.
Perubahan itu termasuklah dari segi tema, reka bentuk dan pertambahan ciri keselamatan pada setiap keping wang kertas itu sendiri.
"Perubahan bukan sahaja pada rekaannya tetapi setiap inci rekaan itu ada ciri keselamatannya.
"Benang keselamatan yang putus-putus itu namanya teknik stardus. Secara kasar kita nampak garisan benang itu putus tapi hanya dengan imbasan sinaran ultra sahaja ia dapat dibaca," ujarnya sambil menunjukkan koleksi wang kertas not RM50 siri pertama kepada wartawan Kosmo! baru-baru ini.
Di mata penulis sendiri, terlalu banyak perbezaan jika dilihat wang kertas dari edaran pertama BNM hingga edaran keempat ini.
Bagaimanapun, ada beberapa elemen pada wang kertas lama dikekalkan hingga pada wang kertas terbaru ini.
Nombor siri pada wang kertas lama mempunyai kedudukan melintang sebelum diubah kepada kedudukan melintang dan memanjang bermula dengan siri kedua hingga siri yang terbaru ini.

KAKITANGAN Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan transformasi wang kertas RM50 di Bank Negara Malaysia.

Bermula tahun 1982, wang kertas mengalami transformasi. Dalam edaran siri kedua, BNM telah menggunakan tema bangunan yang menjadi mercu tanda negara sebagai corak pada wang kertas.
Ketika BNM mula mengedarkan wang kertas siri kedua, wang kertas not RM20 dan RM500 turut diperkenalkan.
Bermula dari itu juga wang kertas mula dicetak lebih tebal.
Wang kertas dalam siri keempat atau yang terbaru ini lebih tebal berbanding wang kertas siri pertama hingga siri ketiga.
"Tebal itu bermaksud, dakwat cetakan itu sendiri. Nampak macam biasa tapi bila kita rasa permukaan wang kertas akan ada rasa kesat. Berat sekeping wang kertas not RM50 yang terbaru ini lebih sedikit berbanding wang kertas yang lain," katanya.
Wang kertas juga mempunyai tema bagi corak yang terdapat pada wang kertas. Ia juga mengalami perubahan setiap kali ada pertukaran siri.
Dalam siri pertama, belum ada tema yang khusus pada wang kertas not RM50 tetapi bermula siri kedua, wang kertas itu menggunakan tema bangunan yang menjadi mercu tanda pembangunan negara.
Bagi siri ketiga pula, tema khas wawasan 2020 diaplikasikan pada wang kertas not RM50 dengan gambar-gambar motif pelancongan, telekomunikasi, pembinaan, pengangkutan, perlombongan dan perkilangan yang menjadi sumber pendapatan negara.
Siri keempat pula, menggunakan tema misi nasional negara.

ISA kini lebih berhati-hati menerima wang daripada pelanggan kerana pernah mempunyai pengalaman ditipu sebelum ini.

Malah, dalam siri keempat yang terbaru dikeluarkan ini juga terdapat banyak tanda untuk mengesan wang itu tulen atau palsu.
"Bandingkan wang kertas lama dengan yang baru di bawah cahaya ultra ini. Jelas menunjukkan betapa banyak ciri keselamatan yang ada tidak mampu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memalsukannya.
"Ada tiga peringkat untuk mengesan wang palsu. Peringkat pertama adalah di pihak pengguna melalui deria rasa, kedua ialah di peringkat industri yang boleh menggunakan cahaya ultra ungu dan peringkat ketiga ialah di pihak bank sendiri," ujarnya.
Jadi, andai kata, anda fikir boleh memperdaya orang lain dengan sewenang-wenangnya, anda adalah silap.
"Banyak teknologi yang digunakan untuk sekeping wang kertas. Antara teknologi percetakan dari negara maju yang diguna pakai dalam wang kertas kita ialah teknologi dari negara Jerman," katanya.

No comments: